Thursday, December 4, 2008

Penjelasan Mengenai Akta 672: Akta Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam 2007

Oleh: Citra Adora

Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini memaklumkan bahawa KPKT telah mengeluarkan arahan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar tidak menandatangani kontrak jangka panjang bagi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, sebaliknya hanya dibenarkan kontrak bulan ke bulan. Arahan ini dikeluarkan adalah bertujuan untuk mengelakkan implikasi undang-undang apabila Akta Pengurusan Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dikuatkuasa kelak.
Apabila Akta 672 dikuatkuasakan, perjanjian konsesi akan ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan dan syarikat-syarikat konsesi. Syarikat-syarikat konsesi boleh melantik subkontraktor-subkontraktor untuk melaksanakan perkhidmatan di kawasan-kawasan mereka.
Manakala kontraktor-kontraktor yang sedia ada akan di ''novate'' kepada syarikat-syarikat konsesi. Dalam hal ini, Kerajaan Persekutuan tidak mengambil tanggungjawab untuk memantau pelantikan subkontraktor-subkontraktor ini kerana ia merupakan kaedah pemberian perkhidmatan yang bersesuaian dengan strategi perniagaan mereka.
Bagaimanapun bagi mengelakkan kontraktor-kontraktor yand di ''novate'' kepada syarikat konsesi daripada dianiayai, Kerajaan akan memastikan bayaran perkhidmatan dibuat dalam tempoh yang sewajarnya dengan memasukkannya tempoh pembayaran perkhidmatan di dalam KPI syarikat-syarikat konsesi.

1 comment:

rayliew said...

Yang pentingnya pembayaran hendaklah dipercepatkan, selain daripada mengambil perhatian tentang kepentingan sub-kontraktor.