Oleh: Ngupingtrus
Pelik! Pelik! Pelik! Negara yang baru 51 tahun merdeka, seharusnya usaha-usaha kita, sama ada orang politik, kumpulan usahawan, kumpulan cendekiawan, lebih menumpukan kepada pembangunan rakyat dan negara. Tetapi malang, semakin kita bertambah dewasa, kita masih asyik mempersoalkan perkara-perkara 'foundation', yakni perkara-perkara yang sudah dipersetujui oleh kepimpinan kaum sewaktu pemuafakatan untuk persiapan kemerdekaan.
Harus diingat bahawa kalau 'foundation' pembentukan negara bangsa diterjah terus menerus oleh pelbagai pihak, bukan mustahil negara bangsa yang telah terbentuk sekian lama akan rebah. Rebah dalam erti kata, akan tercetusnya perbalahan saudara di kalangan kaum di negara tercinta ini. Malaysia akan hancur! hancur!
Foundation yang dimaksudkan di sini adalah perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyangkut Hak Istimewa Orang Melayu, Raja-raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu dan seumpamanya. Menjadi trend sekarang, usaha menggoyangkan foundation semakin giat dilakukan khususnya oleh orang politik, sama ada pembangkang mau pun kolisi BN.
Bagi parti pembangkang, kita sama-sama maklum bahawa mereka yang sering mengungkit-ungkitkan foundation tersebut adalah DAP. Sejak dahulu DAP tidak akan bersetuju dengan apa sahaja yang dibawa oleh Kerajaan BN. Perkara-perkara dalam perlembagaan negara yang menyangkut hak istimewa orang Melayu nak dihapuskan. Kalau boleh, agama Islam tak perlu jadi Agama Rasmi Persekutuan. Malah institusi raja pun tidak perlu lagi wujud. Itu kalau diperbolehkan.
Jadi tak heranlah kalau DAP memang tak akan bersetuju dengan apa saja yang datang dari BN. Mereka tidak akan berhenti memperjuangkan apa yang disebut sebagai 'Malaysian-Malaysia'. Segala-galanya sama rata dan sama rasa. Mereka memang jaguh dalam membakar emosi dan sentimen kaum di negara ini.
Akhir-akhir ini pula, kepimpinan politik dalam kolisi BN pula yang mengungkit perkara-perkara sebagaimana yang disuarakan oleh pembangkang. Antaranya adalah Ketua Wanita Parti Gerakan, Timbalan Presiden MCA, Ketua Wanita MCA, Presiden PPP, bekas Presiden Gerakan. Malah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri pun turut mendendangkan lagu yang sama.
Namun, walau bermacam-macam ungkitan yang disuarakan oleh pelbagai pihak tentang perkara-perkara yang menyentuh keistimewaan orang Melayu, tetapi orang Melayu tetap mempertahankan semangat setiakawan sebagaimana yang ditanam dalam diri mereka oleh kepimpinan negara terdahulu. Orang Melayu masih setia. Masih mengingati pesan supaya akur dengan keputusan pemimpin sewaktu nak merdeka. Kena terima kaum Cina dan India untuk menjadi warga negara secara jusoli (jadi warganegara Tanah Melayu secara automatik selepas negara mencapai kemerdekaan). Kaum Cina, India dan lain-lain kaum juga telah mendapat taraf kerakyatan yang sama dengan orang Melayu. Mereka boleh diundi dan boleh mengundi. Boleh jadi pemimpin dan juga boleh dipimpin.
Walaupun ada di kalangan orang Melayu yang tak setuju dengan cara jusoli tersebut, namun demi kerana atas sifat patuh kepada pemimpin, mereka tetap menerimanya.
Tak pernah ada di kalangan pemimpin politik Melayu yang mengungkit cerita menjadi warganegara secara 'jusoli' ini. Sehingga kini, belum ada lagi!
Tetapi kalaulah desakan demi desakan, hati orang Melayu semakin terhiris, bukan mustahil satu hari nanti akan ada suara orang Melayu pula yang mengungkit tentang warganegara secara jusoli. Mereka bersetuju dihapuskan segala hak-hak istimewa orang Melayu, tetapi hak menjadi warganegara secara jusoli bagi kaum Cina dan India juga dihapuskan. Nah! waktu itu nanti negara kita akan 'berantakan'. Negara akan musnah!
Sebab itulah, orang-orang politik dan sesiapa saja rakyat Malaysia jangan cuba-cuba bermain dengan isu-isu yang dianggap sensitif dan boleh membakar sentimen dan emosi rakyat. Foundation yang telah ditegakkan oleh kepimpinan setiap suku kaum di negara ini semestinya tidak ada pihak yang cuba mencungkilnya. Perkara ini seharusnya menjadi pertimbangan di setiap sanubari rakyat Malaysia.
Agaknya sudah sampai waktunya parti-parti politik orang Melayu khususnya Umno dan Pas untuk duduk semeja dan carilah titik pertemuan. Yang berlalu jadikan sempadan dan teladan bagi membentuk sinaran baru. Penyatuan antara Umno dan Pas sahaja akan dapat menyatukan Melayu dan Islam di bumi bertuah ini.
NGUPINGTRUS : Berdoa kehadrat Allah Azzawajalla agar negara tercinta ini jauh dari segala malapetaka yang direkayasa oleh manusia yang berfikiran singkat. Untuk itu, Umno dan PAS harus bersatu!
1 comment:
Isu-isu sentitif keagamaan dan perkauman adalah MERBAHAYA, jangan sekali-sekala terpedaya dengan mainan ahli politik dan parti politik yang KOTOR.. Kita hendaklah mempertahankan apa yang telah negara kita kecapi sejak 51 tahun yang lalu "KEAMANAN NEGARA" yang menjamin kehidupan yang selesa.
Post a Comment