Thursday, December 4, 2008

Pemecatan Zaid sebagai pengajaran usah aib parti

Dipetik dari Berita Harian Online

Oleh Abdul Razak Raaffraaffar@bharian.com.my

PUTRAJAYA: Keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno memecat Datuk Zaid Ibrahim adalah satu pengajaran kepada pemimpin dan ahli parti supaya tidak mengambil tindakan bertentangan dengan perjuangan dan perlembagaan parti, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Rais yang juga ahli MT Umno berkata, hukuman yang dijatuhkan ke atas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga tepat dan selaras dasar Umno terhadap pemimpin yang mengaibkan parti. Beliau percaya Zaid yang juga bekas Ahli Parlimen dan Ketua Umno bahagian Kota Bharu dapat menerima keputusan MT Umno itu dengan hati terbuka.

"Jika MT Umno tidak ambil tindakan sedemikian maka ia akan dilihat sebagai satu badan yang tidak berwibawa sedangkan perkara dilakukan (Zaid) berada pada tahap yang perlu diambil tindakan. "Tindakan berkenaan hendaklah dijadikan pengajaran kepada pemimpin dan anggota parti supaya mereka memahami peranan masing-masing dan tidak melakukan perkara melampaui batas," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam. Rais mengulas keputusan MT Umno memecat Zaid berikutan beberapa tindakannya menyalahi perlembagaan parti termasuk menghadiri Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR), di Shah Alam, baru-baru ini.

Bulan lalu, Zaid diberikan surat tunjuk sebab berikutan tindakannya menulis surat terbuka serta menemui beberapa Ahli Parlimen pembangkang bagi membincangkan usaha untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Zaid melepaskan jawatannya pada 17 September lalu kerana tidak bersetuju dengan penahanan seorang wartawan, penulis blog dan pemimpin pembangkang di bawah ISA.

1 comment:

rayliew said...

"Kita hendaklah membuangkan epal yang busuk dalam bakul yang dipenuhi epal, sebelum ianya menyebabkan semua epal dalam bakul ini menjadi buruk."

Dalam konteks ini, kita tidak mahu melihat perjuangan parti yang telah ditubuhkan ini dipertikaikan oleh ahli parti, dan tindakan yang tegas perlu diambil untuk membanteras usaha ini.

Kepada mereka yang bertentangan pendapat dengan perjuangan dan halatuju parti, disarankan supaya mereka keluar dari parti, kerana kedegilan sesorang akan menjejaskan keseluruhan perjalanan parti.