Wednesday, February 25, 2009

SPRM dapat pujian luar negara : Pakar sifatkan Malaysia tunjuk komitmen padu tangani gejala rasuah

KUALA LUMPUR: Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disambut baik negara luar yang menyifatkan ia membuktikan komitmen padu kerajaan dan rakyat dalam menangani gejala rasuah hingga ke peringkat akar umbi. Pengerusi Kumpulan Pakar Pencegah Rasuah Interpol, Barry O Keefe, berkata kesungguhan Malaysia itu jelas menerusi peruntukan tinggi termasuk menambah jumlah tenaga kerja bagi memastikan suruhanjaya berkenaan dapat menunaikan tanggungjawab dengan berkesan serta telus. "Saya fikir ini adalah usaha yang sungguh mengagumkan, negara luar patut berasa malu dengan apa yang Malaysia laksanakan, apabila kita lihat BPR (Badan Pencegah Rasuah) menjadi SPRM dan sokongan padu daripada rakyat dan kerajaannya.

"Sokongan kukuh itu bermakna gejala ini akan dapat ditangani dengan jayanya, cuma ia mungkin mengambil masa," katanya selepas majlis pelancaran SPRM oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini, semalam. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan. Barry, bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) New South Wales dan Hakim Mahkamah Agung Australia, berkata antara cabaran yang bakal dihadapi SPRM adalah berdepan dengan kerenah tokoh politik yang terbabit dalam rasuah.
Katanya, golongan itu sanggup menggunakan pelbagai perantara termasuk media untuk mengkritik suruhanjaya bagi mengelak diri mereka dikenakan tindakan undang-undang. "Untuk menentang gejala rasuah memang mengambil masa, namun yang melambatkan usaha itu, apabila kita terpaksa berhadapan dengan tokoh politik yang suka mengkritik ketelusan suruhanjaya ini. "Bila kita siasat, mereka akan 'serang' kita, perkara ini berlaku di mana saja, sama ada di negara saya, Hong Kong atau Thailand. Biar mahkamah putuskan, inilah bahagian yang paling sukar dalam kerja mereka, selain terpaksa menjalani hidup terasing untuk mengelak kredibiliti tercalar," katanya. Timbalan Pesuruhjaya dan Ketua Operasi ICAC Hong Kong, Daniel Li, pula yakin usaha yang dilakukan SPRM mampu menempatkan agensi itu di kalangan agensi terbaik dunia dalam memerangi gejala rasuah.

"Ini satu permulaan yang baik, dan kita perlu beri masa kepada SPRM untuk membuktikan kejayaannya. "Apa yang perlu dilaksanakan di peringkat awal, adalah memberi latihan kepada kakitangan, sebab kejayaan sesebuah agensi bergantung kepada keberkesanan tenaga kerjanya sendiri," katanya. Naib Pengerusi Suruhanjaya Pencegah Rasuah Indonesia, Chandra M Hamzah, berkata Malaysia serius dalam usaha membendung perlakuan rasuah dan ini dapat dilihat menerusi penambahan kakitangan baru dan juga pelantikan ahli jawatankuasa yang pakar dalam bidang masing-masing. "Komitmen Malaysia jelas bila mahu tambah 5,000 kakitangan, dan kami di Indonesia, hanya mempunyai 600 pegawai saja dengan keluasan negara yang lebih besar. "Namun kami turut serius membendung gejala ini menerusi bantuan dan sokongan polis dan kecanggihan teknologi," katanya.
************************************************************************************
PutriMalaysia...
Syabas SPRM.

No comments: