Monday, February 16, 2009

Politik Perak ke sidang Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan menjelaskan mengenai keadaan politik di Perak pada persidangan Majlis Raja-Raja yang dijadual diadakan dalam masa terdekat. Perdana Menteri berkata, beliau bertanggungjawab memberi maklumat berhubung peristiwa yang berlaku di negeri itu dan terpulang kepada majlis berkenaan untuk membuat sebarang saranan atau keputusan.

"Majlis Raja-Raja bersidang setiap tiga bulan dan terpulang kepada Raja-Raja untuk membincangkan perkara ini. Saya akan hadir dan akan memaklumkan kepada Raja-Raja nanti peristiwa yang berlaku dan apa sebab-sebabnya. "Soalnya apakah saranan Raja-Raja nanti atau keputusan itu adalah terpulang kepada mereka... saya hanya bertanggungjawab memberi maklumat mengenai apa yang berlaku," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Hutan Kita – Kiara di Taman Bukit Kiara di sini, semalam. Abdullah mengulas saranan Umno Bahagian Cheras supaya Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan hal berkaitan kedudukan, keistimewaan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu yang kini diperlekeh sesetengah pihak ekoran krisis politik di Perak.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat khas itu tidak perlu diadakan kerana Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat setiap tiga bulan. Kali terakhir Majlis Raja-Raja bersidang pada 16 Oktober lalu di Istana Maziah, Kuala Terengganu. Mengenai kedudukan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar dari Pakatan Rakyat, Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata ada pendekatan undang-undang untuk melantik Speaker baru bagi menggantikan Sivakumar. Pakatan Rakyat di Perak tumbang selepas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) serta Adun Jelapang dari DAP, Hee Yit Foong, mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas dan menyokong BN.

Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR pula kembali semula kepada Umno, menjadikan kedudukan kerusi BN dan Pakatan Rakyat dalam DUN sama banyak, iaitu masing-masing 28. Berikutan itu, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri Besar dari Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin serta barisan Exconya meletak jawatan kerana tidak lagi mendapat sokongan majoriti di DUN. Bagaimanapun, Mohammad Nizar enggan meletak jawatan dan semua 28 Adun Pakatan Rakyat bertindak memulaukan majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar baru dari BN, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, manakala penyokong parti pembangkang itu mengadakan demonstrasi berhampiran Istana Iskandariah, Ipoh. Pengerusi DAP, Karpal Singh pula mempersoalkan keputusan Sultan Perak dan mahu menyaman baginda.
**********************************
Tulip Desa
YAB Perdana Menteri akan membawa isu kemelut politik di Perak dalam Persidangan Majlis Raja-Raja untuk diperbincangkan. Pada hemat Tulip, isu ini perlu diteliti dan satu pendekatan yang bersepadu perlu diambil bagi menjamin kedudukan, keistimewaan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu kembali teguh tanpa boleh digugat oleh sesiapa.
Kebelakangan ini, dilihat Raja-Raja Melayu hilang kekebalannya, apabila terdapat sesetengah pihak terutamanya pembangkang yang semakin berani memperlekehkan keputusan Sultan berhubung isu peralihan kuasa Kerajaan Baru Perak. Pada Tulip, keputusan Sultan Perak adalah adil, berhemah dan mengikut proses yang betul. Kerajaan Baru Perak adalah sah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak kerana Sultan mempunyai kuasa dalam pelantikan Menteri Besar. Segala keputusan Sultan Perak berhubung Kerajaan Baru Perak tidak perlu dipersoalkan lagi kerana beliau adalah orang yang arif tentang perundangan dan perlembagaan negara serta mantan Ketua Hakim Negara suatu ketika dahulu.

No comments: