Monday, February 16, 2009

Calon Anak Tempatan

IPOH 15 Feb. - Barisan Nasional (BN) telah memutuskan bahawa anak tempatan daripada UMNO akan dipilih sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, calon yang akan dipilih adalah daripada kalangan yang bergerak aktif di peringkat bahagian dan boleh diterima oleh rakyat. ''Nama calon tersebut akan ditentu dan diumumkan apabila sampai masanya.
Kita masih mempunyai masa mencukupi untuk membuat tinjauan dengan sebaik-baiknya.''Justeru, sebarang spekulasi bahawa orang luar akan dipilih sebagai calon BN pada Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang tidak akan berlaku sama sekali," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup BN Perak di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Hussin menyatakan pihaknya mahukan calon tempatan dan tidak akan berkompromi dalam soal tersebut.Katanya, ini kerana sudah 23 tahun UMNO Bukit Gantang bersabar dengan arahan pucuk pimpinan parti yang meletakkan calon luar termasuk pada pilihan raya umum lepas.
Kerusi Parlimen Bukit Gantang menjadi rebutan selepas penyandangnya, Roslan Shaharum daripada Pas meninggal dunia pada Isnin lalu. Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Roslan menang dengan majoriti 1,566 undi mengalahkan calon BN, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi yang merupakan Bendahari UMNO Pusat dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang.
Selain kedua-dua calon itu, kerusi Parlimen Bukit Gantang turut ditandingi calon bebas, M. Morgan yang mendapat 872 undi.
Najib yang juga Pengerusi BN Perak berkata, calon kalangan orang tempatan akan memberi keyakinan bukan sahaja kepada parti, malah pengundi.Jelas beliau, dalam keadaan sekarang, BN perlu menggambarkan bahawa parti itu sentiasa mengutamakan perpaduan dan segala tindakan yang diambil bukan untuk menjayakan kepentingan peribadi.
Katanya, apa yang perlu diutamakan pada masa ini ialah semangat, prinsip dan kepentingan parti bagi mencerminkan satu kekuatan baru yang diperoleh BN khususnya selepas berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Perak.
''Saya yakin dan percaya kerajaan negeri BN yang baru ditubuhkan ini akan dapat memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat Perak yang memerlukan pembelaan sewajarnya.''Kita (BN) adalah kerajaan untuk semua kaum dan ini adalah dasar BN yang perlu diperjuangkan," katanya.
Menurut Najib, penilaian beberapa nama calon sedang dibuat dan tidak ada sebarang syarat yang ditetapkan bagi memilih calon kecuali mereka adalah orang tempatan.
''Apa yang penting, calon BN adalah anak tempatan yang boleh diterima dan disayangi pengundi di kawasan Bukit Gantang, yang lain bergantung kepada penilaian kita," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia (16 Feb. 2009)
***********************************
Citra Adora:
Desas-desus mengenai bakal calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Bukit Gantang 7 April depan terjawab sudah. YAB TPM menegaskan calon BN adalah orang tempatan, bukannya orang luar seperti yang digembar-gemburkan.
Sehubungan itu, UMNO Bahagian Bukit Gantang tidak perlu lagi merasa gusar atau tertanya-tanya mengenai perkara tersebut.
TPM sudah berjanji akan melantik calon BN dari kalangan anak tempatan yang disukai dan disenangi masyarakat.
Semoga kesepakatan yang wujud ini akan membuahkan hasil yang cemerlang untuk BN meraih kembali kerusi Parlimen Bukit Gantang. Paling utama nasib pengundi-pengundi dapat dibela dan mendapat perhatian yang sewajarnya.

No comments: