Wednesday, February 25, 2009

Bajet mini pertingkat prestasi perbelanjaan awam


Bersama Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Sulaiman Mahbob.
Umum sudah tahu krisis ekonomi sejagat kini sudah melanda negara kita. Sejauh mana keadaan itu sekarang?

Keadaan ekonomi bertambah meleset. Berdasarkan laporan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) bagi tahun ini menjangkakan ekonomi dunia akan berkembang 0.5 peratus. Dan bagi negara maju berkurangan kepada negatif dua peratus dan seperti perkembangan ekonomi dunia, di negara membangun agak baik. Ini bermakna pertumbuhan itu hanya dipacu oleh negara membangun seperti China, India, Korea dan negara Asean lain.

Bagi tahun ini juga dijangka perdagangan antarabangsa akan mengalami pertumbuhan negatif pada kadar 0.8 peratus. Ini adalah jangkaan terakhir, berbanding jangkaan sebelum ini yang lebih baik. Namun krisis ekonomi itu turut menjejaskan ekonomi negara kita. Pada asalnya ekonomi negara dijangka tumbuh pada kadar 3.5 peratus tahun ini dengan mengambil kira penyediaan RM7 bilion pakej rangsangan ekonomi.

Tanpa pakej ini, pada asalnya kita dijangka berkembang pada 7.5 peratus seperti yang dikemukakan ketika pembentangan Bajet 2009. Namun, pertumbuhan dijangka berkurangan jauh di bawah 3.5 peratus walaupun masih positif. Jangkaan akhir pertumbuhan ekonomi itu saya tidak boleh kemukakan sekarang kerana kita belum dapat kedudukan pada suku terakhir tahun lalu. Namun kita jangka pertumbuhan tahun ini lebih rendah tetapi masih pada paras positif.

Berapa lama dijangka pertumbuhan ekonomi berada pada paras rendah dan apakah sektor yang terjejas?

Ini bergantung bagaimana keadaan ekonomi dunia dan perdagangan antarabangsa. Kedudukan suku pertama bagi tahun ini, kita belum tahu. Agensi pusat seperti Kementerian Kewangan, Bank Negara dan EPU sendiri, sediakan apakah fokus dan unjurannya. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan unjurannya di Parlimen Mac ini.

Pada keseluruhannya, sektor yang terjejas membabitkan sektor eksport kerana mekanisme yang datang dari luar negara ke sini sudah terjejas. Berbanding 1998, sektor yang menyebabkan kemelesetan adalah sektor kewangan dalam negeri. Untuk kali ini, eksport berkaitan pembuatan dan pengeluaran yang terjejas teruk dan kita perlu bersedia menghadapi keadaan ekonomi yang rendah.

Kerajaan sudah mengumumkan pakej rangsangan RM7 bilion, tahun lalu dan dijangka akan membentangkan bajet mini tidak lama lagi, Apakah pandangan Tan Sri mengenai bajet mini ini?

Bajet mini ini berada pada peringkat terakhir dan sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan. Pakej rangsangan ini akan mengandungi pelbagai peruntukan tambahan. Itu sudah pasti. Cuma kita tidak tahu apakah bentuk pakej rangsangan itu. Mungkin ia membabitkan peruntukan tambahan di sektor tertentu, berunsur percukaian dan tindakan inisiatif untuk liberalisasi dan sebagainya. Kita perlu tingkatkan prestasi perbelanjaan awam.

EPU juga sedang mengkaji apakah jenis projek yang boleh dilaksanakan dengan cepat supaya tunai itu akan mengalir kepada orang ramai. Dalam keadaan ini kita tidak boleh memutuskan sesuatu projek dengan serta-merta tanpa mengambil kira kepentingan dan keperluannya. Kita tunggu pembentangannya pada 10 Mac nanti.

Apakah tumpuan yang perlu diberi kerajaan untuk menangani kemelut krisis ekonomi ini?

Antaranya, pertama sektor yang perlu diberi penekanan ialah untuk memastikan rakyat mempunyai pekerjaan serta prospeknya. Kita mesti membantu supaya perniagaan berterusan dan usaha perlu ditingkatkan. Selain itu, kita mesti meningkatkan pembiayaan awam, projek mana yang perlu dipercepatkan atau sebaliknya. Kita sedang mengkaji projek mana yang perlu dan boleh dilaksanakan. Setiap hari kita ada kumpulan yang berbincang, berunding membabitkan pelbagai perkara untuk menstabilkan sektor tertentu.

Seperti saya katakan tadi, sektor eksport terjejas teruk dan tumpuan kepada perbelanjaan dalam negeri iaitu pelaburan dan kegunaan. Unit Penyelarasan Pelaksanaan akan memastikan tunai mengalir kepada orang ramai. Khamis lalu kita sudah bermesyuarat apakah bentuk projek yang boleh dipercepatkan. Kita tidak boleh membuat keputusan serta-merta, bimbang tidak sesuai. Kedua, kita ingin menarik pelaburan awam. Ketiga adalah penggunaan awam.

Kita fokuskan kepada permintaan agregat dalam negeri yang mempengaruhi semua pelaburan dan penggunaan. Seperti Singapura, negara berkenaan bergantung semuanya kepada eksport. Tetapi, negara kita masih lagi mengeksport 85 peratus, import 15 peratus. Untuk itu, kita kena fokus perbelanjaan dalam negeri sebab kita ada potensi dalam penggunaan awam dan perbelanjaan kita sebagai individu serta perbelanjaan swasta.

Berdasarkan angka, sudah ada petunjuk bahawa ekonomi negara mula menghadapi penguncupan. Sejauh mana kadar pengangguran dan pemberhentian kerja berlaku di negara ini?

Pembuangan pekerja, sehingga 1 November 2008 hingga 3 Februari lalu membabitkan seramai 11,595, manakala pemberhentian sukarela seramai 2,752. Pemberhentian sementara lebih kurang 45,000 (ia bermakna mereka memberhentikan kerja sementara untuk tempoh sebulan), yang membabitkan pemotongan gaji (18,811 orang).

Ini menunjukkan pasaran guna tenaga sudah mula terjejas. Sejumlah besar yang terbabit ialah operator dan pekerja teknikal, mesin operator dan pemasangan loji dan mesin serta pekerja am. Ini menunjukkan betapa seriusnya kegawatan kali ini. Untuk pekerja profesional, 1,022 sudah dibuang kerja. Kini kita menilai kesan ke atas negara dan bagaimana nilai projek pembangunan.

Kita mahu membelanjakan duit yang lebih dalam negara. Projek yang membabitkan import kita kurangkan. Yang boleh memberi faedah dalam kadar terdekat, kita galakkan. Kesan berganda yang kukuh seperti pembinaan kita galakkan untuk memesatkan ekonomi.

Apa langkah kerajaan seterusnya dalam menghadapi dan menangani masalah ini supaya ia tidak terus pada paras yang terburuk?

Kita tidak tahu apa berlaku dan adakah mungkin dalam tempoh sebulan lagi akan menjadi bertambah teruk. Bila semua negara menjadi lebih ‘protective’, fokus dalam negara berkurangan. Jadi keadaan ekonomi akan lebih menguncup. Pertama, bagaimana ia akan memberi kesan dan adakah situasi krisis ekonomi itu berada dalam tempoh masa yang lama atau tidak.

Oleh itu keadaan ini memberi cabaran kepada pihak perancang dan penganalisis ekonomi. Kita juga perlu sentiasa memantau dan ketangkasan kita memberi maklum balas yang bersesuaian pada situasi itu, amat penting. Bagaimana negara menanganinya? Bagaimana sektor swasta dapat membantu kerajaan? Kalau sektor swasta tidak mahu berbelanja, susah juga.

Sektor swasta perlu ada peranan mereka. Bagaimana pegawai kerajaan pada peringkat pelaksana dapat merancang dengan lebih cepat, tepat dan berkesan untuk menghadapi cabaran dalam keadaan begini. Dalam keadaan eksport dan perdagangan negara yang berkurangan atau menguncup ini, bagaimana kita dapat terus mencari pasaran yang baru?
Sumber: Berita Harian

No comments: