MUKADIMAH PERSONALITINYA cepat mesra dengan sesiapa biar pun baru berkenalan. Itulah Datuk Zuraidah Atan yang petah berbicara. Ahli korporat wanita yang miliki latar belakang undang-undang dan perbankan.
Berbual mengenai topik ekonomi ditambah dengan isu-isu semasa dan cabaran Melayu/bumiputera memang menarik minat wanita yang sukakan barangan teknologi maklumat terkini ini.
“Saya adalah perancang strategi. Dalam prinsip untuk menang, kita perlu memilih untuk menang dalam peperangan dan bukannya memilih untuk menyerang semua pertempuran. Tapi, kita orang Melayu memilih untuk menyerang dan menang,” katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, AZMAN ANUAR, DALIZA ARIFFIN dan AMIRAH AMALY SYAFAAT.
Pesan Zuraidah, orang Melayu/bumiputera perlu fokus terhadap misi yang ditetapkan dan jangan terlalu melibatkan diri dalam hal-hal remeh-temeh. Melalui semangat nasionalisme dan cintanya untuk membangunkan orang Melayu, institusi kewangan di mana beliau berkhidmat telah memiliki ramai tenaga kerja bumiputera yang mahir dalam segmen perundingan kewangan.
MINGGUAN: Sekarang terlalu banyak tumpuan diberi kepada politik, sedangkan ekonomi negara kini berdepan dengan krisis kewangan global. Apa komen Datuk?
ZURAIDAH: Biar kita letak diri kita sekarang seperti menguruskan sebuah perniagaan yang mana kita memiliki misi untuk membolehkan kita menunjukkan kejayaan dan kehebatan serta mendapat keuntungan. Ini sama seperti kita mentadbir negara untuk mencapai pembangunan. Ia boleh dirancang untuk jangka masa sederhana dan jangka panjang. Namun kita sentiasa berdepan dengan pelbagai masalah dalam operasi dan masalah kecil yang lain.
Jadi cabaran seperti inilah yang dihadapi oleh ahli politik negara sekarang. Tetapi mereka tidak seharusnya terlalu serius terlibat dalam masalah ini. Mereka perlu mencari jalan untuk menangani masalah yang dihadapi. Apa yang penting sekarang, kita tidak harus mengabaikan misi yang telah ditetapkan sebelum ini. Oleh itu, kita perlu kukuhkan kedudukan kita walaupun menghadapi pelbagai gangguan.
Bagi sesebuah syarikat, dalam menghadapi keadaan ini kita perlu memiliki ketua operasi yang kuat. Sekiranya ketua operasi kita lemah, sekali gus kita yang memegang jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif pastinya akan nampak lemah. Sebab itulah kita memerlukan ketua-ketua operasi yang kuat untuk berdepan dengan cabaran ini.
Bagaimana kuasa ekonomi bumiputera sekarang, Datuk?
ZURAIDAH: Apa yang penting kini ialah memartabatkan usahawan Melayu/bumiputera sehingga penguasaannya mencapai 30 peratus dan ia perlu dirujuk kepada jumlah populasi. Kumpulan ini sebanyak 66 peratus, tetapi apa yang kita lihat sekarang, mereka tidak ada kuasa ekonomi. Jadi, selagi kita tidak memiliki kuasa ekonomi maka selagi itu jugalah kita tidak akan memiliki kuasa. Mungkin kita ada kuasa politik tetapi ia tidak boleh memberi kesan seperti mana yang ada pada kuasa wang.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah lama menjadi pelindung Melayu. Sampai bilakah kita hendak berasa selamat dengan adanya dasar ini?
ZURAIDAH: Melalui DEB, kita mahu membela nasib mereka yang terpinggir tetapi kebetulan mereka yang nak kita bela itu adalah orang Melayu. Jadi adakah perlu kita tarik balik hak istimewa orang Melayu pada masa sekarang sedangkan kita masih tidak lagi mencapai kuota untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup orang Melayu serta memiliki kuasa ekonomi. Berdasarkan kepada Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sasaran pemilikan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara menjelang tahun 2010 adalah antara 20 hingga 25 peratus. Angka ini lebih rendah daripada apa yang disasarkan sebelum ini.
Kini pemilikan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara adalah antara 18 hingga 19 peratus berbanding dengan pemilikan bukan bumiputera sebanyak 43 peratus. Angka ini adalah kecil jika dibandingkan jumlah populasi bumiputera di negara ini. Jika dilihat kepada aspek pemilikan bangunan di kalangan usahawan bumiputera pula, kumpulan bumiputera hanya memiliki 15.7 peratus pada tahun 2007 manakala 75.7 peratus dimiliki oleh usahawan bukan bumiputera.
Kita jangan berasa terlalu selamat kerana adanya DEB sebab kita orang Melayu, kita perlu lihat di sekeliling kita bahawa ekonomi kita telah dikuasai oleh orang bukan bumiputera.
Patutkah ia ditarik daripada orang Melayu?
ZURAIDAH: Ini bukan masa untuk kita bercakap pasal menarik balik DEB atau memperlekehkan DEB. Ini adalah perjuangan kita. Melaluinya kita boleh memberi laluan dan memberi peluang kepada kaum kita juga. Mengambil kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa “Melayu mudah lupa” dan sekarang sudah ada orang korporat Melayu yang telah memperlekehkan DEB. Ini kerana mereka tidak pernah merasa susah sehingga sekarang, jadi sudah pastilah mereka rasa kehidupan mereka berjalan lancar dan mampu bersaing serta merasakan diri mereka lebih bijak dan yang terbaik.
Tetapi kita lupa bahawa masih ada lagi sebahagian daripada kaum kita sendiri masih memerlukan peluang dan laluan ini.
Sumber: Mingguan Malaysia, 22 Februari 2009