Friday, November 13, 2009

YAB. DATO' SRI NAJIB BERTEMU PRESIDEN BARACK OBAMA DI SINGAPURA?

Oleh : Pemikir MM

Pemimpin-pemimpin negara-negara APEC akan mula berkumpul di persidangan kemuncak APEC di Singapura pada minggu ini urutan dari beberapa siri persidangan yang diadakan. Singapura, sebagai negara Asean, merupakan hos kali ini dan pemimpin-pemimpin dari negara-negara kuasa besar termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan 10 pemimpin Asean termasuk Myamar turut hadir.

Pemimpin yang agak glamor yang ditunggu-tunggu oleh hadirin di APEC, Singapura ini, adalah Presiden Barack Obama Hussein, iaitu Presiden Amerika Syarikat. Beliau akan melawat Jepun sebelum mendarat di Singapura dan selepas mesyuarat APEC akan ke Shanghai, Beijing dan Korea Selatan.

Semasa di Singapura, Presiden Obama dijadualkan buat pertama kalinya bertemu dengan 10 pemimpin Asean untuk membincangkan agenda yang berkepentingan kepada rantau ini. Ini juga adalah kali pertama seorang Presiden Amerika yang mempraktikkan diplomasi terbuka menampilkan anjakan kepada satu pendekatan dasar luar yang lebih seimbang. Presiden Obama mengamalkan sikap keterbukaan sehingga dapat memukau pemimpin-pemimpin yang anti Amerika termasuk Presiden Castro (Cuba) dan beberapa pemimpin di Amerika Latin dan Timur Tengah. Pendekatan beliau yang dibantu oleh Puan Hillary Clinton, menjadikan Amerika sebagai negara yang dianggap boleh memberi harapan kepada ketenteraman dan kestabilan dunia jika dibandingkan dengan era Presiden Bush, yang mempunyai dasar luar dihantui oleh keganasan dari luar yang kononnya akan menghancurkan Amerika Syarikat.

YAB. Perdana Menteri Malaysia pasti akan berpeluang bertemu Presiden Obama bagi membincangkan perkara-perkara dua hala kerana Amerika Syarikat merupakan rakan perdagangan terbesar di antara Kuala Lumpur/ Washington. Malaysia banyak membuat eksport ke Amerika Syarikat dan nilai eksport segi ringgit Malaysia terus bertambah sehingga meningkat ke RM100 billion dalam tahun 2008. Ini bukanlah satu angka yang kecil malah ia akan bertambah dari setahun ke setahun kerana Malaysia mempunyai keupayaan untuk menepati keperluan domestik Amerika Syarikat yang mempunyai penduduk sekitar 300 million orang.

Dengan perlantikan MP Rompin, YB. Datuk Sri Dr. Jamaluddin Jarjis sebagai Duta Besar Malaysia ke Washington, adalah diharapkan bahawa perhubungan Amerika Syarikat/Malaysia akan terus menjadi lebih akrab dan produktif. Malaysia merupakan satu negara Islam yang sederhana dan dihormati oleh negara-negara Islam dan membangun seperti Republik Rakyat China, Russia kumpulan Eropah dan negara-negara Pasifik.

Wira mengucapkan syabas kepada Presiden Obama kerana beliau adalah satu-satu Presiden Amerika Syarikat yang boleh dianggap luar biasa dan pragmatik disamping mengamalkan pendekatan berbaik-baik dengan semua negara supaya dunia menjadi lebih aman untuk di duduki. Walaupun beliau tidak akan melawat Kuala Lumpur, Jakarta, Bangkok, Manila, Brunei namun kehadirannya di Singapura akan dirasai di seluruh rantau ini. Dasar ekonomi yang akan diucapkan Obama dalam Persidangan APEC nanti mungkin mengandungi beberapa syor yang boleh mengukuhkan ekonomi dan taraf hidup penduduk-penduduk di rantau Asean ini. Diharapkan juga bahawa kehadiran beliau ini dapat merungkai masalah-masalah yang dihadapi oleh negara Myanmar di mana media melaporkan bahawa Suu Kyi dibebaskan untuk sama-sama bertanding dalam pilihan raya di Myanmar pada tahun hadapan. Juga diharapkan ketegangan di antara Komboja dan Thailand yang melibatkan bekas PM Thaksin yang kini dilantik sebagai Penasihat kepada PM Hun Sen, Kemboja, mendapat jalan penyelesaian.

WIRA MENGUCAPKAN YAB. DATO’ SRI PM SELAMAT MENGHADIRI PERSIDANGAN APEC DI SINGAPURA.

No comments: