Sumber:Utusan Malaysia, 20 November 2009.
HANYA semangat Barisan Nasional (BN) sahaja boleh menyelesaikan kemelut dalam MCA. Sebagai rakyat yang prihatin dengan aspirasi Perdana Menteri dan agenda 1Malaysia, jalan yang paling baik untuk komponen BN itu menjernihkan krisis dalaman parti yang semakin keruh dengan banjir air mata dua tonggak utama parti ialah dengan merujuk kepada Pengerusi BN sebagai abang besar.
Justifikasinya ialah selagi punca permasalahan tidak dirungkai, MCA dan masalah kepimpinan mereka akan terus menjadi fokus semua pihak. Ini bukan situasi yang baik untuk BN dan pemerintahan negara kerana ia melibatkan pemimpin MCA yang juga menjadi menteri Kabinet.
Masalah dalaman sepatutnya selesai di dalam parti, namun kelambu yang terkuak menunjukkan ada sesuatu perlu dilakukan dan seseorang yang neutral perlu dijadikan orang tengah. Langkah Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi BN untuk menyelesaikan kekusutan dalam MCA mencerminkan kepekaan beliau dalam menangani kemelut yang seperti tidak akan berakhir dan ini menguji kepimpinan beliau sendiri.
Semua pihak yang terlibat perlu berlapang dada dan berminda terbuka untuk mengatasi masalah yang melanda selapis demi selapis. Impak penglibatan Pengerusi BN dilihat mampu untuk memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin tertinggi yang terlibat berfikir luar kotak iaitu berfikir untuk menyelesaikan masalah bukan untuk ahli MCA sahaja tetapi masyarakat Cina khususnya dan rakyat Malaysia amnya.
MCA sebagai salah satu parti terbesar negara yang mewakili masyarakat Cina adalah harapan untuk memperjuangkan kepentingan nasional mereka dalam situasi pihak pembangkang masih terus dengan krisis dalaman dan luaran mereka.
Bidalan Melayu memang tepat, cubit paha kanan paha kiri turut terasa. Sebagai sebahagian komponen BN - MCA, UMNO dan MIC telah melalui terlalu banyak cubaan dan dugaan dalam 'persahabatan' mereka.
Kesusahan sahabat merupakan kesusahan sahabat satu BN. Bukan berniat campur tangan tetapi hasrat Najib sebagai Pengerusi BN adalah untuk mengembalikan kestabilan dalam MCA sekali gus dalam BN yang turut dianggotai oleh PPP dan komponen dari Sabah dan Sarawak seperti PBS dan Pesaka.
Parti-parti pembangkang sudah pasti akan menangguk di air keruh dalam isu ini. Masing-masing mencari kelemahan lawan, yang akan rugi ialah pihak yang sedang memegang kuasa. Jika kuasa sudah terlepas ke tangan pihak lain hanya penyesalan sahaja yang akan didengari dari mulut mereka.
Seperti biasa jika sesuatu jalan penyelesaian sukar dicari, MCA haruslah merujuk kepada sejarah kepimpinan yang lalu dan yang menariknya pemimpin-pemimpin lama itu masih ada dan boleh saja dijadikan rujukan terakhir jika kekusutan dan pelan perpaduan gagal direalisasikan.
MCA perlu ingat bahawa krisis tidak boleh diselesaikan dengan krisis yang baru kerana yang akan berlaku ialah sokongan akar umbi akan berpecah-pecah kerana mereka dihadapkan dengan situasi 50-50 yang akan mengorbankan perpaduan parti dan BN sendiri.
Jadi langkah Najib untuk meredakan suasana yang hangat amat tepat sebelum tindakan merujuk kepada 'orang lama' dibuat. Kita masih ada misi dan visi untuk negara ini yang masih belum selesai dan MCA adalah sebahagian dari faktor pemangkin ke arah kejayaan misi dan visi itu.
Walaupun Wawasan 2020 dan 1Malaysia hampir dikecapi namun ia lebih bermakna jika MCA terus mantap bersama-sama komponen BN yang lain menuju ke arah itu.
Semua pihak dalam MCA perlu memberi ruang kepada Pengerusi BN dan diri mereka sendiri untuk menjernihkan segala kekeruhan. Dengan situasi yang seolah-olah di hujung tanduk hanya Pengerusi BN yang layak menjadi pengantara bagi semua pihak.
Biar banjir melanda bumi kita jangan pemimpin pula banjir dengan air mata hanya kerana hilang tempat untuk meluahkan pendirian. Rapatkan barisan yang semakin renggang kerana BN perlu sokongan komponen 100 peratus.
ABDUL RAZAK IDRIS
Banting, Selangor
No comments:
Post a Comment