Sunday, May 25, 2008

UMNO MAMPU PERJUANGKAN MELAYU

KUALA LUMPUR 24 Mei - UMNO masih mampu memperjuangkan hak orang Melayu walaupun mengalami banyak perpecahan di kalangan ahli parti itu selama ini, kata Pengerusi Pertubuhan Alumni Kelab-kelab UMNO Luar Negara, Datuk Noh Omar.

Beliau berkata, UMNO masih relevan kepada orang Melayu selagi perjuangan membela nasib mereka dilakukan secara berterusan.

''Saya memahami ahli-ahli UMNO mempunyai pendapat yang berbeza dalam politik, tetapi jangan lupakan persamaan yang ada pada kita.

''Biarlah kita lupakan perbezaan dan terus memperjuangkan hak-hak keistimewaan kaum Melayu, maka UMNO akan terus kekal,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara Ke-9 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, perjuangan UMNO kini menghadapi dua persimpangan yang bertentangan di antara kaum Melayu dan kaum bukan Melayu.

''Ada yang cakap kami (UMNO) perlu kurangkan memperjuangkan hak Melayu bagi menjaga hati kaum bukan Melayu.

''Dalam satu persimpangan lain pula, kaum Melayu menganggap kami gagal mempertahankan hak Melayu dan kurang berkeyakinan terhadap perjuangan kami,'' tambahnya.

Beliau seterusnya percaya hanya UMNO sahaja yang dapat menyatupadukan kaum Melayu pada masa ini.

Tambahnya, alumni kelab-kelab UMNO akan terus mempertahankan asas perjuangan sebagaimana awal penubuhan parti itu mengenai kontrak sosial yang berkaitan dengan hak Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

''Kontrak sosial yang merangkumi hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan tanah rizab yang dimiliki orang Melayu telah dipersetujui oleh kesemua rakyat sebelum ini dan tiada sesiapa pun boleh mempersoalkannya,'' jelasnya.

Namun, katanya lagi, selain daripada memperjuangkan hak istimewa kaum Melayu, mereka juga tidak akan mengabaikan hak kaum lain.

''Ini termasuk perjuangan membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum yang masih merupakan agenda utama kerajaan,'' ujarnya.- UM.

No comments: