Monday, May 26, 2008

MASALAH PATI SABAH PERLU KAJI

KOTA KINABALU 25 Mei - Masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah memerlukan kajian terperinci oleh sebuah badan bebas dan mempunyai kuasa menentukan bentuk penyelesaian yang menyeluruh.

Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman berkata, kajian itu penting memandangkan pada masa ini terlalu banyak dakwaan mengenai PATI tetapi tidak berasaskan fakta yang nyata.

Menurut beliau, oleh sebab masalah tersebut menjadi isu yang sering diperkatakan termasuk dijadikan bahan kempen pilihan raya, pihaknya bimbang rakyat akan hilang kepercayaan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) jika ia tidak ditangani secara konsisten.

''Banyak dakwaan ditimbulkan sama ada oleh parti komponen BN atau pembangkang termasuk projek kad pengenalan palsu serta jumlah sebenar PATI di Sabah. Ada yang kata 200,000 atau 500,000, malah ada kata sampai satu juta.

''Tetapi semua ini tidak pernah ada satu kajian yang tepat dan seharusnya sebuah badan diwujudkan bagi mendapatkan satu gambaran sebenar dan selepas itu barulah kita boleh menghuraikan satu persatu jalan penyelesaian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini hari ini bagi menolak dakwaan beberapa pihak bahawa Ahli Parlimen Sabah tidak mengambil berat isu PATI selepas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee menolak usul Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai PATI di Sabah.

Pada 22 Mei lalu, cubaan Kit Siang yang juga Ahli Parlimen DAP Ipoh Timur meminda usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong gagal apabila ditolak Kiandee yang dianggap satu perbuatan tidak sopan.

Mengulas lanjut, Anifah berkata, apa yang berlaku ialah Kit Siang cuba mengambil kesempatan atas isu yang telah pun disuarakan oleh Ahli Parlimen BN dari Sabah termasuk beliau sendiri.

Katanya, sepatutnya semua pihak menunggu jawapan dan tindakan daripada kerajaan dan tindakan menolak usul Kit Siang tidak bermakna Ahli Parlimen BN mengetepikan kepentingan isu berkenaan kepada rakyat Sabah.

''Apa yang kita minta ialah satu mekanisme berkesan menangani isu PATI ini sama ada dalam bentuk Jawatankuasa Pilihan Parlimen atau sebuah suruhan jaya kerana yang penting ialah kuasa yang ada bagi menyelesaikannya.

''Ia sama seperti sama ada kita mahu menaiki kereta Kancil atau Mercedes untuk ke sesuatu tempat. Matlamatnya sama tetapi lajunya mungkin berbeza. Kita harap kerajaan mengambil tindakan apa yang kita suarakan," ujar beliau.

Katanya, oleh sebab isu PATI di Sabah adalah isu negeri sewajarnya jawatankuasa yang dibentuk terdiri daripada mereka yang memahami isu setempat dan bukannya orang luar yang tidak berkaitan.

Tambah beliau, dalam proses penyelesaian pula, pihak berkenaan tidak boleh melihat daripada aspek undang-undang sahaja tetapi juga soal kemanusiaan kerana apa yang didapati ramai PATI ini tidak diakui oleh kerajaan Filipina termasuk status anak-anak mereka yang lahir di Sabah.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya isu tersebut tidak dipolitikkan oleh pihak-pihak lain kerana tindakan menyelesaikannya perlu dilakukan secara realistik dan secara fakta yang betul.

Menyentuh perkara lain, Anifah sekali lagi menegaskan bahawa kelantangan bersuara di Dewan Rakyat serta tindakan menolak beberapa jawatan yang ditawarkan tidak bererti beliau berhasrat untuk keluar daripada UMNO dan menyertai pakatan pembangkang.

''Saya telah dua penggal memegang jawatan dan oleh sebab terikat dengan etika, saya tidak boleh bebas bersuara. Sekarang, saya mahu bebas bersuara bagi pihak rakyat Sabah.

''Apa yang diperkatakan bukan sahaja baik untuk Sabah tetapi juga penting bagi memastikan sokongan pengundi negeri ini kepada BN tidak berubah seperti tsunami politik yang melanda lima negeri di Semenanjung," katanya. - UM.

No comments: