Sunday, May 25, 2008

PERPADUAN AGENDA UTAMA NEGARA

PUTRAJAYA, 25 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mahukan setiap rakyat memperkasakan perpaduan sebagai agenda utama negara kerana ia merupakan asas penting dalam menentukan kejayaan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat bukan tidak boleh mempunyai perbezaan pendapat tetapi hendaklah menyuarakannya secara berhemah.

"Mereka mesti tahu sensitiviti kaum. Jangan sakiti perasaan kaum lain. Tuntutan biarlah munasabah," katanya ketika melancarkan Bulan Perpaduan peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini.

Beliau berkata tidak mungkin setiap kaum dapat segala-galanya dan sikap tolak-ansur tersebutlah perlu terus dipelihara.

Kewujudan Perlembagaan negara sendiri mencerminkan semangat tolak ansur dan meletakkan perpaduan sebagai asas utama negara, katanya.

Najib berkata semangat permuafakatan di kalangan rakyat juga boleh dilihat dengan jelas sebagai contohnya wujud sekolah Cina dan Tamil di negara ini walaupun sekolah kebangsaan dijadikan sekolah utama pilihan kerajaan sedangkan sekolah jenis kebangsaan tidak wujud di Singapura, Thailand dan Indonesia.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Najib berkata tahap perpaduan rakyat kini semakin mantap.

Konsep bangsa Malaysia kini sudah pun berada dalam minda rakyat tanpa mengira kaum kerana rakyat melihat seseorang berdasarkan kemuliaan perwatakan seseorang dan bukannya warna kulit.

Misalnya, katanya dalam sesuatu kemalangan jalan raya, pengguna jalan raya rela membantu mangsa tanpa mengira kaum.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan Anugerah Tokoh Perpaduan kepada bekas Yang Dipertua Sabah Tun Sakaran Dandai dan aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.

Anugerah itu bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada pemimpin yang banyak menyumbang kepada usaha-usaha memupuk perpaduan dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum. Penerima anugerah itu diberi sijil dan cenderamata.

Najib turut menyampaikan Anugerah Kalung Perpaduan kepada Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Michael Chong, kartunis Datuk Mohammad Nor Khalid (Lat), wira menyelamatkan mangsa feri terbakar di Mersing Oktober tahun lepas S. Krishnamoorthy, wirawati menyelamatkan mangsa kebakaran rumah di Kota Bahru pada Ogos tahun lepas Nafisah Abdullah dan penangkap peragut Mohd Afzal Hamzah.

Anugerah itu diberikan kepada rakyat yang sanggup berkorban untuk menyelamatkan anggota masyarakat yang ditimpa kesusahan atau bencana. Penerima anugerah diberi sijil, cenderamata dan wang RM5,000.

Sementara itu, Lam Thye berkata perpaduan perlu menjadi keutamaan tertinggi kerajaan dan pendidikannya perlu bermula di sekolah.

"Saya akan berkongsi anugerah ini dengan keluarga saya dan seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Krishmoorthy pula berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk menyelamatkan mangsa feri terbakar sekiranya ia berlaku di masa akan datang.

"Saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia membantu mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengira kaum," kata Michael Chong.

Nafirah pula berterima kasih kepada kerajaan di atas penghargaan kerana beliau menyelamatkan dua mangsa kebakaran.

No comments: