Wednesday, May 21, 2008

DAP SERING AMBIL KESEMPATAN

MP Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghafur Salleh, membidas DAP yang sering mengambil kesempatan untuk mendapatkan political mileage dengan mengemukakan usul tertentu seperti isu Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang pernah dikemukakan olehnya.

Menurutnya, beliau tidak akan menyokong usul DAP itu jika ia dikemukakan kerana beliau sudah menyuarakan apa yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan dan tidak mahu terperangkap dengan mainan politik DAP.

Beliau mencadangkan agar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menemui Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, untuk membincangkan apa masalah sebenar mengenai PATI dan menyusun apa yang perlu dilaksanakan. DS Syed Hamid boleh mendapat pelbagai maklumat dan pandangan daripada DS Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sabah.

Datuk Seri Abdul Ghafur juga mahu kerajaan mewujudkan semula perkhidmatan seperti "Feri Malaysia" untuk merapatkan hubungan antara rakyat di negara ini. Menurutnya, kerajaan jangan hanya berfikir mengenai kerugian saja dan boleh mengadakan semula feri Malaysia. Kerajaan perlu membelanjakan sedikit wang untuk kepentingan rakyat.

Datuk Seri Abdul Ghafur berterima kasih kepada pengundi di Kalabakan kerana sentiasa di belakang dan taat setia Barisan Nasional (BN). Ini berbeza dengan penduduk di bandar yang mendapat pelbagai kemudahan tetapi tidak menyokong BN.

No comments: