Oleh Esa Adam (Bandar Sunway, Selangor)
SAYA benar-benar rasa kecewa apabila mengetahui yang Parlimen sekarang telah digunakan sebagai tempat aktiviti sosial beragenda politik.
Parlimen sebuah institusi penggubal undang-undang yang tertinggi telah tercemar digunakan oleh segelintir individu untuk tujuan politik.
Pihak berkuasa Parlimen tidak sepatutnya membenarkan kumpulan Hindraf mengunakan Parlimen sebagai tempat menyambut hari jadi seorang anak pemimpinnya. Pihak berkuasa Parlimen mesti bertegas dalam hal ini.
Saya juga kecewa dengan Ketua Pembangkang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang turut serta berada di situ menyambut hari jadi anak pemimpin Hindraf itu. Beliau sepatutnya tahu status Parlimen.
Dengan tidak disedari kita orang dewasa telah mengheret anak tersebut ke arah berpolitik secara tidak sihat dan contoh yang tidak baik kepada kanak-kanak di seluruh negara.
Adakah kita orang dewasa mahu mengajar kanak-kanak menentang kerajaan? Kanak-kanak adalah umpama rebung yang jika silap dilentur akan terus bengkok selamanya.
Parlimen adalah institusi penggubal undang-undang yang mesti dihormati. Rakyat yang setia kepada negara mesti mematuhi undang-undang yang digubal, dibahas dan diluluskan di Parlimen. Pemimpin-pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah akta ISA adalah mereka yang tidak mematuhi undang-undang negara.
Dengan meraikan sambutan hari jadi tersebut di Parlimen kita seolah-olah mahu menunjukkan kepada anak tersebut yang kita tersilap menahan ayahnya walaupun kita tahu ayahnya bersalah dari segi undang-undang negara.
(SUMBER : SURAT PEMBACA UTUSAN MALAYSIA)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment