Wednesday, May 21, 2008

ISU AGAMA GOLONGAN BUKAN ISLAM DIBERI PERHATIAN

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata kerajaan memberikan perhatian serius terhadap isu-isu agama yang membabitkan golongan bukan Islam di negara ini.

"Kerajaan, di samping memberikan perhatian serius terhadap isu-isu membabitkan golongan Islam, juga amat prihatin terhadap isu-isu yang membabitkan golongan bukan Islam.

"Akan tetapi, apa yang ingin saya tekankan di sini adalah soal penjagaan hal ehwal agama bukan Islam diuruskan oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan bukan Jabatan Perdana Menteri semata-mata," kata Ahmad Zahid semasa ditemuramah dalam program 'Bersemuka Dengan Media' siaran RTM1 yang mengupas tajuk 'Isu Agama Masa Kini' di sini malam Selasa.

Beliau ditemubual oleh Ketua Pengarang Sinar Harian Abdul Jalil Ali dan wartawan kanan BERNAMA S.Retnanathan.

Ahmad Zahid berkata kerajaan turut meneliti permintaan beberapa badan-badan bukan kerajaan baru-baru ini yang mahu kerajaan menubuhkan jabatan hal ehwal bukan Islam.

"Dalam hal ini, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Mohd Shafie Apdal telah mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua agama Hindu, Kristian dan Buddha bagi menimbang cadangan tersebut," katanya.

Mengenai kes-kes murtad yang berlaku di negara ini, Ahmad Zahid berkata kebanyakan kes berlaku di sekitar Sabah dan bukannya di Semenanjung Malaysia.

No comments: