Monday, May 26, 2008

HAK BN TENTUKAN SIAPA ANGGOTA JK

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata lantikan anggota di dalam Jawatankuasa Pemilih Parlimen adalah hak Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang memenangi lebih kerusi, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Beliau berkata soal pelantikan wakil MIC di dalam jawatankuasa berkenaan adalah bagi mewakili masyarakat India adalah terpulang kepada mereka walaupun pembangkang mendakwa mereka mempunyai lebih ramai wakil rakyat keturunan itu di dalam Parlimen.

"Itu hak kita. Nisbah yang ada sekarang ialah empat daripada parti kerajaan dan dua daripada pembangkang itu dikira munasabah kerana pelantikan perlu mewakili gambaran sebenar kerusi yang dimenangi parti-parti.

"Nisbah itu adalah adil. Kita menang 140 kerusi manakala pembangkang hanya 82," katanya semasa menggulung perbahasan usul mengikut peraturan mesyuarat 76 bagi melantik jawatankuasa pemilih bagi tempoh Parlimen ke-12 yang dibentangkannya.

Dewan Rakyat bersetuju melantik Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai pengerusi, Timbalan Perdana Menteri dan anggota Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak, Anggota Parlimen Kulai Datuk Seri Ong Ka Ting, Anggota Parlimen Penampang Tan Sri Bernard Dompok, Anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam serta Ketua Pembangkang dan Anggota Parlimen Permatang Pauh Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam jawatankuasa berkenaan.

Nazri berkata jawatankuasa itu, yang turut dianggotai oleh tiga menteri Kabinet, tidak seharusnya disalah anggap sebagai berkepentingan kerana ia sebenarnya pelantikan atas kapasiti mereka sebagai Anggota Parlimen yang mewakili kawasan masing-masing dan bebas membuat keputusan.

Nazri merujuk kepada Najib, sebagai Anggota Parlimen Pekan, Najib juga bebas membuat keputusan. Merujuk kepada penjelasan yang diminta oleh Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat), beliau berkata tidak ada ruang lagi untuk memberi tempat seorang lagi mengangotai jawatankuasa bagi mewakili parti itu.

Malah katanya tempat bagi wakil rakyat dari Sarawak juga terpaksa dikorbankan kepada Kit Siang, manakala wakil orang Cina diberikan kepada Ong dan India diberikan kepada Dr Subramaniam.

Menjelaskan perkara yang dibangkitkan oleh Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Nazri berkata sekiranya pembangkang mahukan wakil masyarakat India di dalam jawatankuasa berkenaan, mereka perlu sedia mengambil peruntukan yang diberikan kepada Dr Wan Azizah.

Nazri berkata lantikan itu juga merangkumi pemimpin kanan parti masing-masing bertujuan memudahkan mereka membuat keputusan bagi pihak parti dan urusan jawatankuasa.

Mengenai dakwaan Azmin bahawa MIC tidak lagi mewakili masyarakat kaum India di negara ini kerana beberapa pemimpin kanan mereka tewas pada pilihan raya umum lepas, beliau berkata ia hanyalah tanggapan wakil pembangkang itu sahaja.

"Kita ikhlas, jujur dengan masyarakat India dan meletakkan wakil mereka dalam kawasan yang majoritinya bukan India (iaitu Melayu) pada pilihan raya umum lepas sebagai contoh di Teluk Kemang dan Hulu Selangor tetapi PKR meletakkan calon Melayu.

"PKR yang menyebabkan kurangnya wakil India itu. Saya tak nafikan sokongan orang India kepada PKR, mereka letak calon Melayu di kawasan Melayu tapi kita letak calon bukan Melayu, mana tak mati (kalah) kita," katanya.

No comments: