Wednesday, May 21, 2008

JALAN RAYA BAIK, PUNCA KTMB RUGI

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Perkhidmatan pengangkutan awam yang semakin sistematik dan jalan raya yang lancar menyebabkan orang ramai kini tidak lagi menggunakan kereta api untuk perjalanan ke sesuatu destinasi.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lajim Ukim berkata keadaan itu juga menyebabkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengalami kerugian berjuta ringgit setiap tahun.

"Perkhidmatan kereta api memang tidak begitu baik justeru kementerian berusaha untuk memperbaikinya dengan menggantikan koc dan kereta api yang sudah lama.

"Sekarang kita mempunyai jalan raya yang cukup baik dan cepat sampai walaupun kena bayar tol sebab itu kereta api rugi," katanya menjawab soalan Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Lajim berkata bahawa pada tahun lepas, KTMB mengalami kerugian RM116 juta, pada tahun 2006 RM104 juta dan pada 2005 sebanyak RM131 juta.

Beliau berkata kementerian akan mengadakan perbincangan dengan pihak KTMB mengenai perkhidmatan yang diberikan bagi untuk keselesaan rakyat.

No comments: