Showing posts with label MELAYU. Show all posts
Showing posts with label MELAYU. Show all posts

Friday, August 15, 2008

MELAYU KENA SISIH DI PULAU PINANG

Oleh Anak Pekerja Perda

Bapa saya selalu merungut kerana kata bapa saya Anwar tidak tengok kepentingan Melayu lagi. Anwar yang bapa sanjung susah untuk ditemui lagi.

Bapa saya juga sakit hati dengan semua pemimpin Melayu di Permatang Pauh terutama dalam kerajaan negeri sekarang. Bapa kata mana mereka nak bela bahasa kebangsaan. Dulu, orang tidak bising pasal bahasa kebangsaan. Tak heboh sebab tidak orang nak kacau. Hendak pasang papan tanda bahasa Mandarin pula. Bapa amat marah. Emak pun marah tak hormati bahasa kebangsaan ini. Mana pemimpin Melayu? Mana pergi Wan Azizah. Jangan sibuk saja.

Bapa juga marah sebab kawan-kawan dia komplen kawasan Melayu tak dijaga lagi. Tidak dipeduli oleh kerajaan negeri. Rumput panjang. Longkang masih terus tersumbat. Yang lain kerajaan negeri nak tolong. Bukan perkauman tapi tokong Cina dibantu dibesarkan.

Kalau tidak suka tolong orang Melayu macam mana orang Melayu nak undi DAP lagi. Mana boleh. Tolonglah juga orang Melayu. Mereka rakyat negeri ini juga. Bapa kata Guan Eng tolong turun padang, jangan sibuk kat KL tolong bapa dia. Bising-bising kat Dewan Rakyat tapi negeri tidak tolong. Macam mana ni. Bapa kata nanti Melayu tak tolong DAP macam ni.

Thursday, August 14, 2008

SAMPAI BILA ORANG PAS AKAN TERUS DIPERMAINKAN?

Oleh: Tulip Desa
Pada 27 Mac 2008, YB Khalid Samad (Ahli Parlimen PAS Shah Alam) menyatakan bahawa masyarakat Kristian tidak perlu takut dan gentar untuk menggunakan terjemahan 'Allah' untuk merujuk kepada kalimah 'God' dalam Kristian dan ajarannya. Khalid juga berpendapat bahawa perkataan 'Allah' hanyalah terjemahan kepada perkataan 'God'.

Pada 27 Disember 2007, dalam satu majlis sambutan hari Krismas di Klang, Irene Fernandez (Bekas Timbalan Ketua Wanita PKR) mempersoalkan kenapa 'Allah' tidak boleh digunakan dalam akhbar Herald Tribune edisi Bahasa Inggeris. Selepas 19 hari menang sebagai Ahli Parlimen, Khalid Samad pula seolah senada dengan Irene Fernandez. Anwar Ibrahim yang dianggap sebagai Ketua Pakatan Rakyat berada sama dalam majlis di Klang ketika Irene mempersoalkan kalimah 'Allah'. Mengapa Anwar diam dan tidak menegur ketelanjuran yang dilakukan oleh Irene dan Khalid?

Teresa Kok juga telah berjaya menaikkan nama jalan yang disukainya di Jalan Bukit Bintang, tanpa tulisan jawi sepertimana cadangan asal DBKL. Pada 26 Jun 2008, Teresa Kok mengepalai satu petisyen penduduk di Puchong kepada Datuk Satim Diman (ADUN Seri Kembangan) mencadangkan agar azan diperlahankan kerana didakwa menggangu ketenteraman penduduk. Ianya sama seperti cadangan Tan Seng Giaw (Ahli Parlimen Kepong) dalam parlimen pada tahun lepas. Di manakah Hassan Ali (Exco dari PAS) dalam hal ini? Bukankah tindakan itu jelas jelas menentang Islam? Mengapa Penasihat Pakatan Rakyat tidak menegur pun mereka? Sampai bila orang orang PAS akan terus dipermainkan dalam Pakatan Rakyat antara DAP dan PKR? Dalam perkara ini, apakah kita lebih pentingkan ego parti dari soal agama dan maruah bangsa?

AZRINIZAM BIN IBRAHIMPresiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)
Sumber: http://www.anginperubahan.blogspot.com/
*********************************************************************************
Tulip Desa: Sampai bila PKR dan PAS di bawah Pakatan Rakyat akan menjadi kambing tunggangan DAP? Adakah mereka sedar atau buat-buat tak sedar bahawa mereka telah digunakan oleh DAP untuk mencapai kepentingan dan hasrat mereka. Nampaknya DAP terus dan terus menghimpit dan memaksa kedua-dua parti ini untuk mempertikaikan keistimewaan Melayu dan Agama Islam.

Tulip merasakan PKR dan PAS lebih mirip memperjuangkan kuasa dan kedudukan daripada menegakkan objektif dan prinsip perjuangan parti politik mereka. Ketakutan kehilangan kuasa dan kedudukan menyebabkan mereka menjadi kurang matang dalam perancangan dan tindakan. Jika perkara begini berlaku, Tulip bimbang, kemungkinan besar sistem pemerintahan dan kepentingan Melayu akan bertukar kepada sistem demokrasi negara Barat yang tidak prihatin terhadap agama dan bangsa.

Wednesday, August 13, 2008

PELAJAR UITM PROTES KHALID

SHAH ALAM 12 Ogos – Lebih 5,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berarak sejauh dua kilometer di sini hari ini untuk membantah keras cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar universiti itu dibuka kepada bukan bumiputera.

Kumpulan pelajar itu yang sebahagian besarnya memakai kemeja-T berwarna hitam mula berkumpul di Dataran Shah Alam pada pukul 9 pagi sebelum berarak sambil memegang sepanduk menuju ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

Sebaik tiba di luar pagar utama bangunan SUK yang menempatkan pejabat Abdul Khalid, mereka berdemonstrasi selama sejam.

Di samping menyanyikan lagu rasmi UiTM, mereka turut mengangkat sepanduk, antaranya bertulis ‘Jangan rampas hak kami’ dan ‘Selamatkan UiTM’.

Perhimpunan itu berakhir selepas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, Luqmannulhakim Mohamad Idris yang mengetuai perhimpunan menyerahkan memorandum tujuh muka surat kepada pegawai SUK, Hasril Abu Hassan untuk disampaikan kepada Menteri Besar Selangor.

Luqmannulhakim ketika ditemui pemberita berkata, kandungan memorandum itu merakamkan rasa kesal para pelajar UiTM terhadap cadangan Menteri Besar kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas itu.

Menurut beliau, memorandum tersebut turut menyatakan wujud unsur politik dalam cadangan yang dikemukakan oleh Abdul Khalid.

Para pelajar UiTM meminta kerajaan negeri tidak lagi membincangkan cadangan tersebut sekiranya ia bertujuan semata-mata untuk meraih undi pelbagai kaum.

“Janganlah dipolitikkan UiTM kerana penubuhan universiti ini telah termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk bumiputera demi membantu menaikkan taraf ekonomi mereka,” katanya.

Luqmannulhakim menambah: “Insya-Allah kami akan buat susulan bantahan fasa kedua dan ketiga. Kami akan memohon sendiri kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya baginda menitahkan soal pengambilan pelajar UiTM tidak dibincangkan lagi.”

Ahad lalu, Abdul Khalid mencadangkan agar 10 peratus daripada kuota pelajar UiTM dibuka kepada bukan bumiputera serta pelajar asing bagi mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajarnya.

Sementara itu, seorang penuntut UiTM, Sheikh El-Ash Shaff Shaik Daud, 22, melahirkan kebimbangan sekiranya cadangan tersebut diteruskan, nasib UiTM akan menjadi seperti universiti-universiti lain.

“Mula-mula diminta kemasukan 10 peratus tetapi lama-kelamaan kadar itu dipertingkatkan. Akhirnya golongan bumiputera lenyap dan tertindas di universiti sendiri,” ujarnya.

Bagi Khairul Ashraf, 19, pula, UiTM perlu mengekalkan dasar penubuhannya untuk bumiputera agar lebih ramai anak Melayu berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

“Bukan kami takut saingan kaum bukan bumiputera, namun penubuhan UiTM sendiri mempunyai matlamat tersendiri untuk menunjukkan pembangunan intelektual bumiputera selain meningkatkan daya ekonomi bangsa kita,” ujarnya.

Sunday, July 20, 2008

TUMPUKAN PERHATIAN MEMBELA RAKYAT

Oleh Pemikir Negara

Anggota UMNO yang mula bermesyuarat perlu memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat negara ini menghadapi tekanan daripada kenaikan harga minyak dan harga barang ketika ini. Ini lebih penting daripada berpolitik yang tidak sihat.

Janganlah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan siapakah yang akan dinamakan untuk bertanding Presiden atau Timbalan Presiden. Mereka perlu memahami dan menghayati kenyataan Presiden UMNO yang sudah menyuarakan kesanggupannya untuk memberikan kuasa kepada Timbalannya pada Jun 2010.

Oleh itu, anggota UMNO tidak payahlah hendak memerah otak untuk memikirkan siapa yang disorong ke depan untuk bertanding sebagai Presiden sama ada Ku LI atau DS Najib atau TS Muhyidin. Yang sudah mereka maklum ialah Paklah sebagai Presiden dan DS Najib sebagai Timbalan Presiden. Yang lain, pilihlah daripada lebih 10 orang yang ingin menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden.

Rakyat negara ini sekarang memerlukan pembelaan bagi meringankan beban mereka kerana kenaikan harga minyak global yang memberi kesan kepada mereka. Segala bantuan oleh kerajaan sudah tentulah meringankan beban tetapi pemimpin politik perlu juga memikirkan perkara yang dapat menambah pendapatan mereka.

Hari ini, usaha Datuk Noh Omar untuk menubuhkan Koperasi Bela Rakyat (KOBERA) adalah usaha untuk membantu rakyat di seluruh negara membabitkan diri dengan koperasi yang mampu membantu mereka menghadapi tekanan daripada kenaikan harga barang.

Seperti yang dinyatakan oleh Paklah, koperasi digunakan oleh kerajaan untuk menghadapi masalah kenaikan harga barang pada tahun 1970an dulu yang sedikit sebanyak meringankan beban masyarakat terutama di kampung.

Bagaimanapun, penubuhan koperasi itu perlu dipastikan memiliki pengurusan yang baik dan memahami segala selok-belok perjalanan koperasi dan bukannya menguruskannya sebagai sebuah kumpulan kampung yang tidak profesional.

Sunday, May 11, 2008

UMNO PERLU PERKASAKAN AGENDA MELAYU-ISLAM

Hari ini usia UMNO mencecah 62 tahun. Kebiasaannya pada usia 62 tahun ini, seseorang manusia dianggap cukup matang terutamanya selepas menempuh pelbagai peristiwa suka duka dan pahit getir kehidupan. Namun pada usia sebegini, kadangkala manusia juga mampu tergelincir sekiranya segala pengalaman lalu tidak dijadikan iktibar untuk mendepani masa depan yang lebih mencabar.

Begitu jugalah dengan realiti UMNO sebagai sebuah organisasi politik yang sudah mencecah usia lebih enam dekad ini. Segala pengalaman lalu tidak kira yang manis mahupun pahit seharusnya diambil pengajaran oleh generasi pelanjut perjuangan agar masa depan mampu dilakar sebaiknya demi survival parti dan manfaat umat sejagat.

Hakikatnya, keupayaan UMNO untuk terus kekal relevan dalam mengemudi bahtera perjuangan bangsa amat tergantung kepada keupayaan warganya memahami realiti semasa yang melatari landskap sosial dan pemikiran masyarakat hari ini. Kegagalan menanggapi realiti dan mengolah strategi berkesan boleh mengakibatkan organisasi menjadi usang dimamah waktu hingga kehadirannya tidak lagi dirasai bahkan ketiadaannya pula disyukuri.

Apa yang lebih merungsingkan penulis andainya pendokong-pendokong UMNO semakin terhakis nilai perjuangan hinggakan yang lebih mengakar ialah nilai individualistik dan materialistik yang mampu menjahamkan parti. Memang ketika ini semakin banyak gejala yang mengisyaratkan kepudaran idealisme perjuangan di kalangan para pendokong perjuangan.

Politik wangMengakarnya gejala politik wang misalnya adalah salah satu petanda bahawa perjuangan politik sedang mengalami krisis pendangkalan nilai yang parah. Lebih membimbangkan penulis sekiranya generasi pewaris diselaputi pemikiran bahawa perjuangan parti merupakan kerjaya cari makan atau lebih serius lagi jika ditanggapi sebagai wahana mengaut keuntungan, memperkayakan diri, keluarga dan suku-sakat.

Akhirnya, parti akan semakin hilang manusia-manusia berjiwa pejuang yang sanggup berkorban jiwa-raga dan harta benda demi sebuah perjuangan yang luhur dan suci. Sebaliknya yang lahir adalah petualang-petualang berjiwa rakus yang sentiasa bersiap-siaga menghidu peluang dan ruang untuk memuaskan serakah nafsu yang tidak pernah kenal erti puas.

Sebab itulah, usaha penjernihan harus segera dilakukan bagi membentuk idealisme luhur di kalangan generasi pewaris UMNO kini. Idealisme perjuangan yang dimaksudkan pastinya tidak boleh lari daripada matlamat asal perjuangan UMNO iaitu memartabatkan agenda Melayu-Islam sebagai teras perjuangannya.

Yang dimaksudkan dengan agenda Melayu-Islam tentunya meletakkan agama Islam sebagai teras perjuangan bangsa Melayu dalam konteks negara Malaysia. Inilah sebenarnya keunikan dan kedinamikan perjuangan kebangsaan di Malaysia yang tidak boleh terpisah daripada unsur-unsur penyepaduan antara elemen kaum dan agama.

Malah takrif Melayu itu sendiri menurut perlembagaan negara ialah seseorang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu. Tanpa Islam, Melayu akan kehilangan segala-galanya termasuk maruah dan keperibadiannya. Sebarang usaha menanggalkan Islam juga bererti menghilangkan nilai kemelayuan itu sendiri. Melayu yang tidak menghayati Islam tidak mungkin berjaya muncul sebagai teras bangsa Malaysia.

Sejarah jelas membuktikan bahawa hubungan Melayu dengan Islam sebenarnya telah begitu sebati sejak kedatangan Islam pada abad ke-13 Masihi lagi. Semenjak itu Islamlah yang menerasi keperibadian Melayu, mendasari pemikiran Melayu dan seterusnya membentuk jatidiri Melayu. Bahkan Islam adalah satu-satunya benteng ketahanan umat Melayu.

Sepanjang sejarah perjuangan Melayu, Islam sentiasa menjadi sumber dinamika dan daya juang setiap pendukungnya. Walaupun satu ketika penjajah berjaya merobek jiwa dan citra Melayu hingga tumbuh kelompok peribumi pengagum dan pengagung Barat, namun tahun-tahun mutakhir menunjukkan Melayu semakin cenderung untuk kembali menyatu dengan Islam.

KegemilanganSesungguhya kita hanya mampu mencipta kegemilangan dengan kembali kepada akar budaya sendiri dan bukannya dengan cara mencedok dan menciplak budaya asing. Sebab itulah usaha mempersiapkan generasi pewaris yang kuat harus dimulai dengan penjanaan pendokong parti yang terbangun di atas dinamika ketakwaan, keimanan dan keilmuan yang kental. Generasi muda yang dibangunkan di atas dasar tauhid pasti akan lebih memahami dan menjiwai amanah perjuangan umat yang bakal diwariskan kepada mereka.

Keterikatan kepada prinsip dan nilai-nilai agama dengan sendirinya membentengi mereka daripada segala bentuk penyimpangan yang boleh memporak-perandakan agenda besar perjuangan bangsa dan negara.

Namun kesedaran terhadap agama semata-mata tidak cukup untuk menjelmakan generasi Islam sejati. Kesedaran yang membuak-buak juga tanpa didasari kefahaman mendalam berasaskan ilmu yang sahih pastinya tidak akan mampu membentuk generasi Islam yang bertamadun dan berkualiti tinggi.

Sebaliknya apa yang lebih penting ialah bukan sahaja mewujudkan generasi yang ghairah dan berkesedaran tinggi terhadap Islam tetapi yang lebih utama menjana generasi yang benar-benar menjiwai Islam dalam segenap aspek kehidupan berpandukan suluhan ilmu yang benar.

Hakikat yang tidak boleh dinafikan, kegagalan menanggapi Islam dengan faham ilmu sebenar boleh menjerumus umat ke arah kesesatan dan penyelewengan. Bahkan kesedaran tinggi sahaja tanpa didasari kekuatan ilmu pasti akan menjerumus umat kepada kebinasaan.

Justeru usaha membina generasi pewaris Melayu yang kuat merupakan jihad yang harus mendapat perhatian pucuk pimpinan UMNO terutamanya dalam menghadapi pelbagai realiti cabaran masa kini dan hari depan. Apa yang harus dikhuatiri, kegagalan mempersiapkan generasi pelanjut perjuangan yang beridealisme Islam yang luhur hanya mengundang kecelakaan bukan sahaja kepada survival parti malah masa depan bangsa, agama dan negara.

Cukuplah isyarat al-Quran mengenai keperluan membina generasi pewaris yang kuat menjadi pedoman buat kita semua: Dan mereka seharusnya takut kepada Allah, andainya meninggalkan di belakang mereka zuriat yang lemah. (an-Nisa: 9).

Rencana Mingguan Malaysia 11/5/08