Presiden SAPP nafi jual tanah ketika pegang jawatan
Ketua Menteri SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman semalam mendakwa calon Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee menjual beratus-ratus hektar tanah kepada syarikat swasta yang disifatkannya sebagai kroni ketika Presiden SAPP itu menerajui kerajaan negeri selama tiga tahun, mulai 1996.
“Ketika Yong menjadi Ketua Menteri, dia tidak pernah cakap fasal hak rakyat Sabah. Dia asyik jual tanah beratus-ratus hektar kepada kroninya. “Dia sudah diberi peluang menjadi Ketua Menteri.
Apa yang dia buat untuk memajukan negeri ini? Tanah diberi kepada kroni?” katanya berucap pada program Mengkoperasikan Rakyat Wilayah Sandakan di Sekolah Kebangsaan Karamunting di sini, semalam.
Yong yang diminta mengulas dakwaan Musa, menjelaskan beliau tidak ada kuasa menjual atau meluluskan permohonan tanah ketika memegang jawatan Ketua Menteri pada 1996. Menjawab soalan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) petang semalam, Yong berkata: “Ketika saya menjadi Ketua Menteri pada 1996, undang-undang sudah dipinda yang memindahkan kuasa meluluskan permohonan tanah dan hutan kepada Kabinet Negeri. “Saya tidak ada kuasa untuk menjual atau meluluskan permohonan tanah seperti didakwa Musa,” katanya.
Yong menubuhkan SAPP pada 1994 selepas keluar daripada Parti Bersatu Sabah (PBS). Selain pernah memegang jawatan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri serta Timbalan Ketua Menteri, beliau pernah menerajui kerajaan Sabah selama tiga tahun, mulai 1996 berdasarkan sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri bagi pemimpin parti komponen BN negeri ketika itu. Bagaimanapun, pada September 2008, Yong mengisytiharkan SAPP keluar BN dengan alasan hilang keyakinan terhadap kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
-Berita Harian Online, 29 Oktober 2010-
Friday, October 29, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment