Wednesday, October 20, 2010

UCAPAN MP PERMATANG PAUH DI PARLIMEN.......LESU

OLEH MM
Ketua pembangkang, MP Permatang Pauh dalam hujahnya di Parlimen pada 18 Oktober, seperti biasa cuba mencari kelemahan-kelemahan dalam ucapan bajet kerajaan pada 15 Oktober 2010. MP ini menimbulkan beberapa isu bertujuan untuk memperkecilkan bajet rakyat.

Beliau membuat hujah-hujahnya bersandar kepada laporan-laporan dalam dan luar negeri termasuklah PEMANDU. Kami khuatir bahawa petikan yang dibuat oleh MP ini tidak mengikut konteks yang sebenarnya. Beliau memetik ungkapan-ungkapan atau statistik-statistik untuk melunakkan hujahnya. Cara begini boleh mengelirukan kerana ia tidak menggambarkan apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh laporan-laporan itu. Cara demikian akan memerangkapkan minda MP tersebut.

Berkaitan dengan isu rasuah, adalah wajar MP Permatang Pauh membaca laporan tahunan 2009 oleh SPRM terlebih dahulu. Punahsihat-punahsihat beliau sepatutnya memberi senaskhah laporan tersebut kepadanya. Untuk makluman, laporan tahunan ini sangat komprehensif dan sesuai dibaca oleh semua ahli-ahli dewan terutamanya pembangkang. SPRM mempunyai niat positif untuk memenuhi aspirasi negara dalam melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas dari jenayah rasuah. SPRM ini juga dimodelkan mengikut Suruhanjaya Menentang Rasuah Hong Kong.

Belanjawan kali ini mempunyai teras untuk mengurangkan beban rakyat dari beberapa aspek. Ia juga memberi tumpuan kepada pembangunan negara termasuklah MRT untuk membolehkan warga Kuala Lumpur khasnya, bergerak dengan pantas ke destinasi masing-masing. Projek ini memang memerlukan perbelanjaan yang besar, tetapi ia pasti menguntungkan semua pihak disamping mengurangkan kesesakan jalanraya dalam kota Kuala Lumpur.

Begitu juga dengan projek lain seperti Menara Warisan (100 tingkat) yang akan dibina dalam masa 5 tahun dengan perbelanjaan 6 Bilion dari PNB. Projek ini sudah pasti mempunyai Spin Offs- positif yang boleh menguntungkan semua lapisan sektor pembangunan. Ia akan dapat menarik jutaan pelancong dari luar negeri pada masa akan datang dan ini akan menambahkan lagi pendapatan negara 2015+.

MP Permatang Pauh perlu faham bahawa FELDA merupakan satu-satunya cerita kejayaan Malaysia dibawah Barisan Nasional. Apa yang berlaku dalam FELDA bagaimana yang diwar-warkan oleh pembangkang sudah diberi penjelasan secukupnya oleh pihak berwajib. FELDA bukan lagi isu yang patut disasarkan. MP Permatang Pauh seharusnya memberi pandangan-pandangan baru serta segar bagi membolehkan negara dapat mengembangkan ekonomi untuk kepentingan rakyat.

Wira berpendapat bahawa komen-komen yang diberi oleh Permatang Pauh adalah perkara-perkara lama yang tidak membina. Sebagai ketua pembangkang, ucapan beliau di Parlimen baru-baru ini boleh digredkan sebagai D-. Harap-harap beliau dan rakan-rakan termasuklah MP Machang, MP Indera Mahkota, MP Kuala Krai, MP Tumpat, MP Pokok Sena, dapat memberi hujah-hujah baru yang lebih bertenaga pada sesi parlimen bermula Oktober 2011.

No comments: