Tuesday, June 9, 2009

Terimalah hakikat kehancuran LTTE (Sri Lanka)

Oleh : Pemikir-MM

Selepas Sri Lanka berjaya menumpaskan LTTE di Timur Utara, kini Colombo sedang sibuk menyusun pendekatan membawa warga Tamil dalam arus perdana negara. Orang-orang Tamil perlu terima hakikat bahawa Kerajaan serius untuk menyatupadukan rakyat. Dalam proses ini, Colombo masih belum selesai mengenal pasti gerila-gerila LTTE yang bersembunyi di kalangan 300 ribu pelarian di pusat-pusat tertentu. Pihak media dunia yang banyak dikuasai oleh wartawan keturunan Tamil terus membidas kononnya kezaliman tentera Sri Lanka terhadap orang awam.

Pemimpin-pemimpin LTTE seperti Selvarasa Pathmanaban (Ketua LTTE internasional) menguar-uarkan bahawa pemimpin mereka, Prabhakaran masih hidup. Tetapi wujud juga di kalangan pejuang-pejuang LTTE yang menyerah diri, yang menerima hakikat pemimpin mereka telah mati ditembak. Sementara itu, orang-orang awam Tamil yang menjadi mangsa perang telah melahirkan kemarahan dan kebencian mereka terhadap keganasan LTTE, dengan mewujudkan Pro-Government Tamil Militia. Mereka ini secara terang terus memburu pengganas-pengganas LTTE yang masih berkeliaran dan bersembunyi. Akan berlaku pertumpahan darah yang tidak boleh dielakkan kerana mereka ini sudah berdendam sekian lama.

Pemerhati berpendapat bahawa Kerajaan Sri Lanka di bawah pemerintahan Presiden Rajapakse memang berhasrat untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan negara supaya ekonomi dapat berkembang. Beliau telah sanggup berdepan dengan kritikan-kritikan dan boikot-boikot dari ahli-ahli PBB (New York) dan juga negara-negara barat. Tetapi, beliau sebagai seorang patriot sedia menghadapi apa jua risiko demi masa depan rakyat dan kedaulatan Sri Lanka. Kerajaan India yang kini dikuasai oleh Parti Kongres, juga mengambil sikap positif terhadap Sri Lanka, walaupun ribuan pelarian Tamil sudah masuk ke negaranya di sebelah selatan India. Delhi memang menganggap LTTE sebagai satu pasukan pengganas yang telah membunuh Rajiv Ghandi, Perdana Menteri India. Beliau telah dibunuh dengan kejamnya oleh agen LTTE dengan alasan India memberi latihan tentera kepada pihak Sri Lanka.

Kepada penyokong-penyokong LTTE yang berada di Malaysia, Singapura dan di mana jua, berilah kepercayaan penuh kepada niat baik Presiden Sri Lanka membangunkan semula negaranya.

No comments: