Friday, June 5, 2009

PALESTIN SEBAGAI NEGARA BERDAULAT TIDAK MUSTAHIL...PRESIDEN OBAMA

Oleh: Pemikir - MM

Pertemuan Presiden Obama dengan dunia Islam di Universiti Al-Azhar, Cairo pada Khamis 4 Jun 2009 merupakan sesuatu yang bersejarah bagi warga Islam terutamanya di Timur Tengah. Presiden Obama yang mempunyai dasar luar Amerika Syarikat yang proaktif serta berlainan daripada Presiden-presiden terdahulu dapat memberi mesej kepada orang-orang Islam terutamanya di Timur Tengah berkaitan dengan isu-isu yang paling hampir dengan mereka.
Presiden Obama tahu bahawa hadirin dalam dewan Al-Azhar itu menunggu-nunggu pendirian beliau terhadap isu berat iaitu Palestin dan Israel. Obama mengaku bahawa perkara ini tidak mudah diselesaikan terutamanya demi mewujudkan dua negara berdaulat iaitu negara Palestin dan negara Israel. Namun beliau berusaha ke arah menepati hasrat rakyat Palestin selepas mengenal pasti semua masalah yang dihadapi oleh kedua-dua pihak. Bagi beliau, keganasan yang sering berlaku di kawasan Palestin perlu dihentikan kerana isu ini sentiasa menjadi tanda tanya oleh pihak Tel Aviv.
Beliau telah membuka bicara dengan mengasaskan hujahnya kepada Al-Quran dan ini sangat mengusik tiap insan dalam dewan dan juga dunia. Obama telah memilih Al-Azhar untuk menzahirkan pandangan terhadap dunia Islam kerana rantau ini sentiasa berdepan dengan ketegangan politik serta tentera yang boleh melibatkan hubungan Washington dengan negara-negara Islam. Pada pandangan Obama, punca ketegangan ini berpusat di kawasan Palestin yang telah dibincang begitu lama semenjak Israel diwujudkan dalam tahun 1947 dengan bantuan negara-negara Barat. Beliau tidak memilih Indonesia kerana beliau bimbang ia akan disalah interpretasikan oleh dunia dan juga Indonesia tidak mempunyai masalah seperti yang terdapat di Timur Tengah.
Obama ada menyebut Malaysia sebagai satu negara Islam yang progresif serta moderate. Ini menunjukkan bahawa Washington ada penilaian tersendiri terhadap Malaysia yang boleh dianggap sebagai positif.
Pemerhati berpendapat ucapan Presiden Obama itu menunjukkan bahawa beliau benar-benar ikhlas untuk menyelesaikan masalah Timur Tengah secara diplomatik dan jika boleh tanpa menggunakan kekerasan. Pendekatan ini boleh mencapai matlamatnya dengan syarat Israel dan Palestin bersedia untuk menyokong niat baik Presiden Obama. Peluang seperti ini tidak mudah ditemui dan mungkin tidak wujud sekiranya Obama tidak dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat. Dunia menunggu dan menaruh harapan tinggi bahawa satu masa nanti Palestin akan menjadi negara berdaulat tanpa diganggu gugat lagi oleh Tel Aviv. Dengan sumber-sumber politik dan diplomasi tinggi Amerika Syarikat, apa yang diharapkan oleh negara-negara Arab dapat direalisasikan oleh Presiden Obama.

No comments: