Friday, June 5, 2009

BEIJING MEMBERI PENGHORMATAN TINGGI KEPADA YAB PM...TAHNIAH!

Oleh: Pemikir - MM

Lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke Beijing merupakan satu langkah yang kena pada masanya di samping meraikan genap 35 tahun hubungan diplomatik Kuala Lumpur-Beijing. Pada hari dan bulan yang sama 1974 Almarhum Tun Abdul Razak, ayahanda kepada YAB PM, merupakan pemimpin pertama Melayu mengunjungi Beijing dan menemui Perdana Menteri Zhou En Lai dan Chairman Mao Tse Tung. Pertemuan bersejarah ini telah menjalinkan hubungan yang sangat akrab dan sekali gus dapat membantu Malaysia dalam pertumbuhan ekonomi dan juga membanteras saki baki ideologi komunisme di Malaysia. Pertemuan dengan Mao Tse Tung juga memberi kesan negatif kepada tiap gerila PKM yang selama ini menyangka disokong oleh Beijing. Mereka terus hilang punca dan akhirnya mereka terus lupus dan ditolak oleh semua rakyat Malaysia.
Lawatan kali ini telah membolehkan YAB PM bertemu dengan Perdana Menteri China dan berpeluang mengadakan perbincangan dua hala berkaitan isu-isu berkepentingan. Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengenal pasti peluang-peluang ekonomi di samping mempertingkatkan lebih banyak lagi pelaburan-pelaburan dalam sektor-sektor teknologi, tenaga, infrastruktur dan perkhidmatan. Pertemuan YAB PM dengan Presiden Hu Jintao juga untuk mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-China. Ia juga memberi peluang kepada YAB PM untuk memperjelaskan senario ekonomi Malaysia dan rantau ASEAN yang mempunyai penduduk berjumlah 430 juta orang. Rantau ASEAN mempunyai banyak sumber-sumber alam dan potensi yang membolehkan jalinan kerjasama China-ASEAN di atas konsep menang-menang.
Pemerhati mengucapkan tahniah kepada YAB PM dan rombongan di atas lawatan yang sungguh bermakna dan jika dipupuk dengan bijaksana, ia pasti memberi pulangan yang boleh terus memakmurkan negara dan rakyat Malaysia dan secara tidak langsung, tiap negara ASEAN. Dengan adanya format yang telah diasaskan oleh YAB PM, sektor swasta diharapkan dapat menembusi pasaran negara China yang mempunyai penduduk sebanyak 1.4 bilion. China adalah satu kuasa besar dan juga ahli Majlis Keselamatan PBB (New York) yang mempunyai kuasa veto dalam majlis tersebut. China mempunyai pelaburan-pelaburan dalam pelbagai bidang termasuk gas dan minyak di negara-negara yang kurang diminati oleh negara Barat kerana faktor risiko. Dalam hal ini Beijing yang mempunyai cukup dana sentiasa bersedia membuat pelaburan dalam negara-negara seperti Afrika, Carribean dan Pulau-pulau Pasifik. Dengan cara ini diplomasi Beijing menjadi lebih agresif dan tidak seperti apa yang dilakukan melalui diplomasi ping pong pada 1960/1970 an.

No comments: