Wednesday, June 10, 2009

Bahasa Inggeris bantu tingkat keyakinan pelajar: Rosmah


KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, keupayaan menguasai bahasa Inggeris dapat meningkatkan keyakinan diri, sekali gus mampu untuk bersaing pada peringkat global. Beliau berkata, penguasaan bahasa Inggeris kini menjadi satu keperluan dan masyarakat tidak seharusnya bersikap mementingkan diri dalam isu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). “Kita boleh belajar bahasa Melayu, Cina tetapi jika kita nak berjaya, nak pergi ke peringkat global, kita perlu tahu berbahasa Inggeris... takkan kita nak sentiasa membawa penterjemah, kalau kita cakap dua minit, dia cakap tiga minit, sudah jadi lima minit hanya untuk satu perkara.

“Oleh itu saya benar-benar menggalakkan anak-anak kita untuk menguasai bahasa Inggeris kerana jika kita berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, kita ada keyakinan diri tetapi pada masa sama kita perlu menunjukkan taat setia pada pemimpin dan negara,” katanya selepas menerima kunjungan hormat badan bukan kerajaan yang berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak termasuk Persatuan Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia (NAECCEM) di Kediaman Perdana Menteri, di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu PPSMI mencetuskan pelbagai polemik di kalangan masyarakat. Rosmah berkata, bagi memastikan kanak-kanak mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, mereka perlu menduduki peperiksaan dalam bahasa Inggeris kerana jika tidak, mereka tidak akan serius untuk belajar menguasai bahasa antarabangsa itu.

Katanya, China kini mewajibkan kanak-kanak belajar bahasa Inggeris kerana menyedari kepentingan bahasa itu untuk menerokai dunia global. Sementara itu, Rosmah yang juga Penaung Pusat Anak Permata Negara (Permata), berkata menjelang akhir tahun ini, 298 taman asuhan kanak-kanak (taska) termasuk milik Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Perpaduan, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Taska Komuniti dan taska di tempat kerja akan dinaik taraf sebagai Taska Permata membabitkan peruntukan RM115 juta.

No comments: