Thursday, June 18, 2009

PARTI PEMBANGKANG DIAJAK BERSAMA BN MEMBINA NEGARA BANGSA

By M.Perry

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan YB. Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim mengajak parti-parti pembangkang bertampil hadapan bersama dengan kerajaan BN untuk membina negara bangsa. Parti-parti pembangkang digesa bersama dengan kerajaan menghala ke hadapan dalam menerapkan nilai-nilai yang lebih mementingkan aspirasi negara daripada kepentingan diri sendiri.

YB Dr.Rais Yatim menjelaskan bahawa media cetak dan elektronik adalah tertakluk kepada pelbagai undang-undang untuk memastikan kandungan yang disiarkan tidak bercorak fitnah atau hasutan yang bertujuan memporak-perandakan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum,agama dan keturunan. Pengendali media cetak dan elektronik, sebagai pemegang lesen dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), hendaklah sentiasa pastikan bahawa kandungan yang disiarkan tidak menyinggung sensitiviti agama,bangsa dan budaya mana-mana masyarakat di Malaysia.

YB.Dr. Rais Yatim menyatakan bahawa kandungan siaran oleh para penyiar swasta adalah dikawal selia dengan rapi oleh Kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan para penyiar perlu mematuhi syarat-syarat khas lesen mengenai kandungan.

YB Dr.Rais Yatim mengingatkan para penyiar mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam lesen yang dikeluarkan menurut AKM 1998. Antaranya para penyiar harus pastikan bahawa kandungan siarannya tidak bertentangan dengan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia mahu pun tidak menyumbang kepada aspirasi nasional.

Beliau mengingatkan bahawa tindakan boleh diambil terhadap individu yang memberi kandungan yang bersifat lucah,sumbang, palsu,mengancam atau yang jelik. Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit (RM 50,0000 ) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya sekali.

Dari tahun 2005 sehingga kini, sebanyak 24 kes melibatkan kompaun bernilai lebih RM 380,000 telah dikenakan terhadap pihak penyiar swasta atas pelbagai kesalahan di bawah AKM 1998 termasuk melanggar syarat-syarat lesen penyiaran.

Bagi kesalahan penyalahgunaan laman web pula, seanyak 6 kes melibatkan 8 orang tertuduh telah dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan menghina Seri Paduka Baginda Sultan Perak, dimana seorang telah mengaku bersalah dan disaman sebanyak RM 10,000.

Disamping itu, Dr.Rais Yatim menegaskan bahawa Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) menguatkuasakan peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi mengawal selia dan memastikan bahan-bahan media cetak,termasuk akhbar tidak mengandungi unsur-unsur yang tidak diingini ,yang boleh mengancam keselamatan dan menggugat kestabilan negara.

YB Dr.Rais Yatim menjelaskan perkara-perkara tersebut dalam jawapan lisan kepada pertanyaan YB.Dato’ Haji Ismail Bin Haji Abd.Muttalib (Maran) di Dewan Rakyat hari ini. YB Ahli Parlimen Kawasan Maran tersebut minta Menteri Penerangan,Komunikasi dan Kebudayaan menyatakan berapa dan apakah bentuk tindakan yang telah diambil terhadap pengendali media-media cetak dan elektronik yang menyebarkan berita-berita fitnah,hasutan dan yang boleh memecahbelahkan perpaduan masyarakat termasuk melibatkan parti-parti politik.

No comments: