KUALA LUMPUR 14 April – Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap dakwaan pihak tertentu kononnya wujud pertelingkahan di antara UMNO dan MIC berhubung bakal calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, adalah perkara biasa.
Timbalan Perdana Menteri berkata, khabar angin seperti itu hanyalah satu perkara yang menjadi ‘berita menarik’ untuk diperkatakan pada sesuatu pilihan raya.
“Tiada ada perpecahan. Pada masa seperti ini di mana kita berhadapan dengan pilihan raya kecil, semua perkara menjadi menarik. Semua orang mahu membuat penilaian masing-masing tentang apa-apa pun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia ke-14 bertemakan ‘Pembangunan Minda Generasi Muda - Terhadap Kreativiti dan Inovatif dalam Sistem Pendidikan’ di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas dakwaan bahawa kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu kini bertelingkah berhubung siapa yang bakal menjadi calon bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor.
Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad, 25 Mac lalu.
Mengulas mengenai peluang BN, Muhyiddin berkata, sentimen terkini dan angin perubahan pengundi memberi kelebihan kepada BN untuk menang pada pilihan raya kecil itu.
Bagaimanapun, katanya, BN tidak boleh terlalu yakin dan mengambil mudah, sebaliknya, perlu lebih berhati-hati berhadapan tentangan besar pihak pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara yang paling penting kepada BN sekarang adalah bekerja keras untuk berhadapan dengan cabaran daripada pembangkang.
“Saya difahamkan pembangkang sudah mula menggerakkan jentera mereka. Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim juga dikatakan sudah mula berkampung di sana,” katanya.
Beliau berkata, BN akan mengatur strategi yang tepat untuk memastikan kemenangan calonnya.
Tambahnya, segala persiapan jentera BN sudah berjalan lancar dan pihak yang bertanggungjawab terutama parti-parti komponen telah diberikan tugas masing-masing.
Ditanya mengenai calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim, Muhyiddin berkata, keputusan itu adalah hak dan strategi parti berkenaan.
Katanya, apa yang lebih penting bagi BN adalah meletakkan calon yang dikehendaki pengundi serta lebih memahami keperluan rakyat di kawasan tersebut.
“Saya difahamkan beliau (Zaid) dipilih kerana dia banyak duit. Itu maklumat saya dapat. Bukan sebab dia boleh berkhidmat atau sebagainya. Siapa yang tidak kenal Zaid,” katanya.
Beliau berkata, calon PKR itu juga mempunyai rekod keluar masuk pelbagai parti politik dan perkara itu boleh dijadikan pengukur oleh pengundi bagi memilih calon terbaik di situ.
Sumber: Utusan Malaysia Online (15 April 2010)
Thursday, April 15, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment