Tuesday, April 20, 2010

Bukti PKR bukan sebuah parti yang baik

HULU SELANGOR 19 April - Tindakan keluar parti oleh beberapa pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara berterusan membuktikan parti itu bukanlah sebuah parti yang baik.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sekiranya sesebuah parti itu baik tidak mungkin pemimpinnya yang mempunyai kedudukan tinggi dan berpendidikan akan mengambil tindakan sedemikian.

''Mereka keluar parti berdasarkan pertimbangan mereka sendiri terhadap parti itu. Secara tidak langsung ia jelas membuktikan parti itu kini berada dalam keadaan porak peranda.
''Kalau kita lihat mereka yang keluar parti itu mempunyai kedudukan yang tinggi dalam PKR. Mereka berpendidikan dan mempunyai pengaruh tersendiri," katanya yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Ramah Mesra 1Malaysia bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Serigala, Sungai Selisik Hulu Bernam di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan beberapa pemimpin dan ahli parti itu yang mengambil keputusan untuk meninggalkan parti itu disebabkan kecewa dengan pentadbiran Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, kecewa dengan tindakan Anwar memilih Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon PKR di Hulu Selangor yang disifatkan mempunyai rekod moral memalukan, dua pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengumumkan keluar parti serta-merta.
Mereka ialah Ketua AMK Bahagian Shah Alam, Nor'isham Manap dan timbalannya, Muhammad Ali Mukhtar.
Selain Nor'isham dan Muhammad Ali, kira-kira 200 ahli parti berkenaan di Pulau Pinang bertindak keluar daripada parti tersebut secara beramai-ramai semalam kerana kecewa dengan pucuk pimpinan parti.

Hari ini, Bendahari PKR Hulu Selangor, Datuk Dr. Halili Rahmat mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO.
Dalam perkembangan lain, Shafie berkata, tindakan calon bebas VS. Chandran menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini merupakan suatu perkembangan baik.
''Saya berharap beliau (Chandran) akan membantu BN untuk merampas kembali Parlimen Hulu Selangor daripada PKR," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online (20 April 2010)

No comments: