Monday, April 19, 2010

Ketua Pemuda PKR keluar parti

SHAH ALAM 18 April - Kecewa dengan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Hulu Selangor yang disifatkan mempunyai rekod moral memalukan, dua pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mengumumkan keluar parti serta-merta.

Mereka ialah Ketua AMK Bahagian Shah Alam, Nor'isham Manap dan timbalannya, Muhammad Ali Mukhtar.
Turut menyertai Nor'isham dan Muhammad Ali ialah lima lagi anggota AMK termasuk dua ahli jawatankuasa cawangan masing-masing dari Shah Alam dan Padang Jawa.
Menurut Nor'isham, pemilihan Zaid sebagai calon PKR pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor jelas merupakan pengkhianatan terhadap semangat dan cita-cita perjuangan reformasi yang disertainya bersama rakan-rakan pada tahun 1999.

Katanya, rekod Zaid sebagai pejuang reformasi dan keadilan masih belum diuji malah rekod moral beliau amat memalukan setiap orang Melayu dan Islam yang berpegang pada akidah dan akhlak.

''Kami yakin pemilihan Zaid bukan atas dasar kepentingan perjuangan dan rakyat tetapi untuk menjaga kepentingan Anwar yang memerlukan seorang bekas menteri dan peguam berprofil tinggi untuk menjadi benteng dan pembelanya di Parlimen.
''Justeru Zaid dipilih oleh Anwar hanya untuk menjaga kepentingan dirinya sendiri bukan kepentingan rakyat seperti yang diuar-uarkan.
''Tidak masuk akal seorang yang bukan anak tempatan boleh menjadi wakil rakyat yang berkesan di Hulu Selangor," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hadir sama bekas Ketua AMK, Ezam Mohd. Noor.

Nor'isham mendakwa, beliau sebenarnya mewakili ramai anak muda dalam AMK yang tidak berpuas hati dan kecewa dengan keputusan dan sikap Anwar.
Namun katanya, masih ramai yang belum berani membuat keputusan untuk keluar parti dan beliau mempunyai bukti.

''Kami menyeru kepada pemimpin dan ahli AMK lain yang majoritinya kecewa dengan pemilihan Zaid untuk menunjukkan keberanian berpegang pada prinsip dan perjuangan sebenar dengan meninggalkan Anwar dan PKR yang telah jauh menyimpang perjuangannya.
''Kami menyeru rakyat khususnya pengundi di Hulu Selangor terutamanya anak-anak muda untuk meninggalkan Anwar yang menyeret rakyat dengan masalah dan cita-cita peribadi beliau dalam setiap tindakan politiknya dan parti PKR," katanya.

Nor'isham dan Muhammad Ali kemudian menunjukkan satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh Ketua AMK Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin yang bertulis :
''Salam kawan-kawan. Harap kita SMS DSAI (Anwar) agar kriteria 'track record' kesetiaan kepada parti dan perjuangan dan kriteria seorang 'fighter' menjadi asas pertimbangan utama dalam hal calon Hulu Selangor. Pengalaman lalu wajib jadi tauladan dan panduan.
Bukan hanya soal calon mampu menang tetapi soal kelangsungan perjuangan ini yang lebih penting. Kita ada Shamsul, Syed Shahir dan ramai lagi. Ini nombor DSAI 017-28xxx11".
Dakwa Muhammad Ali pula, dia telah menghantar SMS itu kepada Anwar tetapi tiada balasan diterima.

''Biasalah kita ini orang bawahan. Kalau tiada kepentingan dengan Anwar mana dia nak layan," katanya.
Ditanya apakah hala tuju mereka selepas ini kata Muhammad Ali, beliau dan rakan-rakannya belum memikirkannya lagi.

Bagaimanapun beliau yakin selepas ini pasti lebih ramai anggota AMK di Selangor akan meletak jawatan.

Sumber: Utusan Malaysia Online (19 April 2010)

No comments: