Thursday, December 10, 2009

MCA SERIUS MENEPATI KEHENDAK AKAR UMBI

Oleh : Pemikir MM

Isu MCA masih belum selesai walaupun pihak tertinggi BN telah memberi cukup ruang dan masa kepada Jawatankuasa Pusat MCA menyelesaikan kemelut dalamannya. Walaupun kelihatan ujud liku-liku dalam proses merungkaikan masalah ini, pemimpin-pemimpin BN masih memberi peluang kepada MCA boleh berusaha mencari jalan keluar berteraskan demokrasi dan prinsip menang-menang.

MCA telah memutuskan untuk mengadakan Pilihan Raya Jawatankuasa Pusatnya yang terbaru awal 2010 dan ini mendapat reaksi positif daripada akar umbi MCA dan juga kepimpinan BN. Datuk Sri Dr. Chua Soi Lek adalah orang yang pertama sanggup meletak jawatan dan tindakan beliau telah mendapat 12 lagi ahli Jawatankuasa Pusat untuk turut serta meletakkan jawatan termasuk Naib Presiden MCA. Dicadangkan bahawa semua ahli meletak jawatan supaya hasrat MCA memilih barisan pemimpin barunya dapat direalisasikan. Setakat ini Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat masih belum membuat keputusan.

Pemerhati berpendapat bahawa rakyat sedang melihat perjalanan MCA dan adalah menjadi harapan mereka bahawa MCA dapat mengatasi masalah yang dianggap kritikal dalam Barisan Nasional. Pemimpin-pemimpin MCA hendaklah mementingkan keharmonian parti daripada kepentingan diri masing-masing. Pemerhati percaya bahawa MCA memang serius untuk menyelesaikan masalah ini dan semoga apa yang mereka uruskan akan diterima oleh semua ahli MCA nanti.