Terkejut dan sedih Tulip melihat pendedahan berhubung kegiatan rasuah dan salah guna kuasa Pegawai Imigresen di dada akhbar. Menerima habuan RM60,000 sebulan. Jumlah yang begitu besar. Bayangkan, pegawai tersebut dibayar RM2,000 sehari untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram. Tidak hairanlah jumlah pendatang asing semakin bertambah sehinggakan rakyat kita sendiri merasa tidak selamat berada di negara sendiri.
Keadaan ini begitu membimbangkan. Aku Janji yang dilafazkan oleh pegawai pada Ketua Jabatan, untuk menjadi penjawat awam yang berintegriti hilang entah ke mana. Yang penting, kehendak untuk mencari kekayaan diri mendahului daripada kepentingan negara. Mereka sanggup menggadai maruah negara dan meletakkan keselamatan negara dalam keadaan yang terancam.
Pada pandangan Tulip, Kerajaan perlu mengenakan hukuman yang lebih sesuai bukan sekadar menukar pegawai yang terlibat ke cawangan lain supaya ia menjadi pengajaran dan teladan kepada penjawat awam lain. Tanggungjawab yang diberikan jangan dianggap enteng kerana ia melibatkan kedaulatan negara. Tidakkah mereka sedar isu ini menyebabkan ‘trust in government’ di kalangan rakyat akan menurun. Sebagai penjawat awam, hindarilah diri kita daripada menjadi liabiliti kepada Kerajaan. Sedarilah, sebagai penjawat awam kita membawa nama Kerajaan. Seharusnya penjawat awam perlu berfikir dahulu, sebelum bertindak. Biarlah kita hidup senang dengan rezeki yang halal. Renung-renungkanlah.
Oleh: Tulip Desa
1 comment:
NANTI BARULAH LEBIH RAMAI YANG BOLEH MENYEBUT - PENCAPAIAN DIUTAMAKAN ...
Post a Comment