TAJUK di atas tentu mengejutkan ramai orang khususnya Karpal Singh yang sering mahu menganggap Malaysia sebuah negara sekular dan bukan Islam kerana dia beranggapan bahawa negara Islam tidak disebut dalam Perlembagaan.
Malah, negara sekular juga tidak disebut di dalamnya. Jadi apa yang dia katakan itu sebenarnya adalah anggapannya sahaja. Dia pilih sekular sebab Islam tidak disebut dan tidak sebaliknya.
Sebenarnya, Malaysia adalah sebuah negara Islam dan sekular.
Tentu tidak ramai yang sedar bahawa negara sekular itu adalah satu konsep pemerintahan atau kerajaan yang telah diperkenalkan di Eropah semasa mereka mahu memisahkan corak pemerintahan di antara gereja dan politik.
Sekular di sini bererti bahawa negara-negara di Eropah itu bukan mengguna sistem Kristian atau Katholik.
Jadi, oleh sebab Malaysia tidak mengamalkan sistem seperti ini, maka ia boleh dianggap sekular.
Tetapi ini tidak bermakna ia tidak Islam. Malaysia ialah sebuah negara Islam.
Walaupun ini tidak disebut dalam Perlembagaan, tetapi inilah hakikatnya.
Ini adalah kerana Malaysia terdiri daripada sebuah kerajaan yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong dan kumpulan sistem kerajaan sembilan negeri-negeri beraja.
Maka secara tidak langsung, Malaysia adalah sebuah negara Kesultanan dan berkerajaan Islam.
Ini diperkuatkan lagi dengan peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia sendiri yang tertulis bahawa Islam adalah agama rasmi.
Walaupun negara-negara lain ada raja seperti di Thailand dan Jepun, tetapi peruntukan seperti ini tidak ada dalam Perlembagaan mereka yang memperuntukkan agama rasmi negara mereka.
Jadi, anggapan Karpal Singh tentang Malaysia bukan sebuah negara Islam dan sebuah negara sekular tidak benar.
Malaysia sebenarnya sebuah negara Islam dan juga sekular.
MANSOR PUTEH
www.mansorbinputeh.blogspot.com
Cheras, Selangor
Sumber : Utusan Malaysia (24 Ogos 2010)
No comments:
Post a Comment