Oleh: Kadir Dikoh (Berita Harian 18 Mei 2010)
BN kena segera bedah siasat punca calon SUPP tewas di Sibu
AWAL pagi semalam, Ahli Parlimen Sibu yang baru, Wong Ho Leng, ke Kuching menerusi penerbangan sejam dari Lapangan Terbang Sibu dan terus menuju ke Petrajaya untuk menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), atas kapasitinya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek.
Ho Leng, 49, yang tangan kanannya masih berbalut kesan jatuh sebelum ini, walaupun cuma tidur sejam dua selepas keputusan diumumkan jam 11 malam kelmarin, sentiasa senyum melayan ucapan tahniah sesiapa saja yang bertembung dengannya. Calon Barisan Nasional (BN) yang tewas, Robert Lau Jr, 45, masih tersentak dengan kekalahan, sekali gus mengakhiri dominasi keluarga Lau selama lima penggal di Parlimen Sibu.
Namun, kekalahan BN melalui calon Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) itu, bukan saja memerlukan kajian menyeluruh, malah melihat beberapa aspek yang selama ini dipandang remeh, terutama oleh jentera BN. Ketika undi masyarakat Cina memang dijangka lebih cenderung menyokong DAP bukan saja di Sibu, malah dalam beberapa pilihan raya kecil di Semenanjung sebelum ini termasuk Hulu Selangor, apa yang mengejutkan di Sarawak kali ini ialah meningkatnya undi DAP di kubu kuat BN membabitkan lokasi Bumiputera seperti di rumah panjang kaum Iban dan perkampungan orang Melayu.
Bayangkan di beberapa saluran mengundi di kawasan kaum Iban, DAP berjaya menembusinya kerana selama ini ia dikuasai BN. Misalnya di saluran mengundi SK Sungai Rassau, BN memperoleh 229 undi dan DAP 93; SK Nanga Tutus, BN 179, DAP 79; SK Sungai Pasai BN 496, DAP 368; SK Sungai Pinang BN 249, DAP 41; Rumah Basseh, BN 300, DAP 128; SJK Boi Ing (Bawang Assan) BN 59, DAP 87. Kawasan Iban terbabit sebelum ini sukar bagi DAP atau pembangkang memperoleh lebih 50 undi. Apakah benar dakwaan bahawa SUPP yang mewakili BN, mengabai kawasan penempatan kaum Iban sehingga seorang menteri kanan kaum Iban dalam Kabinet Sarawak sendiri membuat pengakuan seumpamanya ketika kempen pilihan raya itu.
Menteri itu kemudian membuat penjelasan bahawa beliau cuma meluahkan apa disuarakan masyarakat kaum Iban. Masalah seperti ketiadaan bekalan air dan elektrik, jalan raya yang tidak sempurna atau tiada langsung dan sebagainya, memang bagi sesetengah pihak agak remeh, tetapi itulah keperluan asas masyarakat luar bandar di Sarawak. Bukan sedikit pengumuman peruntukan sama ada oleh menteri Pusat atau negeri sepanjang kempen lapan hari ke kawasan kediaman kaum Iban di sepanjang Sungai Rajang itu, tetapi kemudian masyarakat Iban tertanya-tanya, mengapa tiba-tiba bantuan mencurah masuk, sedangkan mereka sudah mendiami kawasan itu berpuluh-puluh tahun, masih tiada kemudahan asas.
Jentera kempen BN perlu melihat pendekatan strategi ini, yang mungkin perlu diubah. Pokok pangkalnya ialah kerajaan perlu sentiasa menjaga kebajikan rakyat sepanjang masa. Bagi kawasan majoriti Melayu/Melanau di Kampung Hilir, Kampung Nangka, Kampung Datu, Kampung Baharu dan Kampung Jariah, sesetengah undi DAP meningkat. Di saluran mengundi SK Abang Ali dalam DUN Nangka, satu daripada tiga kerusi DUN dalam Parlimen Sibu, BN cuma memperoleh 96 undi, calon Bebas (2), tetapi DAP menang di situ dengan 207. Tidak pernah dalam sejarah kawasan orang Melayu/Melanau, DAP boleh menang dan di beberapa saluran mengundi lain di DUN Nangka, jumlah undi DAP kelihatan turut meningkat.
Sesetengah pemerhati berpendapat, ia antara lain berpunca daripada kegagalan Adun Nangka, Awang Bemee Ali Basah di kawasan terbabit dan berasa tidak puas hati pengundi terhadap beliau, diluahkan dalam bentuk undi protes kepada DAP. Ceramah tetap pakatan pembangkang di medan selera Bandong di Kampung Nangka setiap malam sedikit sebanyak mempengaruhi keadaan dan buat kali pertama dalam sejarah politik Sarawak, penduduk tempatan disajikan ceramah oleh tidak kurang 30 ahli Parlimen PKR, DAP dan Pas, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng; Tian Chua serta Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar.
Malah, gambar wajah hero Sarawak, Rosli Dhoby yang digantung sampai mati kerana membunuh Sir Duncan Stewart ketika melawat Sibu pada 1948, turut dipaparkan sebagai poster kempen dan ada majlis dianjurkan atas nama ‘Memperingati Rosli Dhoby’ hingga kuburnya di situ dikunjungi bukan saja pemimpin pembangkang, malah BN. Pembangkang mengeksploitasi isu itu dengan mendakwa bahawa Rosli Dhoby pejuang Sarawak, anak Melayu jati Sibu, tetapi nasib orang Melayu Sibu dikatakan diabai oleh pemimpin BN, terutama SUPP. Kampung Nyabor dan Kampung Dato di Sibu, yang seakan Kampung Baru di Kuala Lumpur, dikatakan bakal lenyap dengan pembangunan komersial dan separuh kampung itu, kini sudah diduduki hotel seperti Hotel Paramount dan Hotel RH – dua hotel terbesar di bandar Sibu.
Pembangkang menggunakan isu ini yang mempengaruhi minda orang Melayu/Melanau. Parlimen Sibu mempunyai 66 peratus pengundi Cina dan pada pilihan raya kecil ini, 20 peratus undi kaum Cina yang selama ini berada dalam genggaman SUPP, lari kepada DAP. Kawasan padat kaum Cina di Rejang Park yang merangkumi satu suku daripada jumlah pengundi Cina, dikuasai DAP. Semua lima saluran mengundi di situ dimenangi DAP. Antara isunya ialah masalah banjir dan bagi masyarakat Cina, SUPP gagal menangani masalah itu sebaik mungkin, di sebalik pengumuman RM1 bilion untuk projek tebatan banjir dan RM300 juta sedang dibelanjakan.
Begitu juga masalah pajakan tanah dimainkan DAP. Malah masyarakat Cina kurang senang dengan pencalonan Robert Lau Jr kerana bagi mereka, keluarga Lau, termasuk sepupu calon, mendiang Datuk Robert Lau menguasai ekonomi dan media di Sibu. KTS group yang dikuasai keluarga itu, menguasai empat akhbar, iaitu akhbar berbahasa Inggeris Borneo Post yang mempunyai edaran tertinggi di Sarawak (86,000 sehari), Utusan Borneo (bahasa Melayu dan Iban), See Hua Daily News dan Oriental Daily.
Lebih parah lagi ialah masalah dalaman SUPP itu sendiri dan sudah menjadi rahsia terbuka bahawa kepemimpinan SUPP di Sibu berbalah sesama sendiri sehingga menjejas jentera kempen BN. Pendeknya, SUPP semakin hilang pengaruh di kalangan masyarakat Cina dan kekalahan di Sibu sebenarnya banyak berpunca daripada kelemahan SUPP sendiri yang gagal meyakinkan masyarakat Cina. Jika SUPP tidak bangkit, ia mungkin alami nasib sama seperti MCA.
Tuesday, May 18, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment