Monday, August 30, 2010

MALAYSIA BIJAK MENANGANI ISU BENDERA (JAKARTA)

OLEH: Pemikir MM
Tindakan BENDERA di Jakarta melakukan demonstrasi baru-baru ini di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, adalah sesuatu yang bertentangan dengan perinsip perhubungan berbaik-baik Malaysia-Indonesia. Dari sumber media, BENDERA berlaku samseng dengan perbuatan-perbuatan keji terhadap kompleks kedutaan Malaysia. Mereka ini kelihatan bertindak berasaskan emosi dan persepsi negatif, jika tidak dikawal, boleh mencalar hubungan akrab Jakarta-Kuala Lumpur.

Pada awalnya, pihak media Jakarta pun cuba menangguk di air yang keruh dengan mensensasikan tindakan BENDERA, yang pernah pada satu masa dulu melakukan demonstrasi yang serupa di hadapan kedutaan Malaysia berkaitan dengan isu Tarian Pendet. Pihak TV Indosia pun sama juga memaparkan berita-berita tidak enak ditontoni oleh penonton-penonton Malaysia yang berada di Indonesia sebagai pelajar, ahli perniagaan, dan juga pelancong.

Reaksi daripada pemimpin-pemimpin utama Malaysia agak lebih rasional dan berfakta. Malaysia menganggap bahawa perbuatan liar BENDERA adalah dicetuskan oleh mereka sendiri tanpa kaitan dengan pemerintahan Indonesia. Malaysia selanjutnya meminta Jakarta mengambil tindakan terhadap perbuatan yang tidak bertanggungjawab oleh ahli BENDERA. Pendirian Malaysia dalam hal ini adalah didapati tidak konfrontatif. Ini menggambarkan betapa sabar dan warasnya pemimpin Malaysia yang tidak mahu terperangkap dalam kemelut kecil ini.

Indonesia sebagai negara Islam, sepatutnya memaparkan contoh terbaik kepada dunia dalam bulan Ramadhan ini. Anggota BENDERA seolah-olah tidak mengerti dengan semangat Ramadhan dimana penumpuan sepatutnya dibuat untuk mempertingkatkan kerja-kerja beribadah kepada Allah S.W.T.

Wira mendesak BENDERA supaya hentikan kegiatan-kegiatan yang tidak bermanfaat dan pusatkan segala energi untuk membantu mereka yang sangat memerlukan di bulan Ramadhan ini. Wira mengalu-mengalukan inisiatif Wisma Putra dan DEPLU (Indonesia) berusaha mententeramkan keadaan.

No comments: