IPOH 24 Ogos – Tindakan memijak bendera Jalur Gemilang dalam satu tunjuk perasaan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sebagai membantah penahanan tiga anggota penguat kuasa Indonesia oleh polis Malaysia disifatkan sebagai mencemar kesucian Ramadan.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, tindakan tersebut amat menyedihkan terutama ketika rakyat Islam di kedua-dua negara sedang menjalani ibadah puasa.
“Memijak bendera negara jiran yang berbudi zaman-berzaman tentunya bukanlah perbuatan yang mencerminkan Islam sekali gus mencemar kesucian Ramadan.
“Namun begitu, rakyat di Malaysia seharusnya bertenang dan tidak bertindak di luar batasan rasional ekoran insiden tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tunjuk perasaan yang disertai anggota Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) yang membawa sepanduk mengecam Malaysia di Kedutaan Malaysia di Jakarta semalam.
Ia ekoran penangkapan anggota penguat kuasa negara berkenaan yang sedang menahan nelayan Malaysia yang didakwa menceroboh perairan Indonesia dekat Pulau Bintan.
Bagaimanapun, suasana menjadi kecoh apabila Kedutaan Malaysia di Jakarta dilempar dengan sebungkus najis manusia selain bendera Jalur Gemilang dipijak oleh beberapa penunjuk perasaan tersebut.
Dalam pada itu, Rais yang sedih dengan kejadian itu yang berlaku beberapa hari sebelum sambutan ulang tahun kemerdekaan negara berharap, kerajaan Indonesia akan bertindak tegas terhadap penunjuk perasaan yang didapati bersalah.
“Semoga pihak penguat kuasa di Jakarta tidak tunduk pada keadaan yang menyedihkan itu,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia (25 Ogos 2010)
No comments:
Post a Comment