Thursday, October 1, 2009

Isa Samad mudahkan laluan Barisan Nasional – Lajim

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Pencalonan Tan Sri Mohd. Isa Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang akan memudahkan laluan parti itu untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, Mohd. Isa merupakan calon pilihan kerana bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu amat disenangi masyarakat setempat khususnya di Bagan Pinang.

“Seperti saya katakan sebelum ini, calon yang dikenali ramai harus diletakkan di situ dan ia telah menjadi kenyataan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan meyakini bahawa pengundi di DUN Bagan Pinang akan mengundi Isa menjelang pengundian pada 11 Oktober ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, jentera Pemuda sudah bersedia untuk memastikan calon BN menang dalam pilihan raya kecil itu.

“Dalam kempen kali ini, kita tidak mahu menyerang peribadi calon sebaliknya lebih fokus pada penyelesaian terhadap masalah rakyat,” katanya.
Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Nor dari BN akibat jangkitan dalam darah 4 September lalu.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel berkata, kebanyakan penduduk India di kawasan tersebut turut memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Isa untuk menjadi wakil kawasan berkenaan.

Menurut beliau, Mohd. Isa akan menerima 100 peratus sokongan daripada masyarakat India di DUN itu kerana beliau sangat terkenal di kalangan kaum India Bagan Pinang.
‘‘Penduduk mahukan Mohd. Isa menjadi wakil mereka. Kira-kira 10,000 rakyat termasuk masyarakat India memberikan sokongan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau mengumumkan calon BN pada pilihan raya kecil itu” katanya.
‘‘Ini menunjukkan bahawa peluang BN untuk memenangi kawasan itu sangat cerah. MIC akan memastikan penduduk India menyokong calon BN,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng pula berkata, Mohd. Isa bukan sahaja diterima oleh ahli BN di Bagan Pinang malah daripada semua lapisan masyarakat di kawasan tersebut.

“Sebab itu jentera MCA akan turun padang dan meyakinkan rakyat supaya memilih wakil rakyat BN agar kita dapat terus mengemudi dan memajukan kawasan tersebut,” ujarnya.
-Utusan Malaysia Online 1 Oktober 2009-

No comments: