Wednesday, October 21, 2009

Demokrasi Ala MCA

Oleh: MM

Apa sebenarnya berlaku dalam MCA?

MCA, komponen BN, sedang menghadapi masalah dalaman yang melibatkan Presidennya, Dato’ Seri Ong Tee Keat dan mantan Timbalan Presiden, Dato’ Seri Chua Soi Lek. Presiden MCA mempunyai tanggungjawab untuk mengukuhkan MCA dan mempastikan pemimpin-pemimpin parti berwibawa dan bersih. Dalam hubungan ini pucuk pimpinan MCA mendapati bahawa Timbalan Presidennya mempunyai rekod peribadi yang boleh menjejaskan imej parti. Presiden parti menghadapi tekanan dari ahli-ahli bahawa MCA dibersihkan demi nama baik parti di samping terus mendapat sokongan dari kaum Cina. Justeru, MCA membuat keputusan untuk memecat Dr. Chua Soi Lek.

Dari tindakan pemecatan ini, maka berlaku keadaan kekecohan dalaman parti yang tidak boleh dibiarkan berlanjutan. Sebagai jalan keluar, MCA bersetuju mengadakan satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 10 Oktober 2009. Dari sumber-sumber tertentu, mesyuarat tergempar ini akan hanya membincang 5 ketetapan yang diutarakan oleh pihak Dr. Chua Soi Lek. Intipati ketetapan ini adalah berkaitan undi tidak percaya terhadap Presiden MCA, undi untuk memasukkan balik Dr. Chua sebagai Timbalan Presiden, memansuhkan tindakan disiplin terhadap penyokong-penyokong Dr. Chua dan melindungi 921 ahli yang meminta persidangan tergempar ini diadakan.

Apakah tindakan MCA terhadap Timbalan Presidennya?

Dari laporan media, 26 Ogos 2009 Majlis Presiden MCA telah menerima cadangan Jawatankuasa Disiplin parti yang bersidang pada 26 ogos 2009 untuk memecat keahlian Timbalan Presidennya, Datuk Seri Chua Soi Lek dan berkuatkuasa serta merta.

Alasan pemecatan Datuk Seri Cua Soi Lek berikutan skandal rakaman video hubungan seksnya pada tahun 2007 yang merosakkan imej parti iaitu berdasarkan Artikel 127 (A) tetapi Soi Lek boleh merayu dalam masa 14 hari. Namun, di bawah Artikel 128, sebarang keputusan oleh Jawatankuasa Pusat atas kesalahan disiplin adalah muktamad.

Apakah reaksi bekas Timbalan Presiden?

Berikutan pemecatan tersebut blog beliau http://drchuah9.blogspot.com mempersoalkan ”Adakah pemecatan saya akan menaikkan imej MCA?”. Datuk Seri Chua Soi Lek di dalam kenyataan akhbarnya pada 26 Ogos 2009 menyatakan beliau tidak terkejut kerana berpendapat ada usaha dari pihak tertentu untuk memusnahkan karier politik beliau.

Sesiapa yang tidak dalam kumpulan Presiden Ong Tee Keat dianggap musuh dan ancaman kepada beliau. Adalah menjadi agenda Presiden bekerja untuk parti selain ekonomi, politik dan hubungan antara kaum. Tetapi, kononnya agenda Presiden ialah untuk menyingkirkan DS Chua.

DS Chua mendakwa bahawa setakat ini, setelah 10 bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 namun MCA tiada lagi perubahan. Beliau berkeyakinan bahawa ahli MCA tidak akan membenarkan seseorang untuk memusnahkan parti. Segala usaha beliau adalah untuk membangkitkan usaha untuk menyelamatkan parti.

Apakah tindakan penyokong beliau?

Media melaporkan bahawa dalam tempoh 24 jam selepas DS Chua Soi Lek dipecat daripada MCA timbul puak tertentu mendesak supaya diadakan satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

Dalam hubungan ini, satu jawatankuasa ”Selamatkan MCA” yang diketuai oleh anggota MCA Bahagian Puchong, Datuk Theng Book ditubuhkan melalui sidang akhabr pada 27 Ogos 2009. Jawatankuasa itu menjelajah ke seluruh negara dalam masa dua minggu untuk mendapatkan sokongan satu pertiga daripada 2,500 perwakilan pusat parti itu supaya EGM diadakan.

Datuk Theng berkata, EGM itu bertujuan mengembalikan semula keanggotaan Dr. Chua dan meluluskan usul tidak percaya terhadap Presiden Parti, Datuk Seri Ong Tee Keat. Theng juga mencabar Ong supaya mengadakan EGM sekiranya beliau yakin mendapat sokongan majoriti anggota parti.

Manakala terdapat pihak lain juga mendesak Biro Disiplin MCA untuk melucutkan secara sementara kuasa Presiden Parti. Desakan ini dibuat oleh enam Bahagain MCA dari Johor iaitu MCA Bahagian Pontian, Tanjung Piai, Tebrau, Gelang Patah, Kota Tinggi dan Pulai.

Apa desakan kumpulan ini?

Mereka mendesak Majlis Presiden perkara-perkara berikut:

i. Pelucutan sementara kuasa Presiden;

ii. Biro Disiplin MCA menyiasat tuduhan derma RM10 juta kepada MCA oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn. Bhd, Datuk Tiong King Sing;

iii. Menyiasat tuduhan Presiden parti tentang usaha pengumpulan dana sebanyak RM100 tambahan bagi membiayai usaha menjatuhkannya; dan

iv. Meminta Biro Disiplin parti mengkaji semula keputusan memecat keanggotan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.

Selain itu lima Bahagian MCA di Perak mendesak Jawatankuasa Disiiplin MCA menggantung tugas Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Kiat serta merta. Bahagian-bahagian MCA terbabit adalah Batu Gajah, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Tambun dan Bagan Datoh.Timbalan Ketua MCA Bahagian Batu Gajah, Datuk Lee Kon Yin yang mewakili mereka berkata, penggantungan tugas Tee Keat selaku Presiden MCA amat penting bagi memastikan beliau tidak campur tangan atau menyalahgunakan kuasa dalam isu tersebut.

Kenapa ahli-ahli BN perlu prihatin serta memandang berat?

Ramai pemimpin BN juga memberi reaksi terhadap pemecatan Datuk Seri Chua Soi Lek. Pengerusi BN menasihatkan supaya MCA memelihara kepentingan BN dalam apa juga tindakan yang diambil. Beliau tidak akan campur tangan dalam kemelut yang dihadapi MCA namun kalau ada undangan dari MCA maka beliau akan campurtangan.

Menteri Besar Perak meminta semua parti komponen Barisan Nasional (BN) Perak mengurangkan politik dalaman yang keterlaluan dan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam juga mengulas dan berharap keputusan itu tidak akan menggugat semangat dan sokongan ahli-ahli dalam MCA.

Apakah penilaian orang ramai terhadap krisis dalaman ini?

Apa yang berlaku sekarang menampakkan bahawa pucuk pimpinan MCA memang memandang serius kemelut yang dihadapi oleh MCA. Mereka sedar bahawa isu kepimpinan MCA ini hendaklah diatasi dengan terbaik supaya penyokong-penyokong di lapangan dapat mengukuhkan pendirian masing-masing selepas 10 Oktober 2009 akan datang.

Keputusan muktamad dalam mesyuarat tergempar ini diharapkan akan menjadi ubat mustajab untuk memantapkan MCA. Proses persidangan tergempar ini merupakan satu lagi contoh amalan demokrasi MCA dan ini sekali gus menunjukkan kematangan MCA dalam menghadapi anasir-anasir yang cuba melemahkan MCA dari segi jangka panjang.

Ramai berpendapat bahawa rakyat perlu mengalu-alukan tindakan MCA mengadakan mesyuarat tergempar ini sebagai satu kaedah untuk menyatukan sokongan semua ahli kepada perjuangan MCA khasnya dan BN amnya.

No comments: