Monday, August 30, 2010

DAP TIDAK FAHAM BUDAYA ISLAM

OLEH: Pemikir
Sejak kebelakangan ini, politik di Selangor telah membingungkan rakyat apabila seorang ahli politik bukan Islam memberi tazkirah di ruang solat surau Al-Huda Kajang, Selangor. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, adalah memang benar hukum Islam membenarkan bukan Islam memasuki masjid atau surau, tetapi didalam kes ini ia ada unsur politik dan peraturan jelas sudah dikeluarkan mengenainya. Perintah DYMM Sultan Selangor melarang aktiviti unsur politik di tempat beribadat umat Islam demi kepentingan Ummah.

Yang menjadi isu disini adalah tindakan Ahli Parlimen Serdang (DAP) didapati membuat sesuatu tindakan yang dianggap tidak menghormati titah DYMM. Jelas bahawa niat MP tersebut mempunyai tujuan politik. Ini bertentangan dengan perinsip-perinsip pengwujudan masjid termasuklah untuk beribadat dan mendalami ilmu agama Islam.

Disini menunjukkan bahawa DAP keseluruhannya, dan MP tersebut khasnya, tidak faham budaya Islam. Pelancong-pelancong yang melawat masjid-masjid terutamanya Masjid Negara, pun lebih arif tentang budaya masjid. Masjid telah menyediakan pakaian lengkap untuk pelancong-pelancong wanita bukan Islam sebelum memasuki masjid. Kita tidak pernah mendengar apa-apa masalah di Masjid Negara. Tetapi di surau Al-Huda telah berlaku sesuatu yang tidak elok dilihat dan dibaca.

Kepada Ahli-ahli DAP yang bukan Islam, hendaklah faham tentang adab-adab memasuki surau atau masjid. Perbuatan yang samada sengaja atau tidak boleh mencemar Islam, perlu dielakkan. Kenyataan-kenyataan dari PAS yang mempertahankan tindakan biadap Ahli Parlimen berkenaan mempunyai motif politik.

Pihak DAP perlu sensitif dan jangan cuba bermain api berkaitan dengan agama Islam khususnya kerana ia boleh membawa kesan sampingan yang negatif. Bersyukurlah kita bahawa Malaysia mempunyai sikap toleransi yang tinggi tetapi ini janganlah diambil kesempatan oleh DAP.

DAP seharusnya melihat di negara-negara lain seperti di India, Pakistan dan juga di negara-negara barat. Orang-orang Islam, terutamanya di India, mudah bertindak ganas apabila berlaku pencemaran oleh pihak2 tertentu terhadap masjid-masjid.

MALAYSIA BIJAK MENANGANI ISU BENDERA (JAKARTA)

OLEH: Pemikir MM
Tindakan BENDERA di Jakarta melakukan demonstrasi baru-baru ini di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, adalah sesuatu yang bertentangan dengan perinsip perhubungan berbaik-baik Malaysia-Indonesia. Dari sumber media, BENDERA berlaku samseng dengan perbuatan-perbuatan keji terhadap kompleks kedutaan Malaysia. Mereka ini kelihatan bertindak berasaskan emosi dan persepsi negatif, jika tidak dikawal, boleh mencalar hubungan akrab Jakarta-Kuala Lumpur.

Pada awalnya, pihak media Jakarta pun cuba menangguk di air yang keruh dengan mensensasikan tindakan BENDERA, yang pernah pada satu masa dulu melakukan demonstrasi yang serupa di hadapan kedutaan Malaysia berkaitan dengan isu Tarian Pendet. Pihak TV Indosia pun sama juga memaparkan berita-berita tidak enak ditontoni oleh penonton-penonton Malaysia yang berada di Indonesia sebagai pelajar, ahli perniagaan, dan juga pelancong.

Reaksi daripada pemimpin-pemimpin utama Malaysia agak lebih rasional dan berfakta. Malaysia menganggap bahawa perbuatan liar BENDERA adalah dicetuskan oleh mereka sendiri tanpa kaitan dengan pemerintahan Indonesia. Malaysia selanjutnya meminta Jakarta mengambil tindakan terhadap perbuatan yang tidak bertanggungjawab oleh ahli BENDERA. Pendirian Malaysia dalam hal ini adalah didapati tidak konfrontatif. Ini menggambarkan betapa sabar dan warasnya pemimpin Malaysia yang tidak mahu terperangkap dalam kemelut kecil ini.

Indonesia sebagai negara Islam, sepatutnya memaparkan contoh terbaik kepada dunia dalam bulan Ramadhan ini. Anggota BENDERA seolah-olah tidak mengerti dengan semangat Ramadhan dimana penumpuan sepatutnya dibuat untuk mempertingkatkan kerja-kerja beribadah kepada Allah S.W.T.

Wira mendesak BENDERA supaya hentikan kegiatan-kegiatan yang tidak bermanfaat dan pusatkan segala energi untuk membantu mereka yang sangat memerlukan di bulan Ramadhan ini. Wira mengalu-mengalukan inisiatif Wisma Putra dan DEPLU (Indonesia) berusaha mententeramkan keadaan.

Friday, August 27, 2010

DAP bertazkirah di rumah Allah


Teoh Nie Ching (Ahli Parlimen DAP Serdang) telah memberi tazkirah di Surau Al Huda, Kajang, Selangor pada jam 9.33 mlm, 22 Ogos 2010.
Apa komen umat Islam terutamanya penyokong fanatik Pakatan Rakyat berhubung isu ini?

Sumber gambar: Utusan Malaysia (27 Ogos 2010)

Wednesday, August 25, 2010

Sanggupkah DAP, PKR, Pas isytihar pertahankan Perlembagaan?

MOHD. AZIM SYAFI
Sungai Buloh, Selangor

BANYAK seruan dibangkitkan supaya orang Melayu bersatu untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan adalah sesuatu yang sangat luhur dan tidak sepatutnya dibiarkan diganggu-gugat oleh orang politik yang mempunyai kepentingan peribadi.

Perlembagaan adalah panduan hidup bermasyarakat dalam negara majmuk ini. Khabarnya, perancangan untuk mengubah Perlembagaan itu sudah dimulakan selepas pembangkang berjaya mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Mereka sudah berangan-angan bahawa langkah untuk menawan Putrajaya semakin hampir dan selepas cubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang) untuk membeli wakil rakyat Barisan Nasional (BN) gagal, maka perkara ini mula dirancang.

Kebetulan, langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan gagasan 1Malaysia untuk mencapai perpaduan kaum pula diperalatkan sebagai saluran mendesak kesamarataan.

Jadi, kita kena berhati-hati. Sejak tahun 2008, kedudukan berkaitan dengan Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu, hak keistimewaan Melayu, kontrak sosial dan kepentingan institusi-institusi awam yang terlindung di bawah Perlembagaan negara selalu diperlekehkan dan dihina.

Saya sedih, keharmonian dan perpaduan Barisan Nasional ketika era Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, malah Tun Dr. Mahathir Mohamad kini semakin hilang.

Baru-baru ini, Mufti Perak, Harussani Zakaria mendedahkan tentang ada 'perlembagaan baru' dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan.
Saya bimbang, jika kerajaan tidak bertindak menggunakan kuasa yang ada padanya, kestabilan negara akan rosak dan punah.

Saya percaya usaha untuk menulis perlembagaan baru ini digerakkan oleh parti politik tertentu. Motifnya untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara republik.
Tetapi, walau apa pun usaha untuk menulis semula kandungan Perlembagaan, ia digerakkan dengan memburuk-burukkan institusi raja-raja kerana tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja semua pindaan tidak akan diluluskan. Sebab itu ada cubaan supaya orang Melayu sendiri membenci dan merobohkan institusi Raja-raja supaya senang mereka merungkai asas kenegaraan, bagi mengikut acuan gagasan parti tertentu.

Saya berasa hairan sikap mereka yang mengaku warga Malaysia yang mahu mencabul Perlembagaan negara.
Banyak pemimpin kaum minoriti di luar negara amat menjunjung perlembagaan. Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama misalnya, sejak di awal penglibatan dalam politik berikrar mempertahankan perlembagaan dan tidak pernah tergelincir daripada asas tersebut. Di negara-negara lain juga senarionya begitu.

Maknanya, apa sekalipun aliran dan perbezaan ideologi di kalangan parti politik, perlembagaan sesebuah negara perlu dipertahankan oleh semua pihak tanpa mengira agama mahupun etnik.
Saya bersetuju dengan pandangan Awang Selamat di bawah tajuk Perlembagaan digugat? dalam Bisik-Bisik Mingguan, Ahad lalu yang mencabar para pemimpin pembangkang tampil menyatakan pendirian dan sekaligus berikrar untuk sama-sama mempertahankan dan menjunjung sepenuhnya Perlembagaan negara.

Sehingga kini saya belum membaca kenyataan daripada pemimpin parti pembangkang tentang usaha mempertahankan Perlembagaan.

Saya teringin mendengar kenyataan mengenai kesanggupan dan ikrar pemimpin DAP, PKR dan Pas untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Jika mereka enggan atau berdolak-dalih, jelaslah mereka mempunyai agenda yang sedang kita perkatakan ini.
-Utusan Malaysia, 25 Ogos 2010-

Siapa dalang?

Daripada BORHAN ABU SAMAH borhan.samah@utusan.com.my
Wisma Putra digesa mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi menyiasat dalang di belakang tindakan segelintir warga Indonesia yang terlibat dalam demonstrasi menghina Malaysia.

Dalam pada itu, Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) yang berdemonstrasi dan melontar najis ke dalam Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia kelmarin, turut mengugut akan melancarkan gerakan mengusir rakyat Malaysia.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono meminta rakyatnya bertenang dan mengingatkan supaya hubungan baik Malaysia-Indonesia dijaga.

Rata-rata rakyat Indonesia yang mencari rezeki di Malaysia mencemuh perbuatan Bendera yang memijak Jalur Gemilang dan melempar najis ke kawasan Kedutaan Besar Malaysia.

JAKARTA 24 Ogos – Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) yang mengadakan demonstrasi dan melontar najis ke dalam Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia semalam, dipercayai didalangi oleh pihak ketiga.

Kumpulan itu turut mengugut akan melancarkan gerakan mengusir rakyat Malaysia dengan mengadakan sekatan jalan raya di hadapan ibu pejabatnya di Jalan Deponegoro, Jakarta Pusat.
Ugutan itu dibuat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan kenyataan media di Internet.
Bendera turut mengecam kepimpinan Susilo yang disifatkan terlalu berlembut dengan Malaysia dan lambat menangani isu penangkapan tiga anggota penguat kuasa Jabatan Kelautan dan Perikanan Indonesia pada 13 Ogos lalu.

Tahun lalu, beberapa orang aktivis Bendera ditangkap kerana melakukan operasi pengusiran rakyat Malaysia di hadapan ibu pejabat mereka di Jalan Deponegoro, Jakarta Pusat dengan menggunakan senjata buluh runcing.

Bagaimanapun, polis membebaskan mereka dengan alasan tidak ada senjata buluh runcing digunakan semasa tindakan Sweeping Malaysia itu.
Pada sidang Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia hari ini, seorang anggota pembangkang dari parti Golkar, Tantowi Yahya meminta pemerintah Indonesia mengambil tindakan keras terhadap Malaysia.

Tantowi turut menyelar pemerintah Indonesia kerana merendah-rendahkan martabat negara itu apabila melakukan pertukaran pembebasan tujuh nelayan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia dengan tiga anggota penguat kuasa terbabit.

Dalam pada itu, jurucakap Polis Metro Jaya, Asisten Komisioner Daniel Bolly Tafaona berkata, empat aktivis Bendera yang ditahan dalam demonstrasi melontar najis semalam dibebaskan malam tadi kerana didapati tidak melanggar sebarang undang-undang.
“Kerana sasaran yang akan mereka lempar tidak sempat dilemparkan, kita bebaskan mereka,” jelasnya di sini hari ini.

Bagaimanapun difahamkan salah satu daripada lima bungkus najis yang dilempar telah masuk ke dalam premis kedutaan. – utusan.

Tindakan pijak Jalur Gemilang cemari Ramadan – Rais

IPOH 24 Ogos – Tindakan memijak bendera Jalur Gemilang dalam satu tunjuk perasaan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sebagai membantah penahanan tiga anggota penguat kuasa Indonesia oleh polis Malaysia disifatkan sebagai mencemar kesucian Ramadan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, tindakan tersebut amat menyedihkan terutama ketika rakyat Islam di kedua-dua negara sedang menjalani ibadah puasa.

“Memijak bendera negara jiran yang berbudi zaman-berzaman tentunya bukanlah perbuatan yang mencerminkan Islam sekali gus mencemar kesucian Ramadan.
“Namun begitu, rakyat di Malaysia seharusnya bertenang dan tidak bertindak di luar batasan rasional ekoran insiden tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tunjuk perasaan yang disertai anggota Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) yang membawa sepanduk mengecam Malaysia di Kedutaan Malaysia di Jakarta semalam.

Ia ekoran penangkapan anggota penguat kuasa negara berkenaan yang sedang menahan nelayan Malaysia yang didakwa menceroboh perairan Indonesia dekat Pulau Bintan.
Bagaimanapun, suasana menjadi kecoh apabila Kedutaan Malaysia di Jakarta dilempar dengan sebungkus najis manusia selain bendera Jalur Gemilang dipijak oleh beberapa penunjuk perasaan tersebut.

Dalam pada itu, Rais yang sedih dengan kejadian itu yang berlaku beberapa hari sebelum sambutan ulang tahun kemerdekaan negara berharap, kerajaan Indonesia akan bertindak tegas terhadap penunjuk perasaan yang didapati bersalah.
“Semoga pihak penguat kuasa di Jakarta tidak tunduk pada keadaan yang menyedihkan itu,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia (25 Ogos 2010)

Tuesday, August 24, 2010

Pornthip gagal pertahan teori 80% dibunuh

TUMPUAN terhadap inkues menjadi semakin panas bila mana pakar patologi Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand memberikan keterangan beliau berhubung hasil post mortem kedua yang dibuat ke atas mendiang Teoh Beng Hock.

Seperti yang telah dijangkakan, kenyataan dan hasil penemuan yang dikemukakan akan bersifat kontroversi dan sama sekali bertentangan dengan hasil penemuan empat lagi patologi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan iaitu Dr. Khairul Azman, Dr. Prashant Naresh Samberkar, Dr. Shahidan Md. Noor dan pakar forensik Britain, Dr. Peter Vanesis.

Berdasarkan penemuan kajian pertamanya, Dr. Pornthip telah pun mengeluarkan teori yang amat kontroversi serta mencetuskan keresahan di kalangan rakyat iaitu kematian Beng Hock - 80 peratus dibunuh, 20 peratus bunuh diri. Apa yang peliknya, dengan hanya meneliti gambar-gambar sahaja beliau boleh membuat keputusan bahawa kematian Beng Hock adalah kerana dibunuh.

Kenyataan atau teori ini bercanggah atau bertentangan sama sekali dengan hasil penemuan yang dibuat oleh tiga pakar patologi tempatan dan seorang pakar patologi Britain. Ini membuatkan kehadiran beliau ke Malaysia amat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia untuk mengetahui apakah beliau akan dapat mempertahankan teori 80-20 yang dinyatakan sebelum ini.

Kehadiran beliau di Malaysia juga turut dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu sehingga tercetus andaian bahawa keselamatan beliau akan terancam. Malaysia digambarkan sebagai sebuah negara yang huru-hara, tiada undang-undang dan tidak selamat sehingga membahayakan nyawa seorang pakar forensik yang datang untuk memberikan kenyataan. Semuanya mengarut dan sengaja diada-adakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.

Sebelum kita membahaskan kenyataan Pornthip dan hasil penemuan terbarunya dalam post mortem kedua (yang benar-benar berasaskan mayat mendiang Beng Hock dan bukannya gambar) maka wajar kita teliti semula apakah pandangan keempat-empat ahli patologi yang turut terlibat secara langsung dalam post mortem terhadap mayat mendiang Beng Hock.
Kesimpulan yang boleh dibuat berasaskan laporan keempat-empat ahli patologi di atas adalah seperti berikut:

* Kematian Beng Hock disebabkan kemungkinan bunuh diri;
* Tidak jelas tanda-tanda bahawa Beng Hock dibunuh sebelum dicampak dari tingkap;
* Kecederaan yang terdapat tidak menunjukkan tanda-tanda struggle;
* Beng Hock masih sedar ketika jatuh. Kecederaan patah kedua-dua tulang tangan dan kedua-dua tulang kaki juga menunjukkan yang Beng Hock masih dalam keadaan sedar dan cuba menahan impak jatuh;
* Kecederaannya konsisten dengan kejatuhan dari tempat tinggi;
* Kesan calar pada kasut Beng Hock konsisten dengan perbuatan beliau mencangkung di tingkap sebelum terjun;
* Beng Hock tidak dipengaruhi oleh dadah ataupun alkohol.

Terbaru dalam inkues yang berlangsung jelas menunjukkan bahawa Pornthip yang selama ini berkeras dengan teori 80-20 tidak dapat mempertahankan hujahnya. Kalau sebelum ini beliau berkeras menyatakan bahawa wujud tanda-tanda Beng Hock diseksa, dipukul dan dubur ditusuk dengan objek tumpul serta dibunuh sebelum dicampak keluar tingkap. Namun hari ini, pengakuannya telah berubah namun masih lagi dianggap kontroversi.

Terdapat beberapa fakta yang tidak dapat dipertahankan oleh Pornthip berasaskan laporannya sebelum ini. Antaranya:

* Beliau menukar pandangan dengan tidak lagi mengekalkan pendapat bahawa 80 peratus Beng Hock mati akibat dibunuh;
* Kecederaan Beng Hock tidak menunjukkan bahawa beliau diseksa atau dipukul sebagaimana kenyataannya sebelum ini yang mengatakan Beng Hock diseksa, dipukul;
Tiada bukti ditemui menunjukkan bahawa Beng Hock dipukul ataupun diseksa sebagaimana kenyataannya sebelum ini;
* Beliau turut menyangkal dakwaannya sebelum ini yang menunjukkan bahawa kecederaan pada dubur Beng Hock akibat tusukan benda tumpul dan mengesahkan penemuan pakar-pakar lain yang ia disebabkan kesan jatuh dari tempat tinggi.

Bagi menyelamatkan maruah dirinya, Pornthip yang boleh dibaratkan sebagai fortune teller atau ahli nujum mengeluarkan teori baru tetapi tergantung iaitu kematian Beng Hock bukan disebabkan bunuh diri. Namun bila ditanya oleh pihak pembelaan adakah ia disebabkan oleh 'dibunuh', Pornthip tidak dapat menjelaskannya.

Kalau bukan disebabkan bunuh diri, apa pula punca kematiannya? Sudah tentu dibunuh dan dicampak keluar tingkap? Bukan begitu? Namun, dalam kenyataannya beliau jelas mengatakan bahawa teori 80 peratus tidak lagi berguna, tiada langsung bukti menunjukkan Beng Hock dipukul dan diseksa atau dibunuh dan tiada tanda-tanda kecederaan pada tubuh Beng Hock yang berkaitan dengan insiden pukul atau diseksa.

Ini jelas menunjukkan bahawa Pornthip sebenarnya bukanlah seorang 'pakar' sebagaimana yang dihebahkan oleh pihak-pihak berkepentingan. Kehadirannya hanya sebagai seorang pelakon untuk menghuru-harakan hasil penemuan empat pakar forensik yang benar-benar profesional serta bertujuan untuk polemik politik dan meraih simpati sokongan masyarakat.

PEGUAM RAKYAT
Shah Alam
Sumber : Utusan Malaysia (24 Ogos 2010)

Malaysia negara Islam, sekular

TAJUK di atas tentu mengejutkan ramai orang khususnya Karpal Singh yang sering mahu menganggap Malaysia sebuah negara sekular dan bukan Islam kerana dia beranggapan bahawa negara Islam tidak disebut dalam Perlembagaan.

Malah, negara sekular juga tidak disebut di dalamnya. Jadi apa yang dia katakan itu sebenarnya adalah anggapannya sahaja. Dia pilih sekular sebab Islam tidak disebut dan tidak sebaliknya.
Sebenarnya, Malaysia adalah sebuah negara Islam dan sekular.

Tentu tidak ramai yang sedar bahawa negara sekular itu adalah satu konsep pemerintahan atau kerajaan yang telah diperkenalkan di Eropah semasa mereka mahu memisahkan corak pemerintahan di antara gereja dan politik.

Sekular di sini bererti bahawa negara-negara di Eropah itu bukan mengguna sistem Kristian atau Katholik.

Jadi, oleh sebab Malaysia tidak mengamalkan sistem seperti ini, maka ia boleh dianggap sekular.
Tetapi ini tidak bermakna ia tidak Islam. Malaysia ialah sebuah negara Islam.
Walaupun ini tidak disebut dalam Perlembagaan, tetapi inilah hakikatnya.

Ini adalah kerana Malaysia terdiri daripada sebuah kerajaan yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong dan kumpulan sistem kerajaan sembilan negeri-negeri beraja.
Maka secara tidak langsung, Malaysia adalah sebuah negara Kesultanan dan berkerajaan Islam.
Ini diperkuatkan lagi dengan peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia sendiri yang tertulis bahawa Islam adalah agama rasmi.

Walaupun negara-negara lain ada raja seperti di Thailand dan Jepun, tetapi peruntukan seperti ini tidak ada dalam Perlembagaan mereka yang memperuntukkan agama rasmi negara mereka.
Jadi, anggapan Karpal Singh tentang Malaysia bukan sebuah negara Islam dan sebuah negara sekular tidak benar.

Malaysia sebenarnya sebuah negara Islam dan juga sekular.

MANSOR PUTEH
www.mansorbinputeh.blogspot.com
Cheras, Selangor
Sumber : Utusan Malaysia (24 Ogos 2010)