Oleh: Manja Ismail (Berita Harian 18 Mei 2010)
Taib wajar namakan pengganti untuk terajui BN Sarawak
BENNY Pladin, pemuda Iban yang menjadi pemandu kami meninjau kempen pilihan raya kecil Parlimen Sibu, Khamis lalu, ketika ditanya calon mana yang akan diundi oleh penghuni rumah panjangnya di Tanjung Penasu, tanpa teragak-agak menjawab: "Dak ya mauk beri DAP (disebut dap) dua tahun, mun DAP sik bagus, undi balit BN." (Mereka mahu undi DAP untuk dua tahun akan datang, jika DAP tidak bagus, kami undi semula BN).
Apabila ditanya kenapa, pemuda berusia 23 tahun itu memberi pelbagai alasan daripada kekurangan kemudahan asas sehinggalah kesukaran mendapat pekerjaan, yang menurutnya, penduduk Iban dan Melayu di pinggir bandar Sibu kurang diberi perhatian berbanding masyarakat Cina di bandar. Malah beliau sendiri, yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dari sebuah kolej swasta di Melaka hanya menjadi pemandu sambilan dan berhasrat mencari kerja di Semenanjung.
Ternyata sebahagian daripada 7,823 pengundi Iban dan 8,866 pengundi Melayu/Melanau, masing-masing mewakili 17 dan 15 peratus daripada 54,695 pengundi Sibu, yang secara tradisinya penyokong Barisan Nasional (BN) kali ini berpaling arah. Akibatnya, DAP pertama kali mencatat kemenangan dalam sejarahnya menyertai pilihan raya kecil apabila calonnya, Wong Ho Leng, mendapat 18,845 undi, menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew (18,447 undi) dan calon Bebas, Narawi Haron (232 undi). Sebanyak 395 undi rosak dicatatkan, manakala peratusan keluar mengundi sebanyak 70 peratus kelmarin adalah tertinggi berbanding tiga pilihan raya di Sibu, sebelum ini.Pada Pilihan Raya Umum 2008, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew, yang mewakili BN menang dengan majoriti 3,235 undi.
Beliau memperoleh 19,138 undi, manakala Wong Ho Leng mendapat 15,903 dan Lim Chin Chuang daripada PKR (812 undi). Pilihan raya kecil kelmarin adalah kemenangan pertama Wong di Sibu selepas tiga kali menentang Hoi Chew pada 1995, 2004 dan 2008, tetapi tidak pernah mencapai kemenangan. Dengan kemenangan itu juga, DAP kini mempunyai dua kerusi Parlimen di Sarawak. Analisis awal menunjukkan punca kekalahan tipis BN di Sibu kelmarin ialah kerana sebahagian besar pengundi Cina, yang selama ini menjadi penyokong Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mengundi DAP. Di kawasan Dewan Undangan Negeri Pelawan misalnya, lebih 10,000 pengundi Cina menyokong DAP, berbanding 5,000 undi yang diperoleh BN, berbanding BN menang 200 undi di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum 2008.
Ini ditambah dengan undi sebahagian masyarakat Melayu/Melanau dan Iban yang sama ada mengundi DAP, merosakkan kertas undi atau tidak keluar mengundi, sebagai protes terhadap BN. Jumlah undi rosak yang hampir sama dengan majoriti diperoleh DAP menunjukkan betapa sengitnya pilihan raya kecil kelmarin.Walaupun andaian bahawa tsunami politik 2008 sudah melanda Sarawak ekoran kemenangan pembangkang di Sibu kelmarin masih boleh dipertikaikan, hakikat bahawa masyarakat Cina di Sibu, yang selama ini penyokong BN, berpaling arah, tidak boleh dipandang ringan. Begitupun, sebab kenapa masyarakat Cina Sibu lari daripada BN berbeza dengan rakan mereka di Semenanjung.
Punca pengundi Cina Sibu, sebahagian besarnya keturunan Foochow, menyokong DAP bukan kerana mereka sukakan parti pembangkang itu, tetapi lebih kerana mereka tidak berpuas hati dengan kepemimpinan negeri dan muak dengan perpecahan dalam SUPP, termasuk di Sibu sendiri.Rasa tidak puas hati masyarakat Cina Sibu terhadap kepemimpinan negeri dan SUPP ini ternyata digunakan dengan berkesan oleh DAP dalam kempen mereka, terutama melalui papan tanda dan risalah yang diedarkan kepada pengundi. Antara papan tanda DAP yang menarik perhatian ialah ‘undi SUPP=undi Taib’ atau dalam dialek Foochow, ‘undi SUPP=undi Pek Moh’ (rambut putih), merujuk kepada Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Bukan rahsia lagi di sepanjang tempoh lapan hari berkempen, Taib tidak kelihatan pada ceramah BN untuk pengundi Cina di kawasan bandar, termasuk yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebaliknya, Taib menumpukan perhatian kepada penghuni rumah panjang di kawasan pinggir bandar atau yang agak pedalaman. Dalam kata lain, keputusan di Sibu kelmarin lebih mencerminkan kesan masalah dalaman SUPP dan sentimen masyarakat Cina terhadap kerajaan negeri. Malah, ada pemerhati politik yang berpendapat DAP mungkin menang lebih besar jika Najib tidak datang untuk membantu kempen BN di Sibu minggu lalu.
Keputusan kelmarin juga belum boleh dianggap bahawa pengundi Cina di Sarawak dan Sabah mengikuti jejak rakan mereka di Semenanjung yang lebih memihak kepada pembangkang, khususnya DAP.Namun, kekalahan BN di Sibu kelmarin sudah cukup untuk dijadikan isyarat kepada BN Sarawak, terutama SUPP, agar memikirkan strategi yang lebih berkesan untuk menawan semula pengundi Cina supaya kembali menyokong BN pada pilihan raya negeri akan datang.Pilihan raya negeri Sarawak mesti diadakan sebelum Julai tahun depan dan BN negeri mempunyai kira-kira setahun untuk memperbaiki segala kelemahan bagi memastikan percikan tsunami politik yang digembar-gemburkan oleh pembangkang ekoran kemenangan mereka di Sibu, tidak menjadi kenyataan.
Taib, sebagai ahli politik veteran yang hampir seangkatan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad serta banyak berjasa kepada BN dan Sarawak cukup menyedari perkara ini. Barangkali inilah ketikanya bagi beliau untuk menamakan bakal pengganti secara jelas supaya siapa saja yang dipilihnya nanti dapat dibimbing, bukan saja untuk meneruskan falsafah politik pembangunannya, tetapi lebih penting lagi dalam memastikan BN terus berkuasa di Bumi Kenyalang.
Tuesday, May 18, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment