KUCHING: Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mengakui rasa tidak puas hati pengundi terhadap parti itu adalah punca utama kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu, kelmarin.
Sehubungan itu, Presidennya, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, berkata pihaknya akan turun padang dan melakukan bedah siasat dalam masa terdekat untuk mengetahui punca mereka tidak memberikan sokongan. "Lebih 50 peratus pengundi tidak senang dengan SUPP. Sudah pasti kami perlu turun ke akar umbi untuk mengetahui puncanya," katanya kepada pemberita selepas Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-16, di sini semalam. Pada pilihan raya kecil itu, calon Barisan Nasional (BN) dari SUPP, Robert Lau Hui Yew tewas kepada calon DAP, Wong Ho Leng majoriti dengan 398 undi.
Wong memperoleh 18,845 undi berbanding Lau, 18,447 undi dan calon bebas Norawi Haron hanya mendapat 232 undi, manakala undi rosak 395.
Chan berkata, bedah siasat amat penting sebagai persediaan menghadapi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang perlu diadakan selewat-lewatnya Julai tahun depan.
"Pada masa ini kita tidak tahu mengapa mereka tidak gembira dengan SUPP... kita akan buat bedah siasat dan menggembirakan mereka sebelum pilihan raya negeri kelak," katanya.
Namun, Dr Chan, menafikan faktor calon antara penyebab kekalahan BN kerana Lau adalah calon terbaik dan dikenali pengundi Sibu.
"Beliau seorang yang cukup baik, bekerja kuat untuk parti sejak beberapa tahun lalu dan sudah memberikan perkhidmatan kepada penduduk Sibu. Tidak ada sebab, jika calon dikatakan sebagai faktor kekalahan BN, tetapi tetapi kita sedia mengkajinya," katanya.
Sumber: Berita Harian Online (18 Mei 2010)
Tuesday, May 18, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment