Thursday, September 17, 2009

Jenazah Mariam selamat dikebumikan


KOTA TINGGI 16 Sept. - Dua tahun lalu, kepulangan wanita kelahiran Johor yang terkandas selama 64 tahun di Korea Selatan, Mariam Johari, 88, disambut penuh meriah di rumah anaknya di Taman Kota Jaya di sini. Paluan kompang, bunga manggar dan persembahan silat selain pelbagai hidangan istimewa termasuk kuih-muih seperti seri muka, puding jagung serta buah pulasan, durian dan jambu air menyambutnya ketika itu.

Namun hari ini, sambutan 'kepulangan' kali kedua warga emas itu berbeza apabila ia diselubungi suasana pilu di kalangan ahli keluarga ketika jenazah tiba di Hospital Daerah Kota Tinggi dalam hujan lebat. Kali ini pasti ibu kepada empat orang anak itu tidak akan terkandas lagi di negara lain. Dia kembali ke negara kelahirannya untuk menyempurnakan hajat kekal tinggal di sini.
Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae meninggal dunia di sebuah rumah kebajikan di republik itu ketika tidur pada 5 September lalu selepas empat bulan tidak sihat.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam di sini selepas solat asar dengan dihadiri kira-kira 50 saudara-mara termasuk tiga anaknya, Ramlah Sonni, 74, Jelani, 72, dan Jamnah, 67. Kematiannya menjadi isu apabila wanita tersebut dikatakan telah membuat wasiat agar dia dikebumikan mengikut tradisi masyarakat Korea.
Bagaimanapun hasil campur tangan Wisma Putra dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), jenazah Mariam dapat dibawa pulang ke tanah air apabila diterbangkan dari Seoul pukul 8.50 malam semalam menggunakan pesawat Thai Airways.
Jenazahnya tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 3.50 petang sebelum disembahyangkan di Masjid Jamek Kota Tinggi kira-kira pukul 5.15 petang.
Antara yang hadir ialah Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Mohamed Sebot.
Jelani berkata, dia dan adik-beradik mahu jenazah ibu mereka dibawa pulang untuk dikebumikan di negara ini. Kisah Mariam mula mendapat perhatian apabila dia meluahkan hasratnya untuk mencari tiga anaknya di Plentong, Johor pada 23 Jun 2007.

Hasratnya bertemu semula tiga anaknya itu, termakbul apabila Korea Broadcasting System (KBS) membawa mereka dan cucunya, Ahmad Onn, 43, serta menantu, Siti Zainab Noor, 37, ke studio KBS di Seoul pada 18 Julai 2007.

Pertemuan kali pertama selama enam hari tidak berakhir di situ apabila Mariam pula dibawa ke Malaysia pada 5 September tahun sama sebelum pulang semula ke Korea Selatan pada 13 September 2007.

Mariam yang dilahirkan di Plentong pada 16 Mac 1921, berkahwin dengan seorang jirannya ketika berusia 11 tahun pada 1932 dan melahirkan empat anak, namun anak keempatnya meninggal dunia beberapa bulan selepas dilahirkan. Ketika Perang Dunia Kedua, suaminya menyertai tentera manakala Mariam dikerah menjadi buruh membina landasan kapal terbang di Senai pada 1943.
Mariam kemudian berkenalan dengan tentera kerahan Jepun dari Korea, Cho Se Won, yang membawanya ke Korea Selatan dan dia akhirnya terkandas di negara itu.
Sementara itu, Jelani mewakili keluarganya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama MAIJ dan Wisma Putra yang memastikan urusan pengkebumian ibunya berjalan lancar.
Katanya, pihak keluarga gembira dan bersyukur dapat melihat jenazah ibunya buat kali terakhir dan dikebumikan di kampung halaman sendiri. "Sekurang-kurangnya pagi hari raya nanti kami dapat mengunjungi pusara ibu bersama-sama," katanya.
-Utusan Online-

No comments: