Friday, August 29, 2008

BAJET BAIKI HIDUP RAKYAT

Oleh Khairuddin Mohd. Amin

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Bajet 2009 yang bersifat mengutamakan keperluan rakyat dibentangkan hari ini untuk mengurangkan beban setiap lapisan masyarakat sambil memperbaiki kualiti hidup mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa membentangkan bajet itu pada sidang Dewan Rakyat berkata, pada masa yang sama ia juga memberikan perhatian untuk memperkukuhkan ekonomi bagi menampan kesan persekitaran luar yang semakin sukar.
Bertemakan Kerajaan Prihatin, Bajet 2009 ditumpukan kepada tiga strategi khusus iaitu menjamin kesejahteraan rakyat, membangunkan modal insan berkualiti dan memperkukuhkan daya tahan negara.

Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian bonus sebulan gaji dengan minimum RM1,000 kepada kakitangan kerajaan ketika negara bakal menyaksikan kadar defisit yang lebih tinggi.

Dalam memperlihatkan keperihatinannya, Abdullah memberikan pelbagai inisiatif daripada meningkatkan tahap kelayakan pendapatan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hinggalah menambah baik sistem pengangkutan yang sekian lama menjadi masalah kepada orang ramai.

Bagi mengatasi masalah pengangkutan terutamanya di Lembah Klang pula, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM35 bilion mulai tahun depan hingga 2014.
''Untuk ini, kerajaan akan melaksanakan pelbagai langkah bertujuan meringankan kos sara hidup, terutamanya ke atas golongan berpendapatan rendah yang kurang bernasib baik,'' katanya.

Daripada peruntukan keseluruhan Bajet 2009 sebanyak RM207.9 bilion, sebanyak RM154.2 bilion dikhususkan untuk mengurus manakala baki RM53.7 bilion adalah bagi pembangunan.
Abdullah berkata, bagi mengurangkan beban kewangan golongan berpendapatan rendah, isi rumah yang membayar bil elektrik di bawah RM20 sebulan akan menikmati kemudahan itu secara percuma mulai 1 Oktober ini.

Tambahnya, berikutan peningkatan kadar inflasi yang memberi kesan kepada golongan berpendapatan sederhana, rebat cukai pendapatan dinaikkan kepada RM400 berbanding RM350 bagi mereka yang berpendapatan RM35,000 ke bawah setahun.
Malah katanya, kadar cukai individu maksimum diturunkan kepada 27 peratus daripada 28 peratus pada tahun tafsiran 2009 sebagai kesinambungan untuk meringankan beban kepada penduduk negara ini.

Bagi mengamalkan gaya hidup sihat pula, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan duti eksais ke atas rokok sebanyak tiga sen kepada 18 sen sebatang daripada 15 sen sebatang pada masa ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa negara tidak akan terkecuali daripada kesan negatif peningkatan harga minyak global tetapi percaya ekonomi akan terus stabil dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan 5.7 peratus pada tahun ini dan 5.4 peratus pada tahun depan.

Selain itu, jelasnya, kerajaan juga akan memperuntukan sebanyak RM6 bilion kepada lima koridor pertumbuhan wilayah untuk tujuan perbelanjaan pembangunannya setelah RM10 bilion ditambah untuk tujuan yang sama pada Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan, baru-baru ini.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan memperkenalkan beberapa pengecualian cukai termasuk duti import 100 peratus dan 50 peratus kepada pemegang francais yang mengimport kereta hibrid dengan enjin di bawah 2,000 cc dalam tempoh dua tahun sebagai persediaan untuk pemasangan kereta jenis itu di negara ini.

No comments: