Sunday, May 13, 2007

CHONG WEI JUARA TERBUKA INDONESIA

Daripada Dan Guen Chin

JAKARTA, 13 Mei (Bernama) -- Lee Chong Wei muncul juara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia selepas menundukkan pemain China, Bao Chunlai 21-16, 21-15 pada perlawanan akhir di Stadium Istora Senayan di sini hari Ahad.Kemenangan ke atas pemain pilihan kedua kejohanan itu mengembalikan semula kehebatan pemain Malaysia itu selepas gagal melakukannya dalam beberapa kejohanan sebelum ini.Selepas enam bulan bergelut dengan kemerosotan prestasi dan ranking pemain berusia 25 tahun itu jatuh, memang sepatutnya Chong Wei terlalu gembira dengan kejayaan hari ini.Persembahan cemerlang Chong Wei hari ini ke atas pemain China berusia 24 tahun itu, menjadikan beliau pemain Malaysia kedua memenangi perseorangan lelaki di sini selepas Yong Hock Kin melakukannya pada 1998.Beliau membawa pulang wang tunai US$20,000 (RM70,000) dan dijangka lebih banyak lagi imbuhan di bawah skim insentif Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang menawarkan tambahan 20 peratus akan menyusul selain RM10,000 di bawah skim imbuhan Presiden, yang keseluruhannya dijangka berjumlah RM92,000.Bagaimanapun, apa yang lebih penting kepada Chong Wei adalah kemenangan ini mengembalikan semula keyakinannya yang semakin pudar selepas kegagalan demi kegagalan sebelum ini.Bagi Chong Wei, Terbuka Indonesia menyaksikan kecemerlangannya terutama pada pusingan kedua apabila mengetepikan pemain tuan rumah Simon Santoso dan kemudian pada separuh akhir menundukkan Cheng Hong dari China.Pada perlawanan akhir, Chong Wei mempamerkan semangat juang yang tinggi dengan tidak memberikan banyak ruang kepada Chunlai untuk melakukan gerakan berbahaya dan memaksa pemain lawan lebih tertumpu di tengah gelanggang dengan gerakan pantasnya." Perancangan saya untuk membiarkan pemainan rally dan bersabar. Akhirnya dia melakukan banyak kesilapan. Saya perlu menang perlawanan ini dan sekarang saya kembali yakin. Saya mahu kembali menjadi pemain nombor satu dunia," kata Chong Wei." Saya gembira dengan kejayaan Chong Wei. Beliau menghadapi terlalu banyak tekanan sejak enam bulan lepas dan diharapkan kemenangan hari ini akan memberikan semangat untuk mencapai lebih banyak kejayaan," kata jurulatihnya Misbun Sidek.Harapan untuk melihat kejayaan satu lagi wakil Malaysia pada perlawanan akhir tidak kesampaian apabila pasangan beregu lelaki Zakry Latiff dan Fairuzizuan Tazari tewas kepada pasangan China Cai Yun dan Fu Haifeng.Pasangan nombor satu dunia itu menang 21-17, 22-20 untuk merangkul kejuaraan kedua dalam masa seminggu selepas memenangi Terbuka Singapura dengan menundukkan satu lagi pasangan Malaysia Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah." Kami agak gopoh dan saya kena akui kami agak gementar juga. Bagaimanapun, kekalahan ini satu pengalaman berguna buat kami. Kami akan belajar daripadanya dan akan cuba perbaiki," kata Zakry.Perseorangan wanita menyaksikan kejutan apabila pemain Hong Kong, Wang Chen menewaskan pilihan ketiga dan juara bertahan Zhu Lin dari China 21-14, 21-13.

No comments: