Thursday, September 17, 2009

TIM F1 MALAYSIA AKAN MERANGSANGKAN INDUSTRI AUTO MALAYSIA........ TAHNIAH KEPADA YAB PERDANA MENTERI

Oleh: Pemikir - MM

Dengan adanya tim F1nya sendiri maka ini membolehkan Malaysia menyertai kejohanan F1 yang akan datang mulai 2010 dan seterusnya. Malaysia mempunyai kemudahan yang terdapat di Litar Sepang dan pengujudan tim ini akan mengoptimakan penggunaan litar tersebut.

Projek ini adalah sesuatu yang dilaksanakan oleh pihak swasta yang melibatkan Air Asia, Kumpulan Naza, Proton dan kerajaan sendiri. Usaha bersama ini akan mempastikan tim ini dapat berterusan dalam semua siri kejohanan F1. Adalah diketahui bahawa penyelenggaraan tim seperti mempunyai cabaran khas dan juga kos yang sangat tinggi. Pihak Ferrari menggunakan USD300 million untuk timnya menyertai kejohanan ini tiap tahun. Ferrari mempunyai dana yang cukup besar bagi mempastikan ia sentiasa ditangga no. 1 dalam kejohanan F1. Tetapi mulai 2010, penganjur F1 telah menetapkan USD40 million bagi tiap tim yang menyertai F1 nanti. Keputusan ini telah menjadi satu kontroversi dikalangan peserta terutamanya Ferrari. Dengan penetapan ini, maka tim-tim F1 akan dapat menyertai perlumbaan berprestij ini dengan kos yang sederhana.

Bagi Malaysia pula, penceburan dalam siri kejohanan ini merupakan satu langkah berani dan dijangka akan mempunyai implikasi-implikas positif kepada industri auto dan juga negara. Sudah pasti anak-anak Malaysia akan dapat memperolehi kemahiran-kemahiran yang khusus apabila tim ini mula bergerak. Keuntungan akan juga dapat diperolehi dari pelbagai saluran termasuklah pengiklanan, penjualan cenderamata, publikasi, tiket-tiket kejohanan tahunan F1 Litar Sepang, penjenamaan Lotus pada kereta-kereta keluaran Malaysia, mengeluarkan kereta-kereta jenis Lotus untuk pasaran dunia dan lain-lain lagi.

Pemerhati mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Perdana Menteri yang merestui projek ini dan dipercayai bahawa ini adalah satu langkah bijak kerana Malaysia mempunyai kepakaran auto dan juga memiliki teknologi tinggi Lotus yang diperolehi oleh Proton.

Namun akan timbul pihak tertentu membuat kritikan-kritikan terhadap projek ini. Pada satu masa dulu, mereka menganggap bahawa Litar Sepang adalah projek gajah putih dan satu pembaziran. Kepada mereka ini, adalah dinasihatkan untuk berfikir di luar kotak. Singapura menyesal kerana lewat membawa F1 sebagai sukan negara itu. Lee Kuan Yew tidak dapat melihat rasional Tun Dr. Mahathir membawa F1 ke Malaysia. Kini Singapura akan mengadakan F1 pada waktu malam September ini. Singapura akan dapat meraih keuntungan besar di sini kerana peminat-peminat F1 di Eropah dan Amerika Syarikat dapat menonton F1 Singapura pada siang hari. Singapura akan mendapat keuntungan dari pemberian hak-hak untuk siaran-siaran langsung oleh TV antarabangsa.

Pemerhati berpendapat bahawa projek ini telah diteliti dari semua segi dan justeru telah dapat menarik pihak swasta untuk menyertainya. Mereka melihat dari segi jangka panjang dan yakin bahawa projek F1 Malaysia mempunyai potensi besar.





No comments: