Thursday, September 17, 2009

MESYUARAT TERGEMPAR MCA 10 0KTOBER 2009 – SATU AMALAN DEMOKRASI

Oleh: Pemikir – MM

MCA, komponen BN, sedang menghadapi masalah dalaman yang melibatkan Presidennya, Dato’ Seri Ong Tee Keat dan mantan Timbalan Presiden Dato’ Seri Chua Soi Lek. Presiden MCA mempunyai tanggungjawab untuk antara lainnya mengukuhkan MCA dan mempastikan pemimpin-pemimpin parti berwibawa dan bersih. Dalam hubungan ini pucuk pimpinan MCA mendapati bahawa Timbalan Presidennya mempunyai rekod peribadi yang boleh menjejaskan imej parti. Presiden parti menghadapi tekanan dari ahli-ahli bahawa MCA dibersihkan demi nama baik parti di samping terus mendapat sokongan dari kaum Cina. Justeru, MCA membuat keputusan untuk memecat Dr. Chua Soi Lek.

Dari tindakan pemecatan ini, maka berlaku keadaan kekecohan dalaman parti yang tidak boleh dibiarkan berlanjutan. Sebagai jalan keluar, MCA bersetuju mengadakan satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 10 Oktober 2009. Dari sumber-sumber tertentu, mesyuarat tergempar ini akan hanya membincang 5 ketetapan yang diutarakan oleh pihak Dr. Chua Soi Lek. Intipati ketetapan ini adalah berkaitan undi tidak percaya terhadap Presiden MCA, undi untuk memasukkan balik Dr. Chua sebagai Timbalan Presiden, memansuhkan tindakan disiplin terhadap penyokong-penyokong Dr. Chua dan melindungi 921 ahli yang meminta persidangan tergempar ini diadakan.

MCA tidak menerima apa jua ketetapan dari Dato’ Seri Ong Tee Keat. Beliau menyerahkan kepada persidangan nanti untuk menerima atau menolak ketetapan-ketetapan Dr. Chua Soi Lek. Ini merupakan satu pendekatan untuk memudahkan perjalanan mesyuarat tergempar ini dan memberi peluang kepada perwakilan untuk menentukan kedudukan tubuh parti mereka sendiri. Dr. Chua Soi Lek tidak akan hadir mesyuarat ini kerana beliau telah dipecat.

Apa yang berlaku sekarang menampakkan bahawa pucuk pimpinan MCA memang memandang serius kemelut yang dihadapi oleh MCA. Mereka sedar bahawa isu kepimpinan MCA ini hendaklah diatasi dengan terbaik supaya penyokong-penyokong di lapangan dapat mengukuhkan pendirian masing-masing selepas 10 Oktober 2009 akan datang. Keputusan muktamad dalam mesyuarat tergempar ini diharapkan akan menjadi ubat mustajab untuk memantapkan MCA. Proses persidangan tergempar ini merupakan lagi satu contoh amalan demokrasi MCA dan ini sekali gus menunjukkan kematangan MCA dalam menghadapi anasir-anasir yang cuba melemahkan MCA dari segi jangka panjang.

Pemerhati berpendapat bahawa rakyat perlu mengalu-alukan tindakan MCA mengadakan mesyuarat tergempar ini sebagai satu kaedah untuk menyatukan sokongan semua ahli kepada perjuangan MCA khasnya dan BN amnya.

No comments: