Thursday, June 26, 2008

MOI EJEN PERUBAHAN KETERBUKAAN

Oleh Pemikir Negara

Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek, yakin Kementerian Penerangan (MOI) mampu menjadi ejen perubahan dan menyediakan infrastruktur dasar keterbukaan kerajaan sekarang.

Baginya, apa yang perlu dilakukan ialah menggerakkan semua kakitangan MOI ke tahap yang lebih cemerlang di samping menggunakan segala kemudahan yang ada sekarang sebagai medium perantara antara kerajaan dan rakyat.

Dalam ucapan di Perhimpunan Bulanan MOI di Angkasapuri, Dato' Ahmad Shabery mahu kakitangan MOI daripada pelbagai jabatan termasuk Jabatan Penyiaran, Jabatan Penerangan dan Jabatan Hal-Ehwal Khas (JASA) terus bekerja kuat untuk membolehkan segala dasar kerajaan difahami oleh rakyat. Jika rakyat tidak faham, mereka akan sering tertanya-tanya dan yang membimbangkan mereka menjadi keliru.

Selama ini, orang luar melihat MOI hanya menerusi Jabatan Penyiaran atau RTM tetapi sebenarnya banyak jabatan termasuk JASA yang telah memainkan peranan penting dalam menjelaskan dasar kerajaan ke akar umbi. Usaha itu perlu diperhebatkan lagi dengan menggunakan infrastruktur yang ada di samping teknologi terbaru.

Sejak beliau menyertai MOI, pelbagai perubahan sudah dilakukan antaranya ialah mengadakan siaran langsung selama setengah jam Persidangan Dewan Rakyat, merapatkan diri dengan penulis blog, mengadakan program bualbicara BLOG, mempertingkatkan bahan berita yang kemas dan teratur. Di samping itu, beliau sentiasa menggalakkan kakitangan MOI menggunakan kreativiti mereka untuk menjayakan rancangan Jabatan.

******************************************************************************
Wira berpendapat usaha berani Menteri ini akan mampu mendekatkan kerajaan dengan rakyat terutama memahami semua dasar dan tindakan agar mereka tidak terkeliru dan dilencongkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Seperti yang selalu disebut oleh Menteri Penerangan bahawa golongan yang sentiasa mengambil "kesempatan daripada kesempitan" inilah yang menyebabkan rakyat naik angin walaupun mereka mengetahui bukan kerajaan yang menaikkan harga minyak tetapi tindakan itu perlu kerana perkembangan terbaru dalam harga minyak dunia.

Sehubungan itu, Wira yakin kakitangan MOI kini perlu mempersiapkan diri mereka untuk menyahut cabaran Menteri untuk menjadi ejen perubahan yang cergas pada masa akan datang. Tanpa komitmen dan disiplin diri, kakitangan MOI akan sentiasa terkebelakang dan tugas penting sebagai agensi penerangan kerajaan akan terbantut.

No comments: