Monday, June 23, 2008

ISA SAMAD SUDAH BEBAS

KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad mengesahkan bahawa penggantungan keahliannya sebagai anggota Umno bagi kesalahan politik wang yang berkuatkuasa 24 Jun 2005, sudah berakhir.

Isa yang memenangi jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti 2004, sebelum didapati bersalah atas tuduhan itu, berkata beliau menerima surat daripada ibu pejabat Umno, Jumaat lalu yang memaklumkan penggantungan keahliannya berakhir hari ini.

“Saya bersyukur dan hanya tersenyum ketika menerima surat itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ditanya langkah seterusnya sama ada akan bergiat semula dalam politik termasuk bertanding pada pemilihan parti Disember ini, Mohamed Isa, yang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dari 1982 hingga 2004, berkata beliau belum membuat sebarang keputusan dan masih memikirkannya.

Lembaga Disiplin Umno menggantung keanggotaan Mohamed Isa, 58, selama dua penggal atau enam tahun selepas mendapati beliau bersalah terhadap lima daripada sembilan pertuduhan politik wang semasa pemilihan parti pada 2004. - Bernama

No comments: