Showing posts with label UTUSAN. Show all posts
Showing posts with label UTUSAN. Show all posts

Wednesday, May 27, 2009

Konsep 1Malaysia hapus polarisasi kaum

SELARAS dengan konsep 1Malaysia yang mempromosikan perpaduan dan semangat kekitaan di kalangan rakyat Malaysia melalui prinsip hormat menghormati dan kepercayaan di antara satu sama lain, pelajar dan belia daripada pelbagai kaum perlu menghapuskan polarisasi kaum.

Sebaliknya mereka harus berusaha untuk mengenali antara satu sama lain dan menjalinkan persahabatan dengan mereka yang berlainan kumpulan etnik.

Kesedaran dan usaha berterusan harus dilakukan kerajaan termasuk pembaharuan sistem pendidikan, bagi membantu generasi pemimpin negara yang akan datang untuk mencapai objektif penting iaitu membina perpaduan dalam kepelbagaian.

Belia dan remaja sepatutnya tidak menganggap bahawa seseorang yang sedang duduk di sebelah mereka adalah berlainan bangsa dan agama. Sebaliknya, mereka harus menyedari bahawa yang duduk di sebelah mereka adalah seorang rakan.

Warga belia daripada pelbagai bangsa harus berusaha memperkukuhkan lagi integrasi kaum yang menjadi tunggak perpaduan negara. Dalam semua jenis acara, sama ada dalam sukan mahupun aktiviti kokurikulum, usaha yang praktikal harus diambil bagi menyatupadukan belia negara supaya mereka dapat berinteraksi di antara satu sama lain.

Sekolah adalah tempat terbaik untuk mempromosikan integrasi kaum. Guru dan ibu bapa harus memainkan peranan masing-masing dalam membantu proses itu. Ibu bapa harus menggalakkan anak mereka untuk bergaul dengan mereka yang berlainan kaum bagi mewujudkan lebih persefahaman di antara agama, budaya dan cara hidup.

Usaha berterusan juga harus di ambil bagi menghapuskan polarisasi kaum, terutama di kalangan pelajar yang berlainan kaum.

Pelajar pada hari ini adalah pemimpin pada masa akan datang. Di bahu mereka terletaknya tanggungjawab dalam membina negara yang bersatu-padu dengan satu matlamat yang dikongsi bersama.

Usaha untuk menyemai nilai-nilai murni dan objektif mulia berkaitan dengan perpaduan ini harus dimulakan di peringkat sekolah rendah lagi supaya kita dapat menghasilkan generasi akan datang yang sedar mengenai tanggungjawab mereka terhadap pembinaan negara.

Kita harus mengambil semua langkah berpatutan bagi memastikan sistem pendidikan pada peringkat pra universiti tidak menyumbang ke arah polarisasi yang tidak sihat di kampus universiti kita.

Sekolah, kolej dan institusi pendidikan swasta perlu mengambil usaha bagi mencegah polarisasi kaum pada peringkat institusi masing-masing.

Kita perlu kembali ke pengetahuan asas iaitu mematuhi Rukun Negara dan lima prinsipnya – Kepercayaan Kepada Tuhan, kKesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan – yang menjadi cahaya pedoman untuk membina Malaysia yang bersatu-padu.

Perpaduan dan keharmonian kaum harus menjadi sebahagian daripada budaya kita serta dapat mewujudkan lebih banyak peluang kepada orang ramai dari pelbagai kaum untuk berjumpa dan menjalinkan persahabatan yang lebih akrab demi masa depan negara.

TAN SRI LEE LAM THYE,
Kuala Lumpur.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA, 27 MEI 2009

Thursday, May 7, 2009

NIZAR REKA CERITA DONGENG

Oleh AMIRUDDIN HARUN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 Mei - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin disifatkan hanya mereka cipta cerita dongeng dalam usahanya mengekalkan jawatan meskipun beliau telah hilang kepercayaan daripada majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (DUN), Februari lalu.

Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, ia bagaimanapun hanyalah versi cerita Mohammad Nizar yang dilihat hanya mempunyai ingatan terpilih bagi rentetan kejadian itu.

Justeru, katanya, mahkamah seharusnya meneliti kepada dokumen-dokumen termasuk keterangan serta afidavit-afidavit yang telah difailkan oleh semua pihak terlibat dalam semakan kehakiman itu sebelum membuat keputusan berhubung kes tersebut.

Jelas beliau, fakta dalam kes itu jelas menunjukkan bahawa tiga ADUN iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi, ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong telah menarik balik surat peletakan jawatannya walaupun Mohammad Nizar mendakwa tidak mengetahuinya semasa menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Malahan, katanya, ketiga-tiga ADUN itu telah memaklumkan sendiri keputusan mereka kepada Sultan Perak dan ini sekali gus membuktikan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan 31 ADUN.

''Semua fakta tersebut terkandung dalam dokumen yang ada di hadapan Yang Arif,'' katanya ketika berhujah dalam semakan kehakiman dikemukakan oleh Mohammad Nizar, 52, pada 13 Februari lalu untuk mencabar kesahihan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak.

Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar mendakwa beliau masih Menteri Besar yang sah berdasarkan kepada perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati Sultan untuk membubarkan sidang DUN.

Selain itu, Mohammad Nizar mendakwa, beliau tidak pernah meletak jawatan mahupun terdapat sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya supaya melepaskan jawatan.

Mohammad Nizar sebelum ini turut memberi keterangan selama dua hari mulai Isnin lalu bagi prosiding permohonan beliau untuk membuat pemeriksaan balas terhadap Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid yang didakwa tidak konsisten dalam afidavitnya.

Dalam hujahannya, Cecil juga menyatakan bahawa berdasarkan kepada Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP), Sultan Perak mempunyai hak untuk menolak permintaan Mohammad Nizar bagi membubarkan DUN.

Menurutnya, setelah Sultan Perak melaksanakan prerogatif Baginda untuk tidak membubarkan Dewan mengikut perlembagaan negeri itu, Mohammad Nizar seharusnya meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar pada waktu itu.

Justeru, katanya, tidak timbul isu bahawa Mohammad Nizar selaku pemohon dalam semakan kehakiman itu menggunakan budi bicaranya sendiri atau cuba kekal sebagai Menteri Besar kerana jawatan itu telah pun dikosongkan.

Ekoran kekosongan jawatan itu, hujah Cecil, Sultan Perak mengikut Perkara 16(2) UTKP yang mempunyai budi bicara untuk mengisi kekosongan tersebut berdasarkan pengadilannya terhadap pihak yang telah mendapat kepercayaan majoriti anggota DUN.

Beliau juga menegaskan bahawa pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar pada 6 Februari lalu dibuat mengikut Perkara 12 dan Perkara 16(2) UTKP.

''Pelantikan responden (Zambry) sebagai Menteri Besar adalah sah dan mengikut undang-undang. Apatah lagi, responden telah pun mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak dan menerima surat yang mengesahkan pelantikannya,'' katanya.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim bersambung esok.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA, 7 MEI 2009

Tuesday, May 5, 2009

Membina negara-bangsa menerusi penerangan

Oleh Jami’ah Shukri
jamia@bharian.com.my

BERSEMUKA : MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN, DATUK SERI DR. RAIS YATIM

SELEPAS Datuk Seri diumumkan menerajui gabungan tiga kementerian iaitu Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, apakah yang bersarang di kotak fikiran untuk memastikan kecemerlangannya?

Pada awalnya saya hanya menganggap dua kementerian saja digabungkan, iaitu Penerangan dan Komunikasi. Tetapi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menambah dengan memasukkan portfolio Kebudayaan, ia memperlihatkan kepercayaan beliau kepada saya untuk menerajui gabungan tiga kementerian dalam satu bumbung. Ini saya percaya dapat memudahkan perancangan membina negara-bangsa. Membina negara-bangsa bukan sesuatu yang mudah. Justeru, saya berazam untuk dapat menggarap apa yang diperlukan di bawah ketiga-tiga kementerian. Serentak itu, saya juga mahu supaya 1Malaysia, menjadi objektif utama dalam rangka perancangan bagi memastikan pelbagai kaum bersatu menerusi Piagam Malaysia dan kebajikan yang disajikan mampu mendidik serta memberi maklumat tepat ke arah kesatuan di negara ini. Saya juga akan gabungkan kebudayaan dan menggunakan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 supaya semua stesen radio dan televisyen patuh dalam urusan membina negara-bangsa.

Bagaimana misi Datuk Seri untuk merealisasikan pembinaan negara-bangsa?
Untuk membina negara-bangsa, kita perlu lihat apa yang ada di kementerian ini. Senjata yang paling berkesan ialah menerusi penerangan. Saya dapati sebahagian daripada asasnya sudah mencukupi, cuma sebahagian metadologinya saja perlu diwujudkan. Kita perlu memastikan penduduk berusia lingkungan 20-an dan 40-an terangkum dalam perancangan berkenaan. Setakat ini, tidak ada segmen dalam perjuangan itu di situ. Oleh itu, kita perlu mewujudkan program dan jangkauan untuk sampai kepada populasi dan kumpulan generasi terbabit.

Pengisian program televisyen swasta dilihat lebih bersifat komersial dan berasaskan keuntungan berbanding menyediakan program membina negara-bangsa. Bagaimana peranan kementerian untuk menangani isu ini?

Apa yang dilihat sekarang seolah-olah hanya Kementerian Penerangan dan RTM diwajibkan membina negara-bangsa. Sebenarnya semua pihak perlu lakukan perkara sama, tetapi dilihat stesen radio dan televisyen swasta lebih mementingkan keuntungan komersial dan kandungan membina bangsa terlalu terhad. Oleh itu, saya mahu menyatakan dengan konsep 1Malaysia, pendirian mereka harus berubah. Dalam hal ini, jika stesen swasta tidak melakukan perubahan, saya akan menggunakan kuasa undang-undang yang ada dalam Akta Komunikasi dan Multimedia dan fungsi tertentu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Setakat ini, kuasa itu tidak digunakan lagi. Sekarang sudah sampai masanya saya bertemu dengan semua pemilik stesen terbabit dan berterus-terang meminta mereka menyediakan program membina negara-bangsa serta memuatkan mesej 1Malaysia ke arah kebaikan kita bersama. Peraturan sekarang, setiap jam disiarkan tiga minit perlu diperuntukkan untuk faedah dan kebaikan masyarakat. Saya nampak peraturan itu belum lagi dipenuhi. Oleh itu, misi pertama saya supaya mereka juga memainkan peranan utama bersama membina negara-bangsa.

Jika stesen televisyen swasta gagal mematuhi misi membina negara-bangsa, apakah tindakan akan dikenakan?

Sekiranya stesen televisyen tidak mematuhi peraturan itu, kita akan laksanakan undang-undang sedia ada. Kita akan mengenakan syarat, iaitu dalam tempoh dua minggu, mereka perlu bertindak dan menunjukkan mereka memberi penekanan terhadap negara-bangsa. Saya akan adakan pertemuan dengan semua stesen televisyen tidak lama lagi. Ketika ini, kita sedang menyusun jadual dan kemudian menentukan stesen mana yang perlu memainkan peranan utama terhadap rancangan membina negara-bangsa dan selebihnya turut dilakukan stesen penyiaran lain. Berdasarkan pemerhatian, TV3 ada sediakan program ke arah itu, tetapi Astro hanya sebahagian kecil saja. Kita juga perlu lihat semula program sama di TV8 dan TV9.

Astro dilihat sebuah stesen penyiaran yang kerap memaparkan adegan yang keterlaluan seakan tiada tapisan. Adakah akta sedia ada tidak diguna untuk menyekat tindakannya itu?

Akta lama ialah Akta Komunikasi. Akta itu digunakan ketika diberikan lesen kepadanya, tetapi sekarang akta itu sudah dimansuhkan dan beralih kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kini kita sedang menyusun perundangannya supaya Astro juga tertakluk kepada undang-undang baru Komunikasi dan Multimedia. Sebelum ini mereka dilihat bertindak sesuka hati. Tapisan dalaman itu dilihat tidak begitu berkesan sehingga banyak juga adegan mencolok mata dan aksi kurang bermoral terlepas. Oleh itu, kita mahu nilai masyarakat sentiasa terjaga dan dipertahankan.

Ketika ini program RTM lebih bersifat terbuka berbanding dulu, seperti rancangan Blogs?

Kita galakkan masyarakat memberi pendapat dan tidak menghalang mereka memberi pandangan kritis, cuma perlu berasaskan kepada kebenaran. Jika ia tiada fakta, mereka berdepan dengan undang-undang berkaitannya. Mengadu-domba masyarakat menerusi ungkapan atau persembahan dianggap salah. Malangnya penguatkuasaan undang-undang itu tidak begitu berkesan kerana tidak ditekankan ke arah itu. Saya mahu industri penyiaran dan penguat kuasa melaksanakan kaedah betul. RTM tetap menjadi penyalur maklumat kerajaan dan landasan itu perlu kekal.

Evolusi teknologi maklumat seperti internet bergerak pantas dan seakan tidak dapat dikawal sehingga menjadi saluran alternatif berbanding stesen penyiaran?
Kita tidak dapat mengelak evolusi teknologi bergerak begitu pantas. Secara purata, hampir 5,000 blogger aktif di negara ini. Kita tidak dapat menahan mereka daripada melahirkan pandangan. Cuma masyarakat wajar melihat kenyataan sebenar dan tidak hanya bersandarkan kepada kenyataan dan pandangan bloggers di laman web. Daripada blog bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hingga kepada pihak lain, mereka adalah blogger. Kita tidak akan membuat apa-apa sebab kita tidak boleh dan mampu menapis atau menghalang mereka. Cuma pandangan mereka perlulah membina dan bukan berunsur fitnah, memutar belit fakta. Jika ada pihak tersinggung, kita ada undang-undang berkaitannya. Jumaat lalu, saya menemui 40 bloggers dalam majlis suai kenal dan saya akan terus berjumpa supaya mereka memainkan peranan ke arah kebaikan, selain memberi kritikan dan pandangan mengenai sesuatu isu. Kita juga sedang memantau bloggers yang merosakkan fakta kenegaraan.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA, 5 MEI 2009

Monday, May 4, 2009

CABARAN UNTUK AHMAD MASLAN

Oleh Zulkiflee Bakar

SEMEMANGNYA, tiada sesiapapun dapat menafikan bahawa dalam usaha UMNO mengukuhkan kembali kedudukannya, sokongan daripada generasi muda amat diperlukan.

Tetapi malangnya buat masa ini, generasi berkenaan dikatakan masih belum mahu menerima UMNO. Mereka lebih tertarik dengan hujah-hujah dan dakyah yang disebarkan oleh pembangkang. Justeru mahu tidak mahu UMNO perlu menjadikan kelompok berkenaan sebagai sasaran selain berusaha memperkukuhkan kekuatan di peringkat akar umbi parti itu. Dalam soal ini, tumpuan sudah tentulah diberikan kepada Ketua Penerangan UMNO yang baru, Ahmad Maslan.

Beliau yang dilihat mewakili generasi muda dikatakan mempunyai tanggungjawab yang berat untuk mengatur strategi penerangan bagi memastikan sokongan kepada UMNO kembali meningkat. Dalam soal ini, kita sudah tentulah mengalu-alukan kenyataan Ahmad bahawa beliau akan mengamalkan pendekatan turun ke padang bagi bersemuka dan berdialog dengan semua kelompok masyarakat.

Pendekatan ini jika benar-benar dilaksanakan sudah pasti ia akan mampu mencapai misi Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang ingin memastikan UMNO perlu mewakili segenap lapisan masyarakat kerana hanya dengan cara itu parti berkenaan dapat dipulihkan dan menjadi kuat.

‘‘Saya harap UMNO tidak menjadi parti eksklusif untuk golongan elitis apabila hanya orang tertentu boleh menjadi tunjang kepada parti ini dan kita juga jangan menolak golongan intelek yang boleh menyumbang idea-idea baru.’’

Demikian yang ditegaskan oleh Najib tetapi persoalannya mampukah ahli-ahli UMNO terutamanya mereka yang bergelar pemimpin di semua peringkat memahami mesej ini?

Sebenarnya, orang Melayu tidak pernah menolak UMNO, mereka tetap percaya bahawa parti itu adalah tunjang kekuatan orang Melayu tetapi malangnya hasrat mereka terbantut apabila sering kali dihalang untuk bersama-sama parti itu akibat kerenah sesetengah pihak di peringkat cawangan atau bahagian.

Oleh itu, kalau UMNO mahu memastikan semua lapisan masyarakat menyertai parti tersebut atau sekurang-

kurangnya menyokong parti berkenaan, kelemahan di peringkat cawangan dan bahagian harus diperbetulkan. Ini termasuklah di sesetengah cawangan masih berlaku usaha menghalang sesetengah individu menyertai UMNO kerana bimbang kedudukan ketua cawangan atau ketua bahagian tergugat.

Kajian yang terperinci perlu dilakukan mengenai kedudukan ahli-ahli sama ada mereka ini benar-benar aktif atau sekadar membayar yuran sahaja, itupun difahamkan sesetengah yuran dijelaskan oleh ketua cawangan atau ketua bahagian.

Keadaan ini jika dibiarkan berlanjutan akan menyebabkan UMNO hanya gah dari segi kuantiti tetapi dari segi kualiti dalam memperkukuhkan parti ia ibarat tin kosong sahaja. Oleh itu, Ahmad harus melihat masalah ini dan turun ke padang memberi penerangan sejelas-jelasnya kepada pihak-pihak yang masih mahu berpolitik biarpun UMNO dalam keadaan lemah. Politiking berlebihan di peringkat cawangan dan bahagian harus dihentikan kerana tumpuan perlu diberikan bagi menarik sebanyak mungkin sokongan masyarakat kepada UMNO.

Walaupun sekarang UMNO sudah melaksanakan pendaftaran ahli secara talian tetapi ia tidak akan membawa apa-apa erti, kalau ahli yang terlibat tidak memberi sokongan kerana menyampah dengan telatah sesetengah pemimpin di peringkat cawangan atau bahagian.

Ahmad mempunyai tanggungjawab besar bagi mengikis persepsi ini, kalau ia persepsi dan perlu menghapuskan budaya ini, kalau ia benar-benar berlaku. UMNO sudah tidak ada masa lagi untuk terlalu banyak berpolitik.

Sekarang adalah masa untuk Ahmad menggerakkan seluruh jentera penerangan UMNO bagi meraih sebanyak mungkin sokongan terutamanya di kalangan generasi muda bagi menyokong parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bagi meraih sokongan berkenaan, beliau bukan sahaja perlu turun bersemuka dan berdialog malah menggunakan kecanggihan teknologi maklumat semaksimum mungkin. Sama ada hendak diakui atau tidak, UMNO masih lemah dalam soal ‘peperangan’ melalui dunia siber ini.

Ia terbukti apabila blog-blog yang cenderung ke arah pembangkang lebih mendapat perhatian berbanding blog-blog yang dikuasai atau menyokong kerajaan. Semua ini berlaku kerana kelemahan UMNO mengambil kesempatan mewujudkan atau memperkukuhkan ‘tentera sibernya’. Laman web UMNO pula tidak memberikan apa-apa impak dan boleh dianggap sekadar laman web untuk carta organisasi atau memaparkan aktiviti biasa sahaja.

Sumber :Mingguan Malaysia, 3 Mei 2009

KAEDAH KREATIF TARIK SOKONGAN- AHMAD MASLAN

MUKADIMAH

Dari Benut, Pontian ke Putrajaya, mungkin itulah gambaran yang boleh diberikan dalam menilai kejayaan Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan yang bukan sahaja dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, malah turut diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan Ketua Penerangan UMNO.

Beliau yang menyambut ulang tahun kelahiran Ke-43 pada Khamis lalu, amat memahami tanggungjawab berat yang dipikulnya dan pelantikan beliau dilihat sebagai salah satu usaha bagi menarik generasi muda menyokong UMNO.

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, HATTA WAHARI di Putrajaya, anak kepada penoreh getah ini memaparkan visi dan misinya dalam memastikan segala amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Untuk mencapai misi itu, Ahmad menggariskan apa yang dipanggil GST iaitu dari gelap kepada samar dari samar menjadi terang. Selain itu beliau juga memberi pandangan mengenai pelantikannya yang ditegaskan oleh beliau, sama sekali bukan melalui lobi melobi.

Apa pun bagi Ahmad sehebat mana pun cabarannya, apa yang penting selagi sesuatu itu dilakukan demi kebaikan agama, bangsa dan tanah air maka beliau akan melaksanakannya.

MINGGUAN: Apa perasaan YB dilantik menjadi Timbalan Menteri dan juga Ketua Penerangan UMNO?

AHMAD: Walaupun saya pernah bertugas secara rasmi di bawah Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai Pengarah Seranta Felda di Jabatan Perdana Menteri pada Mac 2005 hingga Mac 2008 tetapi dalam susunan Kabinet baru ini saya tidak pernah berkata walaupun sepatah untuk melobi mendapatkan jawatan, begitu juga bagi jawatan dalam UMNO. Dan saya kira apa yang diberikan itu adalah satu amanah yang cukup saya syukuri dan menerima dengan tawaduk atas ingatan bahawa tugas saya adalah besar untuk agama, bangsa dan tanah air.

Saya menganggap diri saya adalah anak Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dapat belajar di sekolah berasrama penuh, belajar di luar negara dengan biasiswa kerajaan dan juga dapat bertugas di pelbagai tempat berikutan dasar-dasar dilaksanakan oleh kerajaan.

Dalam pelantikan sebagai Ketua Penerangan, saya bersyukur kerana ini adalah arahan pucuk pimpinan parti dan saya merasakan pelantikan itu merupakan satu jambatan bagi generasi baru dalam UMNO. Saya baru berusia 43 tahun dan tentunya dalam usia ini saya boleh bertemu dengan generasi yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an di mana UMNO kehilangan sokongan tetapi pada masa yang sama saya boleh berjumpa dengan orang lama untuk mendapatkan pandangan serta khidmat mereka.

Saya melihat Presiden UMNO percaya saya boleh membantu beliau menerangkan aspirasinya yang cukup saya fahami. Kita akan berusaha memberikan penjelasan dan penerangan melalui istilah GST dari gelap kepada samar, dari samar kepada terang. Kita akan menggunakan media bersemuka, media elektrik, media cetak dan media maya untuk mendekati kumpulan sasar seluruh rakyat Malaysia kerana UMNO ini bukan hanya perjuangan untuk orang Melayu tetapi juga rakyat Malaysia.

YB dilantik ke jawatan Ketua Penerangan ketika UMNO berada dalam keadaan politik yang dianggap sukar dan mencabar, apakah YB hendak lakukan?

AHMAD: UMNO sudah mempunyai jentera penerangan di setiap negeri, bahagian dan cawangan malahan setiap sayap UMNO mempunyai jentera penerangan, apa yang perlu dilakukan hanya mengaktifkannya sahaja.

Ertinya, semua jentera sudah berada di setiap sudut, cuma mencari formula terbaik untuk digerakkan dan dipilih orang-orang yang sesuai termasuk dari kalangan wakil pertubuhan bukan kerajaan, akademik, swasta dan generasi baru bagi membolehkan mereka menarik sokongan daripada setiap kumpulan masyarakat.

Kita perlu pastikan UMNO tidak terus terpisah dari setiap kumpulan masyarakat kerana UMNO berjuang untuk agama, bangsa dan negara serta parti ini jugalah tonggak Barisan Nasional (BN) dan kerajaan yang telah banyak berjasa. Jasa UMNO cukup besar dan ia perlu disedari oleh semua peringkat generasi terutama generasi baru yang terpisah dengan perjuangan parti ini yang akhirnya tertarik dengan media maya dan pembangkang.

Berbanding sebelum ini, YB tidak begitu dikenali sejauh manakah YB yakin terhadap penerimaan ahli-ahli UMNO terutamanya ketua bahagian?

AHMAD: Majoriti ketua UMNO bahagian mengenali saya, cuma saya kurang dikenali oleh ramai lagi ahli parti tetapi saya berharap dapat diterima melalui pelbagai usaha yang bakal dilaksanakan dan salah satunya ialah turun padang, sesuatu yang saya suka lakukan sejak menjadi Setiausaha Sulit Kanan kepada Datuk Mustapa Mohamed dan Pengarah Seranta Felda. Saya akan melawat seberapa banyak bahagian UMNO dan kalau mereka tidak menjemput, saya sendiri akan mengaturkan program dan berharap secepat mungkin akan dapat melawat 191 bahagian UMNO di seluruh negara.

Sumber : Utusan Malaysia, 3 May 2009

Bank idea rakyat....syor TS Mahyuddin di Pagoh

KUALA LUMPUR 3 Mei - Satu mekanisme yang mantap, teratur dan fleksibel perlu diperkenalkan oleh kerajaan jika mahu memastikan konsep 'bank idea rakyat' dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, mekanisme tersebut boleh diwujudkan menerusi satu kumpulan atau jawatankuasa yang dapat melaksanakan tugas untuk memastikan idea yang disalurkan dan diterima dapat diterjemahkan dengan tepat.

Menurutnya, kumpulan yang diwujudkan juga perlu cekap menggunakan segala intipati yang disampaikan supaya ia tidak hanya memberi faedah kepada segelintir pihak sahaja.

''Pasukan yang dipilih tidak boleh hanya menunggu idea diberikan kepada mereka, tetapi perlu proaktif untuk mencari dan mendapatkan idea yang bernas serta boleh diguna pakai.

''Mereka perlu sentiasa bergerak untuk mengutip, mengumpul idea daripada pelbagai pihak dan memastikan idea yang bernas untuk dikemukakan kepada kerajaan untuk dilihat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, konsep 'bank idea rakyat' perlu diperkenalkan bagi mengumpulkan cadangan dan pandangan rakyat untuk memastikan setiap pembangunan dilaksanakan secara berkesan dan memenuhi cita rasa akar umbi.

Muhyiddin berkata, ia sejajar dengan gagasan 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan' oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang diterapkan di seluruh negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Datuk Subahan Kamal pula berpendapat, kerajaan perlu membentuk sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai oleh individu yang tidak mempunyai kepentingan politik mahu pun peribadi bagi memastikan konsep 'bank idea rakyat' dapat dilaksanakan dengan baik.

''Kalau boleh individu yang menyertai jawatankuasa berkenaan biarlah terdiri di kalangan wajah baru dan generasi muda yang mampu berperanan membantu kerajaan menapis idea-idea rakyat ini,'' ujarnya.

Beliau berkata, konsep tersebut juga memberi peluang kepada kerajaan untuk menunaikan kemahuan rakyat selama ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian pula berkata, konsep 'bank idea rakyat' yang dinyatakan oleh Muhyiddin perlu berorientasikan kepada keperluan rakyat.

Menurutnya, ia merupakan satu konsep yang baik, tetapi ia perlu dilaksanakan dengan berkesan supaya idea yang disampaikan dapat dinilai serta digunakan untuk kepentingan negara dan juga rakyat.

''Apa yang penting di sini ialah pelaksanaannya perlulah memenuhi keperluan majoriti dan bukannya golongan minoriti yang kebanyakan melontarkan idea untuk kepentingan diri sendiri," jelasnya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain pula berkata, kerajaan perlu agresif dan kalau boleh dapatkan kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendekati akar umbi sekiranya ingin melaksanakan cadangan itu.

''Bagi saya untuk mengumpulkan idea tidak susah, cuma yang kita kena fikirkan ialah kesesuaian idea itu selain kerajaan perlu ada pasukan untuk mengumpulkan idea berkenaan,'' katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman pula memiliki pandangan berbeza kerana baginya sudah banyak idea yang disampaikan oleh rakyat, tetapi kurang diberi perhatian.

''Saya bukan tidak bersetuju dengan konsep 'bank idea rakyat' ini, tetapi kerajaan perlu mengkaji terlebih dahulu pelaksanaannya supaya idea yang disuarakan rakyat dapat dilihat dan dinilai terlebih dahulu bukannya dicampakkan begitu sahaja," ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia, 4 Mei 2009

Monday, April 27, 2009

HARAPAN TINGGI TERHADAP RAIS

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

KEMBALINYA Datuk Seri Dr. Rais Yatim ke Kementerian Penerangan dan penyusunan semula tiga kementerian di bawah Rais memperlihatkan anjakan dalam barisan Kabinet baru.

Kementerian Penerangan; Kementerian Kebudayaan, Perpaduan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi kini dikenali sebagai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Pembentukan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada akhir 90-an dianggap sebagai pencetus dasar "langit terbuka Malaysia". Ia menjadikan Akta Penyiaran (Pindaan 1997) sudah tidak relevan. Akta itu terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Penerangan untuk mengawal selia stesen penyiaran kerajaan dan juga swasta.

Disebabkan Akta Penyiaran tidak relevan dengan dasar langit terbuka, maka pada 1999 diwujudkan Akta Komunikasi dan Multimedia dan penubuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Ini membuatkan kawal selia di bidang penyiaran berpindah dari Kementerian Penerangan kepada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

Cabaran utama penyiaran negara ini adalah untuk memastikan isi kandungan berpaksikan kepada tatasusila budaya setempat.

Tetapi dasar langit terbuka pula difahami sebagai suatu yang menuntut keterbukaan seluas-luasnya tanpa sempadan. Maka banyak larangan dalam Akta Penyiaran sudah tiada dalam Akta Komunikasi dan Multimedia.

Kelonggaran dan SKMM mengakibatkan ada stesen penyiaran yang sudah terpesong jauh dan menjadi pemangkin kepada penularan budaya songsang dari luar. Semua ini tidak menjadi suatu yang sensitif dalam Akta Komunikasi dan Multimedia. Apa lagi ia terpisah dengan kementerian yang bertanggungjawab dalam hal-hal kebudayaan dan kesusilaan.

Kerana itu apabila kerajaan menyusun semula Kementerian Penerangan yang di dalamnya ada kebudayaan dan juga hal ehwal komunikasi, ia diharap memperlihatkan keterbukaan yang ada batasan. Banyak perkara yang ada dalam Akta Penyiaran dulu perlu diberi perhatian oleh kementerian baru ini. Antaranya isi kandungan di stesen penyiaran tempatan.

Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, pemilihan Rais menerajui kementerian itu tepat kerana beliau memahami soal budaya dan prihatin mengenainya.

"Saya berharap kementerian ini akan memberi penekanan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan dalam bidang penyiaran dan komunikasi," tegas beliau.

Menurutnya, kementerian baru itu harus memberi penekanan untuk memahamkan rakyat mengenai Perlembagaan Malaysia terutama Akta 152 yang menyentuh tentang kedudukan bahasa Melayu.

Selama ini bahasa Melayu terpinggir dan diletakkan pada kedudukan yang tidak sewajarnya. Menggunakan bahasa Melayu bukanlah bererti sudah memartabatkan bahasa Melayu kalau tidak dengan susun kata dan nahu yang betul.

Apabila bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, ini bukan bahasa orang Melayu tetapi bahasa rasmi rakyat Malaysia. Tidak ada pihak lain yang lebih berpengaruh daripada media elektronik.

Kalau media elektronik dimanfaatkan untuk memacu jurus pemikiran rakyat ke arah pembangunan minda, hasilnya lebih ketara.

Menggabungkan bidang penyiaran, komunikasi dan kebudayaan di bawah satu kementerian adalah langkah pragmatik untuk mengatasi kerenah birokrasi. Ini kerana ketiga-tiga bidang ini berhubung kait antara satu dengan lain. Malah penyusunan semula ini juga akan mengangkat kedudukan Kementerian Penerangan yang telah diambil bidang kuasanya selepas kewujudan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sebelum ini ada pihak mempersoalkan Kementerian Penerangan apabila ada stesen televisyen swasta yang sewenang-wenang melanggar adab dan etika budaya dalam isi kandungannya. Tetapi hakikatnya itu di luar bidang kuasa kementerian itu.

Kandungan di stesen televisyen sekarang begitu kacau-bilau dan pengaruh budaya luar sangat ketara. Sama ada radio atau televisyen, kedua-duanya semakin hilang adab. Tetapi semua ini dianggap sebagai "pembaharuan" yang mesti diterima di bawah dasar langit terbuka.

Walaupun kita menjengah langit terbuka tetapi stesen-stesen penyiaran tempatan perlu memahami tanggungjawab sosial selain tuntutan perniagaan. Persaingan dalam bidang penyiaran dengan kewujudan lebih banyak stesen penyiaran belum memberikan yang terbaik kepada masyarakat. Malah jauh lebih buruk daripada segi nilai berbanding isi kandungan RTM ketika belum wujud stesen swasta.

Jangan terkejut atau pura-pura terkejut kalau dikatakan ada stesen penyiaran negara ini menjadi pemangkin yang merosakkan bahasa Melayu. Malah membawa gaya hidup hedonisme dalam isi kandungan penyiaran.

Semua ini berlaku dengan bebas tanpa sebarang sekatan selepas Kementerian Penerangan tidak mempunyai kuasa ke atas stesen penyiaran swasta.

Ada stesen penyiaran yang dengan sengaja memaparkan campur aduk bahasa Melayu dengan Inggeris dan menjadi satu prasyarat untuk membolehkan sesebuah program diterima oleh stesen berkenaan.

Malah Rais diharap akan memulihkan kembali kedua-dua saluran televisyen RTM supaya berada pada landasan yang sewajarnya. RTM perlu menjadi agen pembudayaan dan bukan agen propaganda murahan.

Dengan tercetusnya fenomena baru bidang komunikasi iaitu kewujudan jutaan blog yang digerakkan oleh blogger, Rais diharap dapat memanfaatkan ruang undang-undang yang ada untuk mendisiplinkan sesetengah blogger.

Tindakan undang-undang diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia ke atas individu yang menyebarkan berita palsu dan juga fitnah.

Biarlah kalau ada pihak yang menganggap penguatkuasaan undang-undang komunikasi sebagai mengekang kebebasan media. Kalau mereka sedar, kewujudan Internet di negara ini adalah satu tanda kebebasan media.

Dengan kecanggihan teknologi komunikasi, penyebar fitnah atau berita palsu boleh dikesan dalam sekelip mata.

Tetapi malangnya sebelum ini peruntukkan undang-undang yang ada dijadikan perhiasan. Undang-undang komunikasi tidak digunakan semaksimum mungkin untuk memberi keadilan kepada mangsa yang difitnah.

Undang-undang adalah perlu untuk mendidik rakyat bertanggungjawab di atas sesuatu yang dilakukan. Rakyat wajar membezakan antara pandangan yang kritikal dengan fitnah. Dan kita memerlukan pandangan kritikal bukan fitnah.

Maka harapan yang tinggi diletakkan ke bahu Rais yang sebelum ini memimpin Kementerian Kebudayaan, Perpaduan, Kesenian dan Warisan dengan jayanya.

Pemilihan tokoh yang memahami dan prihatin kepada soal budaya dan adab susila seperti Rais di Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan dijangka mengubah kesongsangan yang ada.

PENULIS ialah Penolong Pengarang
Mingguan Malaysia

Sumber : Utusan Malaysia, 27 April 2009

Tuesday, September 16, 2008

KECELARUAN 16 SEPTEMBER

Oleh Azman Anuar
(WARTAWAN UTUSAN)

Tanggal 16 September adalah ulang tahun penubuhan Malaysia. Tarikh keramat yang memerdekakan Sabah, Sarawak dan Singapura apabila menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Hari ini, tarikh 16 September 2008 menjadi perhatian seluruh negara dan masyarakat antarabangsa. Apakah sejarah baru akan dicipta, dengan pemerintahan kerajaan Persekutuan bertukar tangan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat?

Dalam politik ia bukan mustahil berlaku dan tidak boleh ditolak ke tepi begitu sahaja.

Cerita pembentukan kerajaan baru yang digembar-gemburkan dan sepatutnya berlaku pada hari ini adalah satu perkara yang ditunggu-tunggu, tetapi kecelaruan rakyat dan ketidaktentuan satu hal yang lain.

Tidak pernah dalam sejarah 51 tahun negara merdeka, fikiran orang Melayu yang sepatutnya menumpukan kepada ibadah puasa Ramadan ini didera kerana pergolakan politik dan cita-cita merebut kuasa.

Inilah yang terjadi apabila Anwar Ibrahim yang tidak berkesempatan menyertai pilihan raya umum ke-12 pada Mac lalu menggunakan pilihan raya kecil Permatang Pauh untuk memulakan langkah ke Putrajaya.

Anwar menyatakan bahawa kerajaan BN akan tumbang pada 16 September ini. Mereka mendakwa seramai 30 orang ahli parlimen (MP); 13 daripada Sabah dan 17 daripada UMNO Semenanjung akan menyertai mereka menubuhkan sebuah Kerajaan Persekutuan baru menggantikan BN.

Ketika ini Parlimen Malaysia mempunyai 222 buah kerusi. Kerajaan BN mempunyai 140 kerusi manakala PR 82. BN menubuhkan kerajaan persekutuan dengan majoriti mudah iaitu majoriti 58 kerusi; kurang 8 untuk membentuk majoriti 2/3.

Apakah mungkin 'Kejutan 16 September' terjadi pada hari ini? Ikuti laporan seterusnya di sini .

JANGAN GUGAT ISLAM

MUTAKHIR ini terdapat cubaan sama ada secara disengajakan atau tidak untuk ‘menggugat’ keistimewaan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia sebagaimana termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Ia dilakukan melalui pelbagai cara. Antaranya penganjuran forum kontroversi ‘Memeluk Islam’ oleh Majlis Peguam, Ogos lalu, penyebaran artikel menghina dan merendah-rendahkan Islam menerusi blog dan juga campur tangan dalam upacara keagamaan Islam.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz di pejabatnya, Ahad lalu bagi mengupas persoalan ini.

Berita lanjut di wiramalaysia2 .

PERALIHAN 2010 KEKAL

Oleh Nor Aziah Jaafar

KUALA TERENGGANU 15 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa tarikh peralihan kuasa antara beliau dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak masih kekal pada tahun 2010.

Menurutnya, pada waktu ini belum ada keputusan baru mengenai tempoh peralihan kuasa itu dibuat dan tarikh yang diputuskan sebelum ini masih kekal.

‘‘Pada waktu ini belum lagi (buat keputusan baru). Tarikh 2010 kekal kerana itu adalah apa yang diputuskan secara rasmi dahulu,” katanya selepas majlis berbuka puasa dan solat tarawih di Masjid Abidin di sini malam ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuannya dengan Najib di Putrajaya petang ini yang antara lain dikatakan membincangkan agenda peralihan kuasa.

Menurut Abdullah, peralihan kuasa ada dibincangkan dalam pertemuan tersebut tetapi tiada sebarang perubahan dilakukan.

‘‘Kita bincang macam-macam perkara yang berlaku pada waktu ini. Kita cakap apa yang sedang berlaku termasuk itulah (peralihan kuasa) yang sekarang ini heboh-heboh mengenainya,” jelasnya.

Pada Julai lalu, Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa antara beliau dan Najib yang bakal dilaksanakan pada Jun 2010.

Bagaimanapun pada 12 September lalu, Najib berkata, peralihan kuasa antara beliau dan Perdana Menteri seharusnya ditentukan melalui mesyuarat tahunan bahagian UMNO.

Menurut Najib, selepas itu barulah perkara tersebut dibawa untuk diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO, Disember ini.

Dua hari sebelum itu, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Abdullah supaya memikirkan semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh tersebut terlalu lama.

Muhyiddin berkata, pelan peralihan yang diumumkan dua bulan lalu itu kini telah ‘tenggelam’ dan rakyat tidak lagi memikirkan mengenainya.

ZAID IBRAHIM DIMINTA BERCUTI

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Datuk Zaid Ibrahim hari ini menyerahkan surat peletakan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Surat tersebut diserahkan ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya kira-kira pukul 2 petang dipercayai antaranya sebagai membantah langkah kerajaan menahan tiga individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sementara itu, di KUALA TERENGGANU, Perdana Menteri yang mengesahkan perkara tersebut berkata, Zaid menemuinya di kediamannya di Seri Perdana, Putrajaya petang ini dan menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai menteri Kabinet.

Menurutnya, dalam pertemuan tersebut beliau telah menasihatkan Zaid supaya bercuti dan memikirkan betul-betul keputusannya itu.

‘‘Dia ada sebut perkara itu kepada saya. Saya kata fikirlah betul-betul dan lepas itu saya pun tiada masa sebenarnya kerana mahu datang ke sini (Terengganu).

‘‘Kalau dia letih sangat pergilah bercuti, pergi sekejap sudahlah. Masa Ramadan nak cuti mana, duduk rumah lah,” katanya selepas majlis berbuka puasa dan solat tarawih di Masjid Abidin (Masjid Putih) di Kuala Terengganu malam ini.

Abdullah bagaimanapun berkata, beliau belum berkesempatan membaca surat peletakan jawatan Zaid itu kerana ia dihantar ke pejabatnya di Putrajaya sedangkan semasa itu beliau berada di rumah.

Justeru menurutnya, beliau akan membuat keputusan mengenai hasrat Zaid untuk meletak jawatan selepas membaca surat itu.


‘‘Surat itu tiada pada saya. Jadi saya baca surat itu nantilah... ada di pejabat, Saya di rumah, dia (Zaid) jumpa saya di rumah,” jelasnya.

Ditanya mengenai pendirian beliau mengenai keputusan yang dibuat oleh menteri berkenaan, jelasnya, Zaid bebas untuk membuat keputusan itu.

‘‘Itu kebebasan dia, hendak letak jawatan itu adalah kebebasan,’’ katanya.

Mengenai sama ada keputusan itu akan melemahkan Kabinet pimpinan beliau, Abdullah menegaskan, tindakan Zaid itu tidak akan memberi kesan kepada kerajaan pimpinannya.

Zaid yang merupakan seorang peguam dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri setelah mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara pada 18 Mac lalu.

Peletakan jawatan beliau dikaitkan dengan kenyataannya semalam bahawa kerajaan tidak sewajarnya menggunakan ISA untuk menahan tiga individu, sebaliknya mereka perlu diadili mengikut sistem perundangan negara ini bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

Menurut Zaid, pelbagai undang-undang terdapat di negara ini yang boleh digunakan untuk mengadili atau menghukum individu yang dikatakan menimbulkan ketegangan kaum.

Beliau sebelum ini turut meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya meletak jawatan jika tidak berpuas hati dengan kepimpinan Abdullah.

Ia ekoran kenyataan Muhyiddin yang juga Naib Presiden UMNO kerana meminta Abdullah supaya memikirkan semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh tersebut terlalu lama.

Saturday, September 6, 2008

AGONG YAKINI BN -PM

Oleh ZULKIFLI JALIL, HAMDEN RAMLI dan THOMAS CHONG

PUTRAJAYA 5 Sept. – Cubaan pakatan pembangkang menyebarkan khabar angin mengenai pembentukan kerajaan baru melalui tindakan lompat parti telah pun dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, khabar angin mengenai pembentukan kerajaan oleh pakatan pembangkang pada 16 September itu ditimbulkan ketika beliau menghadap Seri Paduka baru-baru ini.

Menurut Abdullah, Tuanku Mizan menyatakan rasa gembira dan yakin dengan kewibawaan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menguruskan pentadbiran negara dan membaiki kualiti hidup rakyat pelbagai kaum.

Abdullah memberitahu, beliau menyembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa kerajaan BN mempunyai tanggungjawab dan mendapat sokongan padu daripada rakyat untuk meneruskan agenda pembangunan negara.

“Tuanku gembira dengan apa yang kita lakukan, Seri Paduka ucapkan selamat berjaya,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas membentangkan Laporan Separuh Tahun 2008 Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah) di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Adalah menjadi rutin Abdullah pada setiap Rabu untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara sebelum mesyuarat Jemaah Menteri bagi memaklumkan perkembangan semasa politik dan ekonomi negara.

Mengenai isu lompat parti itu yang digembar-gemburkan, beliau berkata: “Saya dengar banyak khabar angin bahawa akan berlaku lompat parti pada 16 September ini.

“Saya pasti (lompat parti) 16 September tidak akan berlaku... orang kita (Ahli Parlimen BN) tidak akan meninggalkan kita.

“Kita tidak akan beri peluang untuk mereka (pembangkang) menubuhkan kerajaan pada 16 September.”

Tarikh 16 September dicanangkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya sebagai tarikh beliau akan berjaya membawa kira-kira 30 orang Ahli Parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan baru.
Ketika ini, BN mempunyai 140 kerusi di Parlimen, manakala Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti PKR, DAP dan Pas memiliki 82 wakil rakyat. Kelebihan majoriti BN di Parlimen ialah sebanyak 60 kerusi.

Abdullah turut ditanya mengenai tindakan Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) menganjurkan rombongan sambil belajar ke luar negara untuk Ahli Parlimen BN dari 7 hingga 19 September seperti yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Menjawab pertanyaan sama ada tindakan tersebut ada kaitan dengan usaha mengelakkan Ahli-Ahli Parlimen itu daripada dipengaruhi elemen ‘tarikh 16 September', Perdana Menteri berkata:
“Kalau mereka hendak pergi, biarlah mereka pergi... apa nak dihubungkaitkan dengan 16 September.
“Mereka bukannya orang yang nak melompat daripada BN. Bersekongkol dengan parti pembangkang tidak ada dalam niat mereka.”

Abdullah menegaskan: “Kita bukannya kerajaan yang telah kalah. Parti kita masih memerintah kerajaan dan kita mampu jayakan pemerintahan.”

Perdana Menteri memberitahu, beliau juga tidak tahu-menahu tentang perancangan rombongan tersebut dan bukan pihak yang menganjurkannya.

Ditanya jika berlaku perubahan kerajaan pada 16 September nanti, adakah ia boleh ditafsirkan sebagai rampasan kuasa, Abdullah memberi jaminan bahawa khabar angin itu tidak akan berlaku.

Ujarnya, kerajaan BN tidak akan memikirkan ‘sesuatu yang mungkin berlaku’ tetapi memberi tumpuan kepada kerja-kerja untuk menjadikan Malaysia lebih baik termasuk meningkatkan lagi daya produktiviti.

“Saya telah buat banyak pengumuman. Dalam ucapan Bajet 2009, banyak yang boleh dikecapi jika kita bersedia untuk bekerjasama dan menumpukan kepada kerja,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, BN mempunyai tanggungjawab besar kepada rakyat yang memberikan BN mandat untuk memerintah dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Menurut Abdullah, dalam pilihan raya umum itu, para pengundi telah memberi amaran tentang apa yang tidak menggembirakan mereka, namun mereka juga memberi sokongan yang mencukupi untuk BN menubuhkan kerajaan.

Mengenai sistem penyampaian awam dan perkembangan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Perdana Menteri berkata, agensi itu tidak boleh dimajukan dalam sehari.
“Ia memakan masa yang lama. Penyiasat perlu dilatih. Kita tidak boleh cari seorang penyiasat dan minta mereka jalankan tugas sebagai penyiasat. Itu bukan caranya... kita perlu lakukannya secara profesional,” tambah beliau.

Abdullah menambah: “Orang melemparkan pelbagai tuduhan kepada saya, (antaranya) tuduhan konspirasi menyiasat tuduhan rasuah.
“Kita tidak boleh beritahu bahawa semua yang berlaku di sekeliling kita adalah disebabkan konspirasi pihak berkuasa. Ini gila.
“Jika anda salah, maka anda salah tanpa mengira anda berada dalam kerajaan atau pembangkang. Tidak bermakna jika (siasatan) berlaku kepada pembangkang, maka ia adalah konspirasi daripada kerajaan.”

Tuesday, September 2, 2008

PERLUKAN SEKOLAH PERSENDIRAN DIBANTU BERLEBIHAN

KERAJAAN negeri Perak mempunyai hak untuk menentukan keutamaan mereka bagi memastikan urusan pentadbiran di situ berjalan lancar.

Apatah lagi dalam keadaan negeri itu ditadbir oleh pakatan pembangkang, maka setiap keputusan atau langkah yang dibuat dianggap bersifat eksklusif tanpa perlu merujuk kepada Pusat.

Namun apabila sesuatu keputusan itu boleh menjejaskan kepentingan pihak tertentu di negeri itu, maka adalah wajar ia disentuh, ditegur dan mungkin juga diperbetulkan.

Dalam kes terbaru - penganugerahan tanah seluas 400 hektar kepada sembilan sekolah persendirian Cina - Kerajaan Perak seharusnya bersikap telus.

Rasional langkah tersebut mesti diperjelaskan kerana ia tidak bersifat menyeluruh sebaliknya kemudahan yang ditawarkan hanya dimanfaatkan oleh sekumpulan penduduk di situ.

Juga bukankah selama ini mana-mana sekolah persendirian perlu mencari dana sendiri untuk memastikan pentadbiran berjalan lancar dan fakta ini tidak mengecualikan sekolah persendirian Cina. Juga perlu diperjelaskan tanah milik siapa yang akan diberi kepada sekolah-sekolah tersebut untuk diusahakan.

Adakah kedudukan kewangan sekolah jenis itu amat terdesak sehingga menuntut keputusan menambah bantuan berupa pemberian tanah ini dibuat. Bukankah sejumlah bantuan kewangan telah diperuntukan kepada sekolah-sekolah tersebut.

Hakikatnya ada juga sekolah persendirian berteraskan Islam di negeri Perak yang berkehendakkan perhatian serta bantuan kerajaan negeri itu.

Sekolah-sekolah ini juga berhadapan dengan masalah kewangan termasuk untuk membiayai kos pentadbiran dan terpaksa beroperasi dalam keadaan serba kekurangan.

Namun demi memartabatkan agama, pengajaran dan pembelajaran diteruskan sambil usaha mencari dana dipelbagaikan.

Justeru jika keputusan dibuat dengan alasan supaya sekolah persendirian Cina boleh mengusahakan tanah berkenaan dan menggunakan keuntungan yang diperoleh untuk membiaya kos pentadbiran, maka sekolah persendirian kategori lain juga mesti mendapat manfaat yang sama.

Kita juga boleh membayangkan apabila sebuah syarikat ditubuhkan untuk mengusahakan tanah tersebut maka kesan jangka panjangnya boleh sahaja diandaikan akan memberi keuntungan berlipat ganda kepada sekolah berkenaan.

Oleh itu amat penting jika keputusan yang diumumkan oleh kerajaan negeri Perak baru-baru ini diperjelaskan rasionalnya kerana ia ternyata bertentangan dengan hakikat sekolah jenis itu yang bukan saja bebas dari segi sukatan pelajarannya malah perlu mencari dana sendiri.

Dalam keadaan semua orang menghormati langkah kerajaan negeri Perak itu, ada tanggungjawab di pihak pemimpin pakatan pembangkang untuk menjelaskan isu tersebut supaya segala yang kabur menjadi terang.

Friday, August 22, 2008

TIADA MOTIF POLITIK : NAJIB

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penahanan dua Exco kerajaan negeri Perak oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak mempunyai sebarang motif politik termasuk berkaitan dengan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penahanan kedua Exco itu dilakukan oleh BPR setelah agensi penguat kuasa itu berpuas hati atas siasatan yang dijalankan.

Katanya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merupakan parti diwakili kedua Exco berkenaan tidak boleh menuding jari ke arah kerajaan sebaliknya perlu melakukan persiapan sewajarnya untuk mempertahankan diri di mahkamah.

Jelas beliau, penahanan itu dilakukan berdasarkan fakta dan fakta tidak boleh direka begitu sahaja.

"Fakta siasatan tidak boleh diadakan, ia mesti berlaku dahulu sebelum BPR ambil tindakan, mesti ada pihak yang beri, pihak yang menerima," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sidang Kemuncak Wanita 2008 yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Ng Yen Yen di sini hari ini.
Najib berkata, beliau tidak terkejut dengan tuduhan pakatan pembangkang kononnya penahanan itu merupakan konspirasi politik kerana itu memang sudah menjadi tabiat pakatan tersebut apabila sesuatu perkara yang mengaitkan mereka berlaku.
Ditanya sama ada penahanan itu merupakan sesuatu yang memalukan buat pakatan berkenaan, beliau berkata, terpulang kepada tafsiran rakyat sendiri kerana baru lima bulan mereka membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun beliau meminta rakyat memberikan peluang kepada semua yang terbabit melalui proses yang sewajarnya termasuk pengadilan di mahkamah sebelum membuat sebarang andaian.

Najib juga berkata, penahanan kedua Exco berkenaan sebenarnya memperlihatkan bahawa undang-undang tidak terkecuali untuk mana-mana pihak.

Dua Exco kerajaan negeri Perak bersama empat orang lagi ditahan oleh BPR kerana disyaki terlibat dalam sogokan wang lebih RM100,000 dan seks bagi mempercepatkan kelulusan satu projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.
************************************************************************************

Wira berpendapat bahawa pembangkang akan memutar-belitkan apa saja yang berlaku sekarang termasuk penahanan orang kuatnya kerana terbabit dalam rasuah atau salahlaku seks.

Mereka mahu menggambarkan apa saja berlaku yang tidak menguntungkan mereka adalah kejadian "bermotifkan politik" dan meminta rakyat menolaknya.

Ini satu tindakan "desperado" oleh pembangkang terutama PKR kerana mereka mahu menang pada setiap masa termasuk Pilihan Raya Kecil Pematang Pauh.

Wira berpendapat pihak berkuasa tidak perlu melayan "cakap-cakap" politik murahan ini untuk menggambarkan agensi penguatkuasa mengikut telunjuk pihak tertentu.

Yang anehnya mereka akan menuduh BN rasuah jika ada anggota dan pegawai BN ditangkap kerana penyelewengan.

Monday, August 18, 2008

TIDAK ADA KONTRAK SOSIAL MALAYSIAN MALAYSIA

Oleh ZAM

PENASIHAT DAP Lim Kit Siang berprasangka laporan Bernama mengenai ucapan Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa di Perhimpunan Pemuda Pas di Ipoh baru-baru ini yang mengatakan DAP anti Islam adalah misreporting atau salah lapor. Sehingga kini tidak ada penafian daripada Nasharuddin.

Berita selanjutnya wiramalaysia2 .

MALAYSIA SELAR PRO-KOLN ANJUR KONGRES ANTI-ISLAM

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Malaysia menyelar tindakan sebuah kumpulan di Jerman, Pro-Koln yang merancang menganjurkan Kongres Anti Pengislaman di Cologne pada 19 dan 20 September depan.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata tindakan itu menggambarkan pihak berkenaan tidak sensitif dengan isu agama dan ia dikhuatiri akan membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

"Malaysia menentang keras dan memandang berat terhadap rancangan itu.

"Mana-mana pihak yang mahu menganjurkan perkara berkaitan semua agama di dunia ini perlu melihat aspek positif kemanusiaan dan bukan menamakannya dengan perkataan 'anti'," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Friday, August 15, 2008

ARIFF SHAH PEMIMPIN AKAR UMBI



Pemilihan Arif Shah, 52, ironinya mengejutkan Anwar dan kepimpinan PKR yang lain. Naib Presiden PKR yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat, Azmin Ali dikatakan tidak menyangka Arif akan terpilih. Mereka sangkakan calon yang mengetuai UMNO bahagian. Sebelum ini Azmin dikatakan terlalu yakin PKR akan mencapai majoriti melebihi 20,000 undi ke atas BN di Permatang Pauh.

Suasana pengumuman Arif Shah di pusat konvensyen di Hotel Sunway kelmarin juga memberangsangkan. Najib ketika berucap memberitahu, pada awalnya sebelum turun ke Hotel Sunway, beliau dimaklumkan oleh Pengerusi BN Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Tsu Koh Tsu Koon menerusi Sistem Pesanan Ringkas (sms) bahawa jumlah hadirin ke majlis itu hanya 200 orang.
"Saya pun bertanya pada diri apa sudah jadi, takkan hendak lancar jentera pilihan raya hanya sekitar 200 orang sahaja yang hadir. Tapi bila turun ke sini rupa-rupanya ramai... lebih 2,000 orang," kata Najib.

Baca SELANJUTNYA .

Sunday, August 3, 2008

WAWASAN 2020 MUNGKIN TERJEJAS

Oleh ARSHAD KHAN dan NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, usaha Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 mungkin terjejas berikutan peningkatan harga minyak dan bahan binaan yang keterlaluan.

Menurut Perdana Menteri, untuk mencapai status negara maju menjelang 2020, pertumbuhan ekonomi enam peratus setahun secara berterusan adalah amat penting bagi memastikan semua yang dirancang berjalan mengikut jadual.

“Kalau kita boleh mengekalkan pertumbuhan enam peratus setahun, maka ia (menjadi negara maju) akan mengikut jadual, tetapi kini, kita menghadapi masalah berikutan peningkatan harga minyak dan bahan binaan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas menyampaikan ucaptama bertajuk Pembangunan Menyeluruh dan Peranan Kerajaan pada Persidangan Tahunan Pemimpin Mahasiswa Malaysia yang turut dihadiri Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Pada sesi itu, salah seorang peserta bertanya apakah perjalanan menuju Wawasan 2020 sedang berlaku mengikut jadual.

Tambah Abdullah, kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin untuk memastikan segala yang dirancang untuk mencapai Wawasan 2020 itu berjaya dilaksanakan dan semua halangan yang wujud dapat diatasi.

“Kita telah memperuntukkan sejumlah wang yang banyak bagi tujuan itu,” katanya.

Namun jelas beliau, segalanya tidak semudah yang disangka kerana peningkatan kos bahan binaan adalah terlalu tinggi dan di luar jangkaan.

Tambahnya, keadaan itu menjadi lebih buruk lagi apabila wujud masalah inflasi yang menyusahkan rakyat dan perlu juga ditangani pada masa yang sama.

Namun, Abdullah meminta semua pihak agar berkerja keras bagi memastikan Wawasan 2020 mencapai sasarannya seperti yang telah ditetapkan.

Menjawab satu soalan lain, Abdullah berkata, beliau tidak pernah lupa sebarang janjinya kepada rakyat terutama perkara-perkara yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2004.

Bagaimanapun kata beliau, apa yang dijanjikannya sebelum ini adalah sesuatu yang hanya boleh dicapai dalam satu jangka masa panjang kerana melibatkan perubahan minda dan gaya pemikiran rakyat negara ini.

Jelasnya, perubahan itu berbeza dengan perubahan infrastruktur atau fizikal yang boleh dilakukan dengan pantas.

“Apa yang terkandung dalam manifesto 2004 bukanlah untuk dicapai dalam tempoh lima tahun pertama saya menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Abdullah menegaskan, beliau amat menyedari janji-janjinya seperti perubahan dalam sistem kehakiman dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) masih belum terlaksana sepenuhnya.

Namun katanya, pelbagai langkah termasuk penubuhan jawatankuasa khas sudah pun dilakukan ke arah memastikan janji-janji itu dipenuhi.

“Saya tidak mahu memberikan alasan untuk tidak menunaikan janji saya, saya ingin memenuhinya,” katanya.

Pada sesi sama, Perdana Menteri memberitahu, langkah sedang diambil untuk memastikan perkhidmatan awam disertai semua kaum dan bukannya kaum tertentu sahaja.

PERTARUNGAN MORAL ANWAR

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim habis-habisan dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh kerana ia merupakan satu pertarungan moral.

Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd.Noor berkata, BN harus ‘masuk ke gelanggang’ dengan keyakinan tinggi kerana dari segi moralnya parti itu berada di pihak yang benar.

‘‘Justeru kita tidak harus melihat ini politik kalah menang sebaliknya satu pertarungan moral, satu pertempuran untuk mempertahan dan menegakkan kebenaran,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini.

Mohamad Ezam mengulas persediaan yang harus dilakukan oleh BN bagi berhadapan dengan Anwar yang juga Penasihat PKR dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang akan diadakan tidak lama lagi.

Kerusi berkenaan kosong selepas penyandangnya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta pada Khamis lalu.

Mohamad Ezam menegaskan, BN dan UMNO perlu mempertahankan hujah bahawa negara ini berada dalam keadaan bahaya berikutan politik baru yang dibawa oleh Anwar.

‘‘Tindakan beliau adalah satu ancaman yang boleh merosakkan struktur politik dan sosial negara ini. Dalam sejarah, kita tidak pernah diancam oleh struktur di mana orang bukan Melayu semakin berani mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kontrak sosial,’’ katanya.

Oleh itu kata beliau, UMNO harus melihat pertembungan dengan Anwar dari sudut politik demi perjuangan bangsa dan agama.

Thursday, July 31, 2008

"SAYA TIDAK AKAN LETAK JAWATAN"

Oleh ZULKIFLI JALIL

PUTRAJAYA 30 Julai - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim (gambar) menafikan bahawa beliau akan meletak jawatan ekoran pelbagai tekanan yang diterimanya.

Sebaliknya, Zaid menegaskan, beliau tidak akan tunduk kepada desakan terbaru pihak tertentu yang mahukan beliau meletak jawatan daripada Kabinet.

Beliau mengakui sejak beberapa minggu ini menerima tekanan daripada orang tertentu daripada kerajaan dan parti pembangkang supaya berbuat demikian kerana tidak puas hati dengan kesungguhannya dalam mereformasikan sistem kehakiman dan keadilan negara.

''Sesetengah orang kata pandangan saya ini (dalam mereformasikan sistem kehakiman) mirip kepada pembangkang... banyak merugikan orang Melayu manakala pihak pembangkang pula kata saya kena buat lebih daripada itu.

"Tapi pendirian saya, selagi Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mempunyai keyakinan kepada saya, saya tidak ada masalah... saya tidak akan letak jawatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Zaid ditanya mengenai kenyataannya yang dilaporkan dalam sebuah portal berita hari ini bahawa banyak pihak mahukan beliau meletak jawatan berikutan komitmennya dalam membantu kerajaan mereformasikan sistem kehakiman.

Sebelum ini Zaid dilaporkan meminta Barisan Nasional (BN) mengambil tindakan terhadap Exco Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman kerana mengkritik kerajaan termasuk terhadap Perdana Menteri secara terbuka.

Tindakan itu mencetuskan kenyataan balas Tajuddin yang mempersoalkan kedudukan Zaid dan menggesa Perdana Menteri meneliti semula pelantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Abdullah berkata, beliau tidak bercadang menilai semula pelantikan Zaid sebagai menteri.

Sebaliknya, tegas beliau, BN dan UMNO mengamalkan pintu terbuka kepada ahli untuk membuat teguran.

Abdullah yang membentuk Kabinet selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 18 Mac lalu mengumumkan pelantikan Zaid sebagai menteri yang berperanan membantu membuat cadangan bagi perubahan dan reformasi sistem kehakiman negara.