Tuesday, December 30, 2008

DYMM Tuanku Muhriz dimasyhur Yamtuan N.S. DAULAT TUANKU

KUALA PILAH 29 Dis. – Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, 60, dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-11 menggantikan Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman, 86, ayahanda saudara baginda yang mangkat Sabtu lalu.

Pengumuman pemasyhuran itu dibuat oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak pada pukul 3.45 petang ini pada majlis penuh istiadat di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti.
Tuanku Muhriz sebelum ini merupakan Tunku Besar Seri Menanti.

Kesemua putera Almarhum Tuanku Ja’afar, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar; Tunku Muda Serting, Tunku Imran Tuanku Ja’afar; dan Tunku Panglima Besar, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar hadir pada istiadat pemasyhuran tersebut, selain Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman; dan Undang Luak Johol, Datuk Mohd. Jan Abdul Gani.

Turut hadir pada istiadat berkenaan ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri; kerabat diraja Negeri Sembilan; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta pemimpin negeri.
Sebelum itu, kesemua Undang Yang Empat bersidang di Dewan Keadilan sejak semalam untuk menentukan pengganti Almarhum Tuanku Ja’afar sebelum memutuskan lewat petang ini pemasyhuran Tuanku Muhriz.

Istiadat pemasyhuran yang dimulakan dengan tembakan meriam 32 das diteruskan sebaik sahaja kesemua Putera Yang Empat, Anak Raja Bergelar, Tunku Besar Tampin, Undang Yang Empat memasuki Balairung Seri.
Sejurus semua Undang Yang Empat menghadap Tuanku Muhriz, persembahan Mas Manah disampaikan oleh Mubarak, serentak itu tembakan meriam 21 das dilepaskan menandakan termasyhur baginda sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.

Selesai pemasyhuran, doa dibacakan oleh Mufti negeri, Datuk Murtadza Sheikh Ahmad.
Dalam titah Tuanku Muhriz, baginda berjanji akan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan penuh keadilan serta menjaga keselamatan rakyat demi kemakmuran negeri ini.

‘‘Yakinlah beta akan menjalankan keadilan dan keselamatan hamba rakyat serta yang tinggal di seluruh alam Negeri Sembilan ini,” titah Tuanku Muhriz.
Sebelum ini, Tunku Naquiyuddin merupakan pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Beliau dan dua adindanya, Tunku Imran dan Tunku Nadzaruddin turut dipertimbangkan sebagai calon Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.

Tuanku Muhriz merupakan putera tunggal kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang kesembilan, Almarhum Tuanku Munawir yang mangkat pada 18 April 1967.
Baginda diputerakan pada 14 Januari 1948 dan merupakan ahli perniagaan serta Pengarah Bangkok Bank Berhad, mendapat pendidikan awal di Sekolah Tuanku Muhammad, Kuala Pilah dan Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin, Tampin serta Sekolah King George V di Seremban.

Baginda kemudian melanjutkan pelajaran ke luar negara di Aldenham School, Elstree, England dan Universiti College of Wales, Aberystwyth, Wales dalam bidang undang-undang.
Tuanku Muhriz berkahwin dengan Tuanku Ampuan Negeri Sembilan, Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta dikurniakan tiga putera, Tunku Ali Redhauddin, Tunku Zain Al‘Abidin dan Tunku Alif Hussein Saifuddin.

Pemilihan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan berbeza dengan negeri-negeri lain di negara ini kerana ia mengikut Adat Perpatih yang menyaksikan kuasa penentu diletakkan kepada Undang Yang Empat.
Tuanku Muhriz merupakan calon Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan semasa pemerintahan ayahandanya, Tuanku Munawir selain Almarhum Tuanku Ja’afar dan Almarhum Tuanku Abdullah, tetapi tidak dipilih kerana baginda terlalu muda iaitu berusia 18 tahun ketika itu.

Sebaik sahaja pemasyhuran Tuanku Muhriz, baginda memperkenankan Istiadat Pemakaman Diraja diteruskan dengan membawa jenazah Almarhum Tuanku Ja’afar dari Pelambar ke Maharaja Diraja, diiringi 86 das tembakan meriam.
Sumber: Utusan Malaysia (30 Disember 2008)

No comments: