Friday, July 18, 2008

POLIS PERLUKAN DNA ANWAR IBRAHIM

Oleh TAN MING WAI

KUALA LUMPUR 17 Julai – Polis akan mendapatkan perintah mahkamah untuk membolehkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil bagi membantu siasatan dakwaan kes liwat melibatkannya.

Polis juga menegaskan, sampel DNA Anwar yang diambil untuk kes liwat pertama dihadapinya pada 10 tahun lalu, tidak boleh digunakan sebagai bukti atau perbandingan dalam siasatan kes terbaru ini.

Pada sidang akhbarnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman petang ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, sekiranya Anwar terus menolak untuk diambil sampel DNA beliau, polis tiada pilihan selain mendapatkan perintah mahkamah.

Katanya, permohonan perintah mahkamah ialah pilihan polis ketika ini berikutan keengganan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membenarkan sampel DNA diambil ketika beliau menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi.

Tambah beliau, sepanjang hampir sejam di Wad Diraja HKL mulai pukul 8.45 malam tadi, Anwar enggan bekerjasama apabila diminta oleh doktor yang bertugas untuk diambil sampel DNA bagi tujuan perbandingan dalam siasatan kes liwat itu.

“Sangat penting untuk kita dapatkan sampel DNA daripada orang yang disyaki (suspek) dalam kes liwat ini, malangnya beliau (Anwar) enggan bekerjasama.

“Oleh itu, kita perlu merujuk dari aspek perundangan termasuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan sampel DNA beliau (Anwar) diambil,” katanya kepada pemberita pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman petang ini.

Pada pukul 1 petang semalam, Anwar ditahan polis kira-kira 50 meter dari rumahnya dan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk disoal siasat bermula pukul 2.50 petang.

Pada pukul 8.35 malam, Anwar yang disoal siasat di Tingkat 7 IPK, dibawa oleh polis ke HKL untuk menjalani ujian DNA di Wad Diraja hospital itu.

Bagaimanapun, Anwar menolak untuk diambil sampel darahnya bagi tujuan itu sebaliknya hanya bersetuju dilakukan pemeriksaan biasa tanpa melibatkan pengambilan sebarang sampel.

Hari ini, Anwar, 61, dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 9.45 pagi selepas ditahan hampir 21 jam di IPK. Bagaimanapun, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dikehendaki melapor diri semula di IPK pada 9 pagi, 18 Ogos ini.

Anwar kini berdepan dengan dakwaan oleh bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, yang dia diliwat oleh bekas majikannya itu.

Pada 28 Jun lalu, Mohd. Saiful Bukhari membuat laporan di Pondok Polis HKL, mendakwa Anwar meliwatnya beberapa kali termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara, dua hari sebelumnya.

Bagaimanapun, Anwar menafikan dakwaan itu dan baru-baru ini membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) meminta Mohd. Saiful Azlan dikenakan tindakan mengikut peruntukan qazaf, iaitu membuat tuduhan tanpa empat saksi atau bersama-sama pengakuan daripada orang yang dituduh.

Dalam pada itu, menjawab soalan mengenai kemungkinan polis merujuk semula sampel DNA Anwar yang diperoleh untuk kes liwat pertamanya kira-kira 10 tahun lalu, Ismail menolak sama sekali kaedah itu.

“Ini kes sekarang, yang sekarang adalah sekarang. Yang lepas adalah lepas, jangan kaitkan dengan kes dulu, tolong jangan keliru,” jelasnya.

Mengenai pembebasan Anwar hari ini, Ismail memberitahu, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menyelesaikan tugas-tugas mengambil keterangannya mengikut prosedur siasatan ditetapkan.

“Tempoh satu bulan yang diberi akan digunakan oleh polis untuk meneruskan siasatan di samping mengukuhkan lagi bukti-bukti serta keterangan dalam kes ini,” jelasnya.

Ditanya jumlah individu atau saksi yang sudah dipanggil oleh polis untuk membantu siasatan, beliau mengesahkan bilangannya ramai tetapi enggan mendedahkan angka sebenar.

“Memandangkan kes ini telah menarik perhatian masyarakat, saya telah mengarahkan supaya pegawai penyiasat bekerja keras menyiapkan siasatan secepat mungkin.

“Polis harap orang ramai akan bersabar, beri kita masa dan kami akan lakukan yang terbaik,” ujarnya.

No comments: